DR Zilal mahu satu hari nanti kembali menjadi norma dalam masyarakat kita.
Intan Mas Ayu Shahimi


REDUP pandangan mata wanita ini tatkala berbicara. Kali pertama bertemu dengan pensyarah kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini ketika dia mengendalikan seminar di ibu kota, Mac lalu.

Jauh wanita ini merantau demi mencurah ilmu buat golongan ibu dan mereka yang dahagakan pengetahuan berhubung hukum hakam Islam bersifat amali. Begitupun, jarak bukanlah penghalang untuknya memperjuangkan hak seorang bayi daripada ibunya.

Terlihat betapa komited wanita ini dalam memperjuangkan penyusuan susu ibu, sekali gus memperbetulkan banyak salah faham dalam ilmu laktasi khususnya berkaitan hukum Islam.

Mengenali wanita ini secara dekat, Dr Zilal Saari sebenarnya individu bersemangat kental dalam hidup. Kecintaannya terhadap ilmu begitu tinggi sehingga berjaya menggenggam ijazah kedoktoran (PhD) seawal usia 29 tahun.

“Selalu orang bertanyakan nama saya kerana unik. Zilal sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud naungan. Ada sebuah kitab tafsir al-Quran yang ditulis ulama Islam berjudul Fi Zilalil Quran. Ia bermaksud Di Bawah Naungan Al-Quran,” katanya mesra.

Menurut anak kelahiran Selangor ini, dia mendirikan rumah tangga pada usia 21 tahun dengan Zaid Zahar ketika sedang menuntut di UTM, Johor Bahru, Johor. Hasil pernikahan, dia dikurniakan tiga anak iaitu Said, 11, Khalid, (sembilan tahun) dan Sofea (empat tahun).

“Ayah saya, Saari Sungib menggalas tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Hulu Klang, selama tiga penggal. Sepanjang ayah menggalas tanggungjawab berkenaan, saya lihat dia sentiasa berpegang kepada prinsip yang digariskan Islam. Dia seorang yang berjiwa besar dan berpemikiran jauh.

“Ibu pula seorang suri rumah dan saya rasa cukup bertuah kerana dapat membesar dengan air susu ibu, air tangan masakan ibu dan pakaian yang dijahit ibu sendiri. Ibulah juga sering mengajar kami mengenai amalan pemakanan yang baik dan sihat, kepentingan bersenam serta perlunya menjaga alam sekitar,” katanya.

Menyentuh titik mulanya dalam memperjuangkan penyusuan susu ibu, kata Dr Zilal, dia seorang yang mudah tersentuh. Pada awalnya, dia menganggap sikap lembut yang ada dalam dirinya sebagai kelemahan. Namun, selepas menilainya secara positif, dia nekad menjadikan emosi sebagai penggerak dan pencetus perkara yang ingin dilakukan.

“Ada dua peristiwa yang menjadikan saya begitu komited dengan perjuangan ini. Pertama, ketika anak pertama lahir pada 2008. Saya langsung tidak mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan susu ibu.

“Saya bersalin ketika cuti semester. Tamat tempoh berpantang, saya perlu kembali ke kuliah. Ketika itu, saya memang tidak membuat bekalan susu ibu. Apa yang ada hanyalah stok susu yang dikumpul semasa anak ditahan di wad kerana jaundis dan jangkitan paru-paru.

“Apabila stok susu habis, dengan bangganya saya berkata kepada pengasuh anak, esok saya akan bawa susu tepung untuk Said. Namun, tak disangka apabila pengasuh sendiri menegah dan menyuruh saya memberi Said susu ibu. Katanya, susu ibu adalah yang terbaik.

“Insiden ini meninggalkan kesan besar dalam diri. Saya rasakan bagai ditampar di muka. Betapa mudahnya diri menyerah kalah kerana tiada ilmu berkenaan penyusuan susu ibu,” katanya.

Peristiwa kedua kata Dr Zilal, berlaku selepas dia berjaya menyusukan anak kedua dengan susu ibu sepenuhnya selama dua tahun. Sebagai ibu, dia amat bangga dan berpuas hati.

Kebetulan ditawarkan menyambung pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), wanita ini diberikan tajuk berkenaan penyusuan oleh wanita yang tidak hamil. Pada hematnya, sudah tentu wanita dalam kelompok berkenaan tidak bertuah seperti dirinya.

“Jadi, saya nekad memilih tajuk ini sebagai tajuk penyelidikan PhD. Dalam proses melengkapkan penyelidikan inilah hati saya disentap kuat. Hasil kajian yang saya peroleh mendapati wanita yang menjalankan proses penyusuan cetusan untuk anak angkat, sebenarnya individu yang berhati mulia. Jiwa mereka kental dan lebih mulia dari saya.

“Banyak kisah inspirasi yang saya kutip. Mereka ini saya kenang dalam coretan puisi bertajuk Wanita Bersifat Rahim. Puisi ini khusus untuk wanita yang berjuang menyusukan anak angkat masing-masing. Sementara saya pula menanam azam tinggi untuk memperjuangkan penyusuan susu ibu bagi menebus kembali kejahilan dan keegoan diri saya yang dulu,” katanya.

MUHASABAH DIRI

Saat ditanya siapakah dirinya, Dr Zilal mengakui sukar untuk memberi jawapan tepat. Kata anak keempat daripada tujuh beradik ini, dia percaya setiap manusia akan sentiasa belajar untuk mengenal diri supaya lebih mengenal Maha Pencipta.

