PASTIKAN kuku cantik, bersih dan berseri lebaran nanti.
Intan Mas Ayu Shahimi


KETERUJAAN menyambut hari raya sudah pun bermula. Selain membuat persiapan baju, kasut dan beg tangan, jangan lupa beri perhatian kepada penampilan diri. Tidak sempurna persiapan lebaran jika semuanya serba baru, tetapi wajah tiada seri.

Sepatutnya, busana cantik perlu dipadankan dengan gaya solekan dan dandanan cantik. Barulah penampilan tampak seiring dengan gaya. Sekarang adalah masa terbaik untuk membuat persediaan.

Sementara masih belum sibuk dengan pelbagai komitmen, mengejar waktu untuk menggandakan ibadah serta membuat persiapan akhir, ada eloknya jika membelek wajah dan penampilan hujung minggu ini.

Berikut beberapa tip berguna sebagai panduan.

1. Sibuk bekerja kadang-kadang membuatkan wanita lupa untuk membelek kesan cela pada wajah. Tambahan setiap hari kita terpaksa mengejar masa bersolek, menyiapkan keperluan diri, keluarga dan menghadap kesesakan jalan ke pejabat.

Ketahui masalah sebenar kulit sama ada berminyak, kusam, berjerawat atau liang wajah tersumbat. Dapatkan rawatan di spa yang dipercayai. Lakukan rawatan wajah untuk mengembalikan seri wajah. Tidak perlu berbelanja lebih untuk pakej rawatan eksklusif, memadai dengan rawatan membersihkan dan merawat masalah pada wajah.

2. Bagi yang mengalami masalah jerawat yang teruk, rujuklah pakar kulit di klinik berhampiran. Biasanya tempoh sebulan diperlukan untuk mendapatkan hasil yang diingini atau sekurang-kurangnya lebih baik dari sekarang.

Jaga pemakanan dan elak hidangan berminyak, bergoreng, bertumis atau boleh mencetus alahan untuk kesan yang lebih baik. Banyakkan minum air kosong dan gandakan pengambilan buah-buahan dan sayuran ketika berbuka puasa.

3. Jika anda mewarnakan rambut, elok andai mengembalikan semula mahkota wanita ini ke keadaan asal. Rawat masalah rambut rosak dan beri perhatian jika mempunyai masalah kelemumur. Elakkan berjalan di bawah terik matahari tanpa topi atau skaf. Cuci dan guna perapi bersesuaian dengan jenis rambut.


SINGGAH ke mana-mana salun rambut untuk buat rawatan.

4. Curi sedikit masa untuk berjumpa doktor gigi dan dapatkan pemeriksaan sewajarnya. Pastikan gigi bersih dan bebas bakteria untuk senyuman manis lebaran nanti. Ini elok dibuat sementara Ramadan belum tiba.

5. Kalau lazimnya memotong kuku di rumah, sesekali manjakan diri di spa atau pusat kecantikan beberapa hari sebelum Aidilfitri. Sepanjang puasa ini nanti, pastikan kuku sentiasa pendek dan bersih.

Elakkan mengecat kuku supaya kuku tampak bersih berseri lebaran nanti. Sapu krim atau cecair vitamin sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ini boleh didapati di pusat kecantikan kuku.

6. Ada sebulan lagi untuk anda fikirkan gaya solekan bersesuaian dengan busana yang akan disarung di pagi Syawal kelak. Biasanya, untuk tema hari raya, solekan perlu nampak segar dan ringkas.


AMBIL peluang belajar seni solekan.

Rujuk tip solekan di akhbar ini setiap Khamis. Anda juga boleh mempelajari kaedah bersolek menerusi laman sosial atau bertanya rakan-rakan berpengalaman. Tip penting, jangan bersolek berlebihan!

7. Memandangkan cuaca terik sekarang, jangan lupa memakai krim pelindung matahari setiap kali keluar rumah. Cuci wajah dengan air sejuk setiap pagi dan beri urutan ringkas setiap kali sebelum tidur.

Pertimbangkan keperluan untuk menggunakan bahan dapur seperti timun untuk mengurangkan lingkaran gelap bawah mata. Jika ada peruntukan lebih, beli saja krim bersesuaian.

8. Pupur wajah kini mudah didapati di farmasi. Pilih sama ada jenis gel, skrub atau topeng muka yang tidak perlu dicuci selepas dipakai. Bagi yang rajin dan kreatif, banyak bahan di dapur boleh digunakan untuk tujuan ini.


CURI masa sedikit untuk berjumpa doktor gigi anda.

9. Bagaimanapun, puasa tidak mengehadkan kita untuk mengamalkan pengambilan makanan seimbang dan air mencukupi. Ketahui apa yang anda makan dan beri perhatian kepada jumlah air kosong diambil setiap hari.

10. Lakukan senaman ringan sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mengekalkan kecergasan tubuh!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 5:30 AM