TABIAT pemakanan mempunyai kesan lebih besar ke atas kesihatan berbanding pengambilan beberapa makanan ‘super’.
TABIAT pemakanan mempunyai kesan lebih besar ke atas kesihatan berbanding pengambilan beberapa makanan ‘super’.
DIET seimbang diambil secara sederhana serta pelbagai terbaik untuk keluarga. GAMBAR hiasan
DIET seimbang diambil secara sederhana serta pelbagai terbaik untuk keluarga. GAMBAR hiasan
Susunan Intan Mas Ayu Shahimi


MENURUT Kamus Oxford, makanan ‘super’ (luar biasa) adalah kumpulan makanan yang kaya dengan nilai pemakanan dan dianggap sangat berfaedah untuk kesihatan dan kesejahteraan umum.

Namun, realitinya tiada istilah atau kriteria makanan ‘super’ yang ditetapkan oleh mana-mana pihak berwajib. Pusat Penyelidikan Kanser United Kingdom menyatakan istilah makanan ‘super’ ialah helah pemasaran dengan asas saintifik yang tidak kuat. Jadi, apakah sebenarnya trend makanan ‘super’ ini?

Menurut Pakar Pemakanan, Prof Madya Dr Azrina Azlan, makanan ‘super’ diperkenalkan ahli pemasaran dan menjadi trend di Internet dengan pelbagai senarai dikeluarkan setiap tahun seperti biji chia, kombucha, quinoa, beri goji, sayur kale, teh hijau, koko, ikan salmon dan banyak lagi.

Produk makanan yang diperkaya dengan kandungan tertentu seperti omega-3, antioksidan atau vitamin juga diuar-uarkan sebagai makanan ‘super’. Jika diperhatikan, teh hijau kerap kali diiklan membantu penurunan berat badan dan dapat mencegah kanser. Sementara DHA (sejenis omega-3) didakwa berfaedah untuk perkembangan otak kanak-kanak.

ADAKAH MAKANAN ‘SUPER’ BENAR-BENAR HEBAT?

Sebahagian makanan super sememangnya mempunyai nilai pemakanan yang berkhasiat untuk kesihatan. Omega-3 adalah sejenis asid lemak perlu yang penting untuk metabolisme. Teh hijau pula kaya dengan katekin, sejenis antioksidan yang mampu menghapuskan radikal bebas berbahaya untuk kesihatan.

Makanan ‘super’ biasanya diperkenalkan bersama bukti kajian yang menunjukkan kandungan tinggi bahan berkhasiat dalam makanan terbabit atau bagaimana bahan ini boleh mencegah malah menyembuhkan penyakit berbeza.

Namun biasanya kajian berkenaan tidak disimpulkan dengan baik, hasil penemuan tidak tetap dan tidak mungkin satu jenis makanan boleh mempunyai kesan ke atas sebarang penyakit dengan sendirinya.

“Tidak dinafikan, kajian saintifik ini berasas. Tetapi biasanya ia tidak mencerminkan pemakanan kita yang sebenar. Kajian menunjukkan katekin boleh menyekat pertumbuhan sel kanser, namun ujian makmal selalunya menggunakan ekstrak tulen bahan berkenaan.

“Tambahan pula, kajian awal ke atas model haiwan tidak menggambarkan secara tepat kesan terhadap metabolisme tubuh manusia kerana adanya faktor lain yang perlu dipertimbangkan.

“Sesetengah kajian ke atas subjek manusia yang menggunakan satu atau beberapa bahan daripada tumbuhan atau haiwan, menggunakan reka bentuk kajiannya lemah dengan jumlah subjek yang sedikit, tempoh kajian singkat, kurangnya maklumat keselamatan dan adanya kesan jangka pendek yang memerlukan keputusan berhati-hati bagi penggunaan,” katanya.

Begitupun katanya, makanan ‘super’ masih boleh menjadi sebahagian daripada pemakanan keluarga. Namun, perlu diketahui bahawa mengambil sejenis makanan secara berlebihan tidak akan membekalkan semua nutrien yang diperlukan.

“Kompaun bioaktif koko dalam coklat gelap sememangnya mempunyai faedah kesihatan, tetapi jika dimakan secara berlebihan, kandungan gula dan lemak yang tinggi boleh membawa kepada masalah kesihatan lain.

“Penggemar makanan ‘super’ yang mengamalkan tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat juga tidak akan mengalami perubahan seperti yang diharap. Daripada mengikut trend semasa, memupuk tabiat pemakanan yang baik adalah kunci utama untuk kesihatan,” katanya.

TUMPU PEMAKANAN SIHAT

Melihat kepada hasil penyelidikan dan kajian yang ada, Dr Azrina berpendapat, ada baiknya jika orang ramai tidak bergantung kepada pengambilan makanan ‘super’ semata-mata, sebaliknya mengamalkan pemakanan sihat yang seimbang, sederhana dan pelbagai untuk keluarga.

“Capai diet seimbang dengan memakan lebih banyak sayur, buah dan bijirin penuh serta kurangkan garam, gula, lemak dan minyak seperti yang disarankan. Amalkan kesederhanaan dengan tidak memakan sesuatu terlalu banyak atau terlalu sedikit (BMV). Kepelbagaian makanan dalam diet penting untuk memberikan nutrien berbeza yang diperlukan.

“Satu cara untuk anak anda amalkan diet sihat adalah dengan menggalakkan mereka makan buah dan sayur pelbagai warna yang menunjukkan kehadiran pigmen berbeza. Contohnya, warna merah pada tomato menunjukkan tingginya likopen iaitu sejenis antioksidan. Warna oren kekuningan pada lobak merah atau betik mengandungi beta-karoten yang akan ditukar menjadi vitamin A, manakala warna biru atau ungu seperti beri biru dan ubi bit mengandungi antosianin, juga sejenis antioksidan.

“Ibu bapa juga perlu berhati-hati dengan kandungan nutrien dalam produk makanan yang dibeli. Baca label, perhatikan panel maklumat pemakanan dan bahan yang digunakan serta ketahui apa yang diberikan kepada anak anda. Berwaspada dengan helah pemasaran, jangan terpedaya dengan pembungkusan menarik dan perkataan bombastik,” katanya.

Jelasnya, tabiat pemakanan mempunyai kesan lebih besar ke atas kesihatan berbanding pengambilan beberapa makanan ‘super’. Begitupun, ia masih boleh diambil tetapi usah bergantung penuh kepadanya.

“Apa pun, tiada satu makanan yang boleh memberikan semua nutrien yang diperlukan untuk kesihatan. Lebih praktikal untuk sentiasa mengamalkan BMV dalam diet berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.

“Makanan ‘super’ popular dalam talian juga selalunya mahal dan sukar didapati, tetapi kita juga ada versi makanan ‘super’ tempatan yang lebih mudah diperoleh umpamanya tempe (kaya dengan protein, serat dan kalsium), bayam (vitamin K, kalsium, zat besi), rambutan (serat, vitamin C), betik (vitamin A, folat) dan banyak lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 5:30 AM