SITI Suriani bangga capai impian buka perniagaan sendiri bersama saudara kandung.
SITI Suriani bangga capai impian buka perniagaan sendiri bersama saudara kandung.
Siti Nadirah Hafidzin

WAJAHNYA manis dipandang, senyuman yang sentiasa terukir di bibir melengkapkan lagi penampilan si empunya diri. Perkenalan bersama wanita muda berjiwa kental ini begitu menyentuh hati. Siapa sangka di sebalik keceriaan personalitinya terselindung 1,001 kisah meruntun jiwa.

Dia bukan saja cantik malah dia juga memiliki pakej lengkap. Di sebalik kejelitaan diri, dia juga mempunyai semangat luar biasa untuk memajukan diri, sekali gus mengubah nasib keluarga.

Membuka bicara, anak kelahiran Klang, Selangor yang baru berusia 19 tahun ini mengakui dirinya tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walaupun menerima pelbagai kutukan, cacian dan sindiran daripada individu sekeliling kerana tidak tamat sekolah, ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya kerana dia tahu semua yang berlaku di muka bumi ini ada sebabnya.

Berkongsi kisah suka dukanya, Siti Suriani Wahiddin berkata, dia sudah biasa dan lali dengan pelbagai sindiran dan kata-kata berbentuk cemuhan dilemparkan kepadanya hanya disebabkan tidak menduduki peperiksaan dan tiada sijil SPM.

“Ramai yang tanya apa yang akan saya lakukan kelak kerana sijil SPM umpama tiket untuk mengorak langkah ke alam pengajian seterusnya? Malah sijil SPM juga menjadi asas apabila mahu mendapatkan kerja. Bagaimana pula dengan masa depan saya kerana tidak mengambil SPM? Hakikatnya orang hanya tahu mempersoal tanpa bertanya dan memahami terlebih dulu.

“Saya bukan sengaja atau malas belajar kerana saya belajar hingga ke tingkatan lima. Saya diuji ketika perlu menduduki SPM apabila abang sulung yang juga orang kurang upaya (OKU) perlu ke Jepun untuk menyertai satu kelas perniagaan khas di sana.

“Tarikh kelas perniagaan abang itu adalah sehari sebelum saya menduduki SPM. Memang abang tidak memaksa tetapi daripada raut wajahnya saya tahu dia memang mengharapkan saya menemaninya ke sana kerana dia hanya boleh menggerakkan tiga jari tangannya sementara anggota lain langsung tidak dapat bergerak,” katanya.

Menurutnya, dia yang ketika itu berusia 17 tahun sangat keliru sama ada ingin mengambil peperiksaan atau menemani abang ke Jepun. Namun selepas memikirkan masak-masak daripada pelbagai aspek, dia akhirnya terbang ke tanah sakura bersama abangnya, Mohd Khairul Nizam yang ternyata sangat memerlukan bantuannya.

“Saya sedar SPM itu sangat penting namun abang juga tidak kurang pentingnya dalam hidup saya. Dia memang tidak boleh bergerak dan saya berperanan besar untuk menemani serta membantunya di dalam kelas ketika itu. Sangat berat untuk membuat keputusan namun saya yakin itu adalah pilihan terbaik kerana saya tidak boleh pentingkan diri sendiri.

BERSAMA abang tersayang.
BERSAMA abang tersayang.

“Abang banyak berkorban untuk saya dan adik-beradik yang lain. Dia jugalah yang menyuapkan kami adik-beradik makan ketika kecil. Ketika itu dia masih boleh berguling dan bergerak sedikit. Dengan kudrat yang tidak seberapa itu dia jugalah yang selalu menemani kami ketika ibu dan ayah keluar bekerja serta berniaga. Namun semua itu tinggal kenangan kerana kini abang langsung tidak boleh bergerak selepas terjatuh daripada kerusi rodanya ketika berusia 16 tahun,” katanya.

Atas sebab itu juga, Siti Suriani tekad untuk bersama-sama abangnya dalam apa juga keadaan tidak kira di saat susah mahupun senang.

“Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, abang mempunyai semangat luar biasa dan sangat minat berniaga. Dia juga banyak mengajar saya selok belok perniagaan. Daripada situ saya kuatkan azam untuk bersama-sama abang menimba ilmu perniagaan. Walaupun semua anggota badannya tidak boleh bergerak, dia dikurniakan minda yang bijak dan banyak idea.

