SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian. FOTO: Salhani Ibrahim
Intan Mas Ayu Shahimi


KESEDARAN mengenai khasiat susu ibu dalam kalangan wanita kini boleh dikatakan semakin meningkat. Kalau dulu, ramai wanita mudah mengalah kerana sukarnya memulakan penyusuan susu ibu. Namun kini, mereka nekad memenuhi keperluan bayi.

Katakan apa saja jalannya, ibu sanggup berusaha demi memastikan si manja menjalani penyusuan eksklusif. Lebih beruntung bagi golongan suri rumah, jika mereka dapat menyusukan bayi secara eksklusif.

Hal ini tidak sekadar berlaku dalam kalangan ibu yang melahirkan, tetapi turut dirasai wanita yang mengambil anak angkat pada usia bayi atau kurang dua tahun. Naluri keibuan lazimnya menarik wanita untuk menjadikan anak jagaan sebagai anak sendiri. Justeru, satu-satunya jalan yang dibenarkan syarak adalah dengan menjadikan anak jagaan sebagai anak susuan.

Menurut Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Zilal Saari, syarat untuk menjadi ibu susuan memerlukan tiga perkara utama iaitu ibu, anak, dan susu ibu.

“Kalau kita teliti kembali secara dekat, hukum menyusukan anak angkat adalah harus. Apabila kita sebut ibu, dia mestilah wanita Islam. Tetapi tidak disyaratkan berkahwin atau hamil.

“Bayi pula haruslah berusia kurang dua tahun dan susu digunakan adalah susu ibu berkenaan. Untuk melengkap­kan syarat anak susuan, ibu perlu menyusukan bayi berkenaan sekurang-kurangnya lima kali kenyang. Pemberian susu boleh dibuat sama ada secara terus, menggunakan botol ataupun cawan,” katanya.

Menjelaskan banyak salah faham dalam kalangan wanita yang menyusukan anak angkat, anak saudara atau bayi kenalan, Dr Zilal berkata, kenyang yang disebut dalam syarat perlu ditentukan menerusi tiga cara.


DR Zilal Saari.

“Pertamanya adalah dengan pengukuran mililiter. Jika bayi berkenaan sudah biasa menyusu menggunakan botol dan kita tahu jumlah mana yang boleh mengenyangkan, jadi ia lebih mudah.

“Keduanya, ia boleh ditentukan daripada tindak balas bayi itu sendiri. Sama ada dia melepaskan puting dan sendawa kerana kenyang atau masih menangis berikutan tidak mendapat susu mencukupi.

“Akhir sekali adalah naluri ibu itu sendiri. Lazimnya ibu yang menyusukan bayi akan tahu bila bayi mereka kenyang. Jadi, terpulang kepada ibu untuk menilai sama ada tempoh penyusuan itu mencukupi dan bayi kenyang,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Seminar Ar-Radha’ah, Menjadikan Anak Angkat Sebagai Anak Susuan di Gravidities Parentcraft Center, beru baru ini.

Selain Dr Zilal, seminar itu turut disertai dua Pakar Laktasi, Dr Nurzarina Abdul Rahman dan Siti Mariam Ali. Seminar itu diadakan khas untuk membantu golongan wanita menjalani fasa awal bergelar ibu serta memberi panduan mengenai penyusuan cetusan laktasi.

Jelas Dr Zilal, sekalipun menyusukan anak angkat dituntut dalam Islam, masih ramai ibu bapa yang kabur dengan hukum, syarat serta beberapa perkara teknikal yang sepatutnya diberi perhatian khusus.

“Orang kata, apabila jadi anak susuan, semua jadi mudah. Kalau bersentuhan sekalipun, tidak batal air sembahyang. Tapi ingat, ada banyak lagi perkara penting yang perlu dipelihara. Sekalipun dibenarkan pelanggaran batasan aurat, tapi tidaklah keterlaluan.

“Jagalah pergaulan dan paling penting, ketahui bahawa anak susuan juga punya hak untuk hibah atau wasiat. Jangan kita hanya mahu mudahkan urusan anak-ibu angkat atau anak-ayah angkat, tetapi menidakkan hak mereka di akhir kelak.

“Selain itu, Islam juga menggariskan beberapa larangan antaranya mengharamkan perkahwinan saudara sepenyusuan, penasaban bin atau binti kepada ayah angkat, perwalian perkahwinan dan pewarisan harta pusaka. Semua ini demi menjaga kemaslahatan umat.

“Satu lagi hal utama yang perlu diberi perhatian adalah menyimpan rekod sendiri. Ini bagi kes ibu yang mempunyai ramai anak susuan. Catatkan nama bayi berkenaan, nombor surat beranak, nama ibu bapa kandungnya, alamat dan lain-lain maklumat yang dirasakan berkaitan. Sebaiknya, dokumen ini turut ditandatangani saksi. Ini penting untuk mencegah hubungan terlarang di masa depan,” katanya.


DR Nurzarina ketika menyampaikan ceramah.

Dalam pada itu, Dr Nurzarina berkata, wanita yang berhasrat untuk menyusukan anak angkat dinasihatkan mendapatkan tunjuk ajar dan panduan daripada doktor serta pakar laktasi.

“Jika seorang wanita itu sudah tahu bila dia akan menjadi ibu (ibu angkat kepada bayi), kita akan nasihatkan mereka membuat persediaan enam bulan sebelum dia menerima bayi berkenaan. Kita akan beri pil hormon dan mereka perlu ikut protokol biasa.

“Namun, jika dia tidak punya masa dan menerima bayi dalam masa singkat, lazimnya kita akan perkenalkan protokol berbeza. Semua ini perlu dirujuk kepada doktor supaya tidak berlaku kesilapan yang mungkin membahayakan diri serta bayi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:00 AM