BAHAN menjadi seperti ini dan sapukan pada wajah selama 15 minit.
KUALA LUMPUR 02 JULAI 2018. ​Kebaikan kunyit untuk wajah. NSTP/EMAIL
Siti Zarinah Sahib


SELAIN digunakan sebagai perawatan selepas bersalin kunyit diakui mampu menjadi bahan terbaik untuk mencegah jerawat sekali gus menjadikan kulit cerah dan licin.

Di sebalik warna kekuningan ini, kunyit menyimpan seribu rahsia sebagai herba terbaik yang memberikan pelbagai faedah sama ada disapu pada wajah atau diminum airnya.

Bagi peniaga dalam talian Fyza Shah, amalan menggunakan topeng wajah berasaskan kunyit sejak berusia belasan tahun memberikan banyak kebaikan kepadanya.

“Amalan dan petua terdahulu ini banyak diperoleh daripada ibu saya. Sejak meningkat dewasa saya mula mencari menerusi Internet dan menemui ramai pengguna menjadikan kunyit sebahagian perawatan amalan kecantikan mereka,” katanya.


KUALA LUMPUR 02 JULAI 2018. ​Kebaikan kunyit untuk wajah. NSTP/EMAIL

Ingin berkongsi dengan lebih ramai wanita mengenai kebaikan kunyit, Fyza menjelaskan mereka yang memiliki wajah berjerawat disarankan memakai masker kunyit pada wajah mereka. Ini kerana banyak faedah diperoleh. Antaranya:

1. Kunyit terkenal dengan sifat antikeradangan oleh itu bagi wajah berjerawat sapuan kunyit mampu mengurangkan bengkak dan kemerah-merahan.

2. Sifat antimikrob pada kunyit juga berkesan mematikan kuman jerawat dari terus membiak.

3. Walaupun kunyit itu menguningkan muka, tetapi sifatnya akan mencerahkan kulit dan membuatkan kulit bersinar.

4. Kunyit yang dicampur tepung beras mampu menjadi agen penanggal sel mati. Ia juga mengeringkan jerawat dan mengurangkan lebihan minyak pada muka.

5. Dadih pula akan mengawal penghasilan sebum supaya kulit kurang berminyak. Kuman baik dalam dadih bagus untuk melawan virus penyebab jerawat.

6. Madu yang bersifat antiradang dan anti kuman boleh meredakan jerawat sekali gus melembapkan kulit supaya lembut dan cerah bersinar.

Fyza yang sering menggunakan Facebook Fyza Shah bagi memberikan informasi kecantikan berguna kepada pembaca turut berkongsi cara amalan topeng wajah kunyit yang boleh diamalkan di rumah. Sekiranya tiada kunyit hidup anda boleh menggunakan kunyit yang sudah diproses.

Selain kunyit terdapat beberapa bahan dari dapur yang berkesan dijadikan perawatan wajah antaranya:

1. Putih telur - Ia membantu mengecilkan liang pori dan menjadikan kulit lebih licin dan lembut.

2. Pisang - Lenyek pisang kemudian sapu pada kulit. Biarkan mengering kemudian bilas menggunakan air sejuk. Pisang membantu menghidrat kulit dan menghalang kulit kering.

3. Tomato - Lenyek tomato yang sudah masak kemudian sapu pada wajah. Biarkan seketika. Bahan ini berkesan melembutkan kulit dan menjadikan liang pori lebih halus.

4. Bijirin oat - Membantu mengawal minyak berlebihan pada wajah. Kisar oat kemudian sapu pada kulit dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air sejuk.

5. Air bilasan beras - Mengurangkan jerawat dan mencerahkan kulit. Gunakan bilasan ketiga dan keempat untuk kesan sempurna.

LANGKAH DEMI LANGKAH

Bahan-bahan:

- 2 sudu tepung beras

- 1/2 sudu serbuk kunyit

- 1 sudu madu

- 2 sudu dadih asli

Cara-cara menyediakannya:

1. Ambil mangkuk kecil campurkan tepung beras, kunyit, dadih dan madu asli.

2. Kacau semua bahan-bahan ini.

3. Selepas siap sapukan pada wajah dan biarkan selama 15 minit sehingga kulit benar-benar kering dan menegang.

4. Bilas dengan air sejuk.


AMBIL tepung beras.

CAMPURKAN setengah sudu kunyit.

TAMBAHKAN dadih.

KACAU menggunakan madu asli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 4:30 AM