“Sejak kecil saya agak manja dan penakut. Tetapi hasil didikan ayah dan ibu. mereka menjadikan saya seorang yang lebih berani dan berjiwa kental. Antara latihan yang saya jalani ketika kecil adalah mendaki Gunung Kinabalu pada usia 13 tahun tanpa ditemani ahli keluarga.

“Ayah yang menghantar saya mengikuti ekspedisi ini. Tidak ada seorang pun yang saya kenal, cuma beberapa orang (rakan ayah) saja yang menemani saya ke puncak.

“Saya ingat lagi, sebelum sampai ke puncak, saya diserang demam panas kerana terlalu letih dan cuaca yang amat sejuk. Ayah kemudian menelefon dan memberi kata semangat. Katanya, Zilal mesti sampai ke puncak. Saya menangis, tapi akhirnya tiba juga ke puncak Gunung Kinabalu.

“Alhamdulillah, saya selalu percaya didikan keluarga dan contoh teladan yang ditunjukkan ibu bapa sepanjang membesarkan anak itulah yang akan membentuk jati diri kita pada usia dewasa,” katanya tersenyum.

TABUR BAKTI

Sekalipun kerjaya pensyarah di universiti penyelidikan seperti UTM unik dan mencabar, Dr Zilal mengakui gembira mengutip banyak pengalaman baru yang membangunkan diri dan jiwanya.

“Di sini, pensyarah digalakkan untuk membangunkan kepakaran dalam bidang masing-masing, membabitkan diri dalam aktiviti perundingan, pengkomersialan dan berkolaborasi dengan pihak industri.

“Jadi, apa yang saya lakukan sekarang tidak lari daripada tugas pensyarah. Saya berharap, satu hari nanti, amalan penyusuan susu ibu dan budaya ibu susuan kembali menjadi norma dalam masyarakat.

“Disebabkan revolusi industri, susu formula tercipta, namun penciptaan berkenaan memberi impak yang besar khususnya dari segi kesihatan ibu dan bayi. Bagaimanapun, saya gembira melihat kesedaran terhadap kepentingan penyusuan susu ibu semakin meningkat. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang berganding bahu sepanjang jalan ini,” katanya.

Kata Dr Zilal, dia tidak kisah menempuh perjalanan jauh, berulang-alik dari Johor Bahru ke lokasi program semata-mata untuk membimbing golongan ibu, jurulatih laktasi dan mereka yang mahu menyusukan anak angkat.

“Saya fikir kecintaan pada apa yang kita perjuangkan dan kesabaran adalah kuncinya. Saya selalu berpegang kepada falsafah, ‘berilah sebanyak-banyaknya, suatu masa nanti pasti akan nampak hasilnya’.

“Islam juga mengajar umatnya supaya berbakti sesama manusia. Ada banyak cara menyumbang kepada masyarakat, antaranya adalah dengan menyebarkan ilmu yang baik. Jadi, tidak salah kalau saya berkorban sedikit untuk kepentingan awam. Itu yang saya pegang,” katanya.

Mengakui bertuah kerana mendapat sokongan ibu bapa, keluarga mentua, suami dan anak, Dr Zilal berkata mereka banyak memberi contoh teladan yang baik.

“Selain keluarga, masa adalah rezeki. Apa yang penting adalah keberkatan masa. Walaupun sibuk dan jadual penuh, saya cuba sebaik-baiknya untuk menggalas tugas sebagai ibu dan isteri. Saya mengamalkan zikir supaya diberi kelapangan waktu dan keberkatan masa.

“Kemahiran pengurusan emosi dan stres juga perlu bagi seorang wanita. Tidak kira dalam apa juga situasi, sentiasa peka dengan perubahan dan keperluan emosi.

Kalau kita mendapat sokongan dan persekitaran positif, tentu kita mampu menyumbang lebih banyak,” katanya.

BERSAMA bapa (kiri), suami dan ibu selepas menerima ijazah doktor falsafah pada 2015.

BERI SEMANGAT KEPADA IBU

Sebagai kaunselor laktasi, wanita ini perlu punya hati tulus untuk membantu golongan ibu. Ada kalanya mereka memerlukan bantuan segera. Jadi, kaunselor perlu beri maklum balas segera.

“Kaunselor laktasi hanyalah tempat melegakan tekanan akibat masalah penyusuan. Dengan kehadiran kita, ia sedikit sebanyak memberi semangat dan keyakinan pada ibu untuk meneruskan penyusuan walaupun mengalami kesukaran.

“Bagi ibu yang mampu menyusukan, tambahlah ilmu pengetahuan melalui pembacaan. Hadiri siri latihan yang banyak ditawarkan pelbagai pihak. Dengan ilmu yang betul, kita pasti dapat melaksanakan tugas penyusuan sebagaimana dianjurkan Islam.

“Buat wanita yang sudi memelihara anak angkat dan bersusah payah menyusukan, anda adalah wanita yang tulus. Saya sering sebut, sekiranya organ rahim seorang wanita sudah tidak berfungsi untuk menghamilkan zuriat sendiri, wanita sebenarnya mempunyai rahim yang kedua. Sifat rahim yang bermaksud memiliki kasih, sayang, rindu, belas dan cinta. Sifat inilah yang menjadikan anda wanita teristimewa dan paling bahagia menurut kaca mata anda sendiri.

“Berjuanglah untuk setitis susu ibu, ganjarannya akan diperoleh kelak. Ikhlaskan hati untuk menyusukan anak pelihara kerana Allah SWT lebih tahu isi hati anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 6:00 AM