“Apabila sudah membuat keputusan untuk menemaninya seumur hidup, saya sering kali mengingatkan kepada diri sendiri untuk belajar berniaga sama supaya saya boleh terus membantu abang menguruskan perniagaan. Saya gunakan peluang menemani abang di dalam setiap kelas perniagaan diikutinya untuk sama-sama menuntut ilmu dan ternyata Allah SWT permudahkan banyak urusan kami,” ujarnya.

Menurutnya, dia tidak menyesali jalan dipilihnya walaupun perlu berdepan dengan tanggapan serong masyarakat yang tidak memahami situasi dirinya.

“Mungkin jika orang yang tidak kenal akan katakan saya ini adalah pelajar yang malas kerana kerap kali tidak datang ke sekolah walhal saya perlu menemani abang ke setiap kelas perniagaannya selain membantunya dalam pelbagai urusan. Abang tidak seperti individu lain kerana dia perlukan saya untuk mencatat setiap nota di dalam kelas selain menguruskan dirinya.

“Syukur, lama-kelamaan semuanya menjadi semakin mudah. Berkat menuntut ilmu selama bertahun-tahun, saya dan abang berjaya mencapai impian dengan mempunyai perniagaan sendiri iaitu menyediakan platform memasarkan pelbagai jenis produk dan jenama. Hingga ke saat ini saya tetap bersamanya membantu menguruskan abang juga perniagaan kami,” katanya.

BANTU LEBIH RAMAI INDIVIDU

Menurut Siti Suriani yang lebih dikenali dengan panggilan Siti Jamumall, dia sangat gembira selepas pengorbanan dilakukannya menampakkan hasil terutama dapat membuka peluang pekerjaan pada insan memerlukan.

“Saya sangat gembira apabila dapat bantu ramai orang menjana pendapatan diri, apatah lagi ada di antara individu yang dibantu itu pernah menyindir saya kerana tidak mengambil SPM. Ia ternyata Allah SWT itu berkuasa dan adil, saya langsung tidak berdendam tetapi sememangnya saya ada terasa hati namun kini semuanya dalam keadaan baik.

“Bukan mudah untuk hidup senang dan kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha serta pengorbanan. Saya selalu memegang prinsip jangan mudah berputus asa walaupun melalui kegagalan berulang kali dan jangan sesekali menyesali dengan setiap pengorbanan serta keputusan yang diambil.

“Mungkin semangat ini datang apabila melihat kegigihan abang juga ibu yang sememangnya terbabit dalam perniagaan. Sejak darjah dua saya sudah ikut ibu berniaga di pasar malam dan di tepi jalan menjual pisang goreng. Daripada situ saya mendapat kekuatan untuk terbabit dalam bidang yang sama,” katanya.

Tambahnya, kini dia bersama-sama abangnya berusaha mengembangkan lagi portal perniagaan untuk usahawan makanan dan fesyen, sekali gus membuka ruang dan peluang kepada ramai pihak menjana pendapatan.

SITI Suriani baru melangsungkan perkahwinan bersama suami tercinta.
SITI Suriani baru melangsungkan perkahwinan bersama suami tercinta.

“Tekad dan niat saya kini lebih kepada membantu abang dan memperbaiki kehidupan kami sekeluarga, khususnya meringankan bebanan ayah. Walaupun saya baru mendirikan rumah tangga, ia tidak menjadi halangan untuk saya terus berbakti kepada keluarga terutama abang.

“Suami juga tidak menghalang dan dia sangat memahami dan bertanggungjawab. Alhamdulillah, syukur dengan apa yang kami rasai kini. Saya yakin jika niat kita baik dan ikhlas, Allah SWT akan permudahkan serta balasnya dengan sesuatu yang lebih baik,” ujarnya.

Siti Suriani juga bertekad untuk membantu lebih ramai insan memerlukan terutama yang tidak berkemampuan namun mempunyai semangat yang gigih untuk berjaya.

“Dunia ini adil, jika kita berusaha kita juga akan dapat rasai hasilnya. Saya menyaksikan sendiri kesusahan abang dalam membina perniagaannya dan dalam masa sama, saya juga banyak berkorban demi insan yang disayangi selain untuk membina kerjaya sendiri.

“Bohong jika saya katakan semuanya indah, terlalu banyak duka dan tangisan yang sudah dilalui untuk membina kejayaan diri, apatah lagi dalam membuktikan saya juga boleh berjaya sama seperti insan lain. Lumrah hidup ramai yang menghina terutama apabila kita di bawah namun saya yakin Allah SWT tetap ada bersama saya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:00 AM