LAYAN anak dengan mesra.
USAH melenting, membeza-bezakan si kecil jika berlaku kesilapan. GAMBAR hiasan
Intan Mas Ayu Shahimi


RAMAI di antara ibu bapa kini cenderung bersikap ambil mudah terhadap emosi dan keinginan anak berikutan sikap penting diri selain terlalu sibuk dengan tugas, kerja rumah serta rutin harian lain.

Lebih mengecewakan anak-anak apabila mereka dimarahi sebaik menyambut pulang ibu atau bapa di muka pintu berikutan kesilapan kecil. Lazimnya, kesilapan dibuat adalah disengajakan untuk menarik perhatian.

Boleh jadi, berlaku juga insiden di luar jangkaan anak berikutan teruja dengan kehadiran ibu bapa selepas seharian di sekolah atau berada dalam jