BAWA si kecil bertemu doktor untuk pemeriksaan. GAMBAR hiasan
BAWA si kecil bertemu doktor untuk pemeriksaan. GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin

SETIAP bayi yang baru dilahirkan akan menangis secara purata dua jam sehari berpunca daripada pelbagai sebab antaranya lapar, letih, mengantuk, kurang selesa kerana lampin basah selain faktor suhu persekitaran terlalu sejuk atau panas.

Walaupun ia isu biasa diketahui umum sejak sekian lama, hingga ke hari ini ia menjadi masalah paling kerap terjadi kepada bayi yang baru dilahirkan.

Penulis sendiri tidak terkecuali berdepan masalah ini apabila kedua-dua anak menangis tanpa henti terutama pada waktu malam walaupun dalam keadaan sihat.

Tentu saja ia sangat membimbangkan setiap pasangan ibu bapa terutama yang kurang pengalaman dalam mengendalikan bayi. Keadaan menjadi lebih teruk apabila bayi berterusan menangis dengan kuat dan dalam tempoh yang lama sehingga hampir 24 jam.

Suhu badan sudah diperiksa dan berada dalam keadaan normal, keadaan sekeliling juga tidak terlalu sejuk atau panas, lampin juga tidak basah namun si kecil tersayang masih berterusan menangis.

Pelbagai persoalan mula muncul dalam minda ibu dan bapa terutama kemungkinan bayi mengalami sawan tangis atau kolik, atau adakah bayi itu mempunyai penyakit lain yang lebih serius.

Menurut pakar pediatrik dan kardiologi kanak-kanak, Dr Ihsan Musa, menangis berterusan adalah masalah yang biasa kepada bayi berusia kurang setahun dan ia sebab paling utama ibu bapa datang bertemu doktor untuk mendapatkan pemeriksaan.

“Menangis antara cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa. Sawan tangis biasanya istilah kepada bayi yang menangis secara berpanjangan lebih tiga jam sehari, sekurang-kurangnya tiga hari dalam seminggu selama tiga minggu atau lebih.

“Keadaan ini sebenarnya agak lazim berlaku memandangkan ia terjadi kepada satu hingga dua daripada lima bayi yang dilahirkan. Mereka biasanya mula menangis berlebihan terutama pada waktu petang dan malam,” katanya.

Dr Ihsan berkata, walaupun sering terjadi pada waktu petang dan malam, serangan sawan tangis ini masih boleh berlaku pada bila-bila masa dan sukar dijangka.

“Selalunya ia bermula ketika bayi berusia dua minggu dan memuncak ketika bayi berusia enam minggu serta akan hilang apabila bayi mencecah usia tiga atau empat bulan. Kadangkala keadaan ini boleh berlarutan sehingga bayi berusia enam bulan.

JANGAN panik ketika anak sawan. GAMBAR hiasan
JANGAN panik ketika anak sawan. GAMBAR hiasan

“Hakikatnya sukar untuk ditafsirkan dalam sudut perubatan yang tepat namun jika dilihat, bayi yang mengalami sawan tangis mempunyai tangisan luar biasa kuatnya,” katanya.

Menurutnya, tanda paling jelas boleh dikesan ketika bayi menangis, tangan akan tergenggam erat, kaki mengerekot, badan berpeluh-peluh serta muka bertukar kemerah-merahan seolah-olah dalam kesakitan.

“Pelbagai usaha boleh dilakukan ketika sawan tangis terjadi seperti memberi bayi susu badan, puting tiruan, mendodoi, bedung bayi, namun lazimnya masih gagal mententeramkan bayi.

“Sawan tangis juga boleh menyebabkan perut bayi menjadi kembung kerana tertelan angin akibat menangis terlalu lama yang boleh menyebabkan bayi menjadi tidak selesa,” katanya.

Katanya, punca terjadinya sawan tangis ini sebenarnya masih tidak diketahui, namun doktor dan saintis mengandaikan ia berlaku disebabkan masalah tidak hadam, angin atau usus terlalu sensitif kepada protein tertentu yang terkandung di dalam susu formula atau susu ibu.

“Ada juga yang mengatakan ia adalah salah satu tantrum bayi. Secara amnya, kolik berlaku sama rata antara bayi lelaki atau bayi perempuan sama ada mereka menerima susu ibu atau susu formula.

“Apabila bayi menangis dengan lama, beberapa masalah kesihatan perlu difikirkan seperti jangkitan kuman pada saluran air kencing, meningitis, masalah refluks atau alahan terutama jika bayi menerima susu formula,” katanya.

Menurut Dr Ihsan, bayi yang mengalami masalah itu sepatutnya kelihatan sihat dan mempunyai peningkatan berat badan yang baik.

“Pengambilan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal oleh doktor sebenarnya sudah memadai untuk membuat diagnosis sawan tangis namun ibu bapa perlulah mendapatkan rawatan sekiranya bayi menangis kuat berserta dengan demam, sukar bernafas, sawan, muka kelihatan pucat atau biru, tidak menyusu dengan baik dan muntah yang berterusan atau berak berdarah.

“Walaupun ini masalah yang sudah berlaku sejak sekian lama, tidak dinafikan ia menjadi masalah paling membimbangkan selain memenatkan terutama kepada ibu yang masih dalam tempoh berpantang,” katanya.

Dr Ihsan berkongsi cara mudah mengenal pasti simptom sawan tangis:

- Menangis lebih daripada tiga jam sehari dalam suara yang kuat dan nyaring.

- Menangis secara berterusan hingga tiga hari seminggu.

- Menangis secara berterusan selama lebih daripada tiga minggu.

- Tidak berhenti menangis walaupun sudah di dodoi, dipujuk dan dibedung.

Keadaan kolik boleh berpunca daripada beberapa faktor antaranya:

- Keresahan melampau si ibu

- Interaksi ibu dan bayi yang tidak mencukupi atau kurang sesuai

- Fungsi pencernaan yang tidak matang

- Tidak toleransi kepada laktosa

- Alahan terhadap protein susu lembu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 5:00 AM