NURUL Nabila bergelar usahawan separuh masa demi menambah pendapatan keluarga.
Siti Nadirah Hafidzin


PERKATAAN penat sangat sinonim dengan mana-mana wanita terutama yang bekerjaya dan pada masa sama turut menggalas tugas isteri dan ibu.

Tempoh 24 jam sehari seolah-olah tidak cukup untuk menguruskan semua rutin yang padat bermula seawal pagi hingga lewat malam. Tamat waktu pejabat tidak bermakna wanita boleh berehat kerana ada banyak tugasan menunggu di rumah hinggakan ada wanita hanya tidur tiga atau empat jam sehari dan tiada masa melakukan pekerjaan lain.

Namun, bagi wanita manis kelahiran Kota Tinggi, Johor ini, waktu yang ada perlu dimanfaatkan sebaiknya. Pada sebelah siang dia sibuk dengan tugas sebagai Penolong Penguasa Kastam Diraja Malaysia manakala waktu malam diisi dengan berniaga.

Perkenalan dengan wanita hebat ini meninggalkan satu impak besar kepada diri penulis untuk memahami maksud sebenar ‘semangat’ dan ‘pengorbanan’.

Mana tidaknya penulis sering kali merungut kepenatan dengan rutin harian padat ditambah dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada cahaya mata yang masih kecil.

Ternyata semangat serta keazaman untuk berjaya membuatkan Nurul Nabila Ahmad, 31, berjaya membuktikan kepenatan diri bukanlah satu halangan kepadanya untuk membina empayar perniagaan sendiri.

Perjalanan hidup Nurul Nabila dalam memburu kejayaan wajar dijadikan inspirasi dan pemangkin semangat buat semua wanita terutamanya yang bergelar ibu.

Membuka bicara, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia sangat berazam mempunyai empayar perniagaan sendiri sejak usia belasan tahun walaupun mempunyai pekerjaan tetap.

“Kos sara hidup kini sa­ngat mencabar, disebabkan itu saya tidak boleh berdiam diri dan mengharapkan gaji saja. Bermula daripada itu, saya berazam mahukan kehidupan yang lebih selesa terutama untuk anak-anak.

“Takdir dan ketentuan Yang Maha Esa sememang­nya sangat hebat dalam membantu saya memulakan perniagaan. Semuanya bermula pada 2015 ketika menjalani satu kursus di Sabah yang memerlukan saya mengikuti latihan hingga menyebabkan kulit wajah ‘terbakar’, rosak teruk dan kusam,” katanya.

Buntu mencari rawatan terbaik, dia kemudian mencuba pelbagai rawatan wajah dan produk kecantikan bagi menyelesaikan masalah kulit dialami.

“Walaupun sesetengah orang menganggap ini perkara biasa apabila menjalani latihan sebagai Penolong Penguasa Kastam Diraja Malaysia namun sebagai wanita yang sentiasa menjaga penampilan diri, saya sangat sedih dan kecewa ketika itu.

“Berkat kesabaran dan usaha mencuba, saya menemui satu produk yang membantu menyelesaikan masalah yang dialami. Bermula dari itu, saya nekad untuk menambah pendapatan bulanan dan menjadi ejen sah. Syukur, mungkin ini sememangnya rezeki untuk saya, hari demi hari pendapatan bulanan bertambah hasil perniagaan ini,” ujarnya.

Tambah Nurul Nabila yang kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan, walaupun bermula dari bawah, dia langsung tidak kekok, malah sangat bersemangat untuk menjana pendapatan diri.

“Hanya dengan keuntu­ngan belasan ringgit kemudian ke puluhan ringgit, saya tetap bersemangat untuk terus berniaga. Saya tidak malu bertanya dan belajar hinggakan ke saat ini kerana ilmu adalah perkara paling penting dalam apa juga bidang diceburi terutama perniagaan.

“Paling membahagiakan apabila simpanan wang semakin hari semakin bertambah, sebagai seorang ibu, tentu saja saya sangat memikirkan soal masa depan dan pendidikan anak-anak dan ia memerlukan saya berusaha untuk mempunyai simpanan wang sendiri,” katanya.

BIMBING LEBIH RAMAI WANITA

Nurul Nabila berkata, hari demi hari dilaluinya dengan penuh semangat, daripada bermula sebagai ejen kini semuanya berubah apabila dia kini bergelar master stokis dan membimbing lebih 50 wanita untuk menjana pendapatan diri.

“Walaupun apa yang saya katakan ini nampak mudah dan lancar, hakikatnya semuanya perlukan pengorbanan dan semangat. Paling utama perlu jaga kesihatan diri kerana rutin harian anda perlukan anda sihat serta cergas.

“Saya sangat berterima kasih kepada suami kerana dialah yang menjadi tulang belakang kejayaan ini. Dia juga banyak berkorban dalam membantu saya terutamanya menguruskan anak-anak. Rutin harian saya sangat padat, waktu siang saya bekerja dan waktu malam saya gunakan sebaik mungkin untuk menguruskan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, emosi anak-anak yang sedang membesar memerlukan perhatian daripada seorang ibu juga antara perkara yang perlu dikendalikan sebaik mungkin.

“Fitrah kanak-kanak sememangnya begitu, ada ragam tersendiri. Saya perlu kawal emosi diri dan susun jadual supaya anak-anak tidak terabai dan pada masa sama perniagaan berjalan dengan baik.

“Mujur, dunia perniagaan kini sangat mudah kerana semuanya di hujung jari. Saya memanfaatkan semua media sosial yang ada seperti Facebook, Instagram dan aplikasi WhatsApp,” ujarnya.

Tambahnya, dia sering kali mengingatkan semua ejen di bawahnya supaya lebih komited dan buang sikap malas yang ada dalam diri.

“Bohonglah jika saya katakan saya tidak penat, tetapi saya cuba positifkan diri dan bayangkan wajah anak-anak. Fikir masa depan mereka yang perlukan kita sebagai ibu bapa bekerja keras.

“Hati perlu cekal jika ingin berjaya. Bagi saya berjaya itu luas maksudnya dan setiap individu terutamanya wanita perlu ada ‘matlamat’ sendiri apa yang ingin dicapai,” katanya.

Menurut Nurul Nabila, walaupun kini dia mampu tersenyum namun perjalanan perniagaannya masih terlalu jauh dan banyak lagi dugaan yang perlu ditempuhi.

“Saya bukanlah siapa-siapa, apatah lagi peniaga yang berjaya. Saya masih seorang pekerja, isteri dan ibu. Banyak yang perlu saya lakukan untuk keselesaan hidup pada masa akan datang bukan saja di dunia, malah di akhirat.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan ejen saya berjaya mencapai apa yang mereka inginkan. Bagi saya berkongsi rezeki itu lebih besar nilainya terutama dalam membantu wanita yang mahu mengubah kehidupan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:01 AM