MEMASUKKAN manik ke dalam benang menguji kemahiran sensori tangan dan kesabaran.
MEMASUKKAN manik ke dalam benang menguji kemahiran sensori tangan dan kesabaran.


KEPERIHATINAN banyak pihak dalam membantu masyarakat memahami dunia kanak-kanak autistik sangat dihargai. Mana tidaknya, anak-anak autistik sebenarnya berada dalam dunia sendiri yang sukar untuk ditembusi jika kita tidak memahami keadaan mereka.

Malah keunikan inilah yang menyukarkan mereka untuk berinteraksi dengan orang lain. Sempena Bulan Kesedaran Autisme April ini, Nestle Malaysia baru-baru ini bekerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) untuk menceriakan 50 kanak-kanak dalam sesi sukaneka, sebagai sebahagian daripada Program Sukarelawan Kakitangan Nestle Malaysia, ROCKS (Reaching Out to Community and Kids).

Aktiviti bersama sukarelawan TOCKS atau yang lebih mesra dikenali sebagai ROCKers, bertujuan menggalakkan mereka menyertai aktiviti yang menyeronokkan dan membantu meningkatkan integrasi sensori, komunikasi serta kemahiran interaksi sosial mereka.

Sesi sukaneka itu meliputi pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan kerusi berirama dan permainan bola yang dipertingkatkan untuk menggalakkan kanak-kanak belajar menerusi pengalaman.

JALAN ikat kaki pupuk semangat bekerjasama.
JALAN ikat kaki pupuk semangat bekerjasama.

Menurut Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Nirmalah Thurai, usaha menyokong masyarakat adalah sesuatu yang dekat di hati syarikat itu dan pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan NASOM untuk menganjurkan hari yang menyeronokkan bersama kanak-kanak ini dan keluarga mereka.

“Kami gembira kerana berpeluang membantu meningkatkan kesedaran orang ramai dengan matlamat untuk memberi lebih kefahaman dan sokongan kepada masyarakat autistik,” katanya.

Pengerusi NASOM, Felina Feisol menambah, pihaknya terharu melihat syarikat terkenal seperti Nestle Malaysia mencurahkan masa dan tenaga untuk menyokong perjuangan mereka.

“Kanak-kanak ini seronok dapat berinteraksi dengan ROCKers dan aktiviti ini juga menyokong pembangunan peribadi dan kemahiran komunikasi serta meningkatkan keyakinan mereka. Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini bagi terus meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.”

Gelak ketawa dan jerit gembira memenuhi suasana sepanjang sukaneka berkenaan. Malah ibu bapa dan penjaga juga terharu melihat anak-anak boleh bermain bersama dan belajar mengasah kemahiran bersosial mereka.

Selain sesi sukaneka, Nestle Malaysia menyumbangkan barangan bernilai RM13,000 kepada NASOM untuk keperluan pentadbiran, termasuk mesin perlaminaan, papan putih dan projektor LCD. Mereka juga menyumbangkan produk seperti Milo, Nestum dan bijirin sarapan Nestle.

KELUARGA besar ROCKers dan NASOM bergambar kenangan.
KELUARGA besar ROCKers dan NASOM bergambar kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 5:30 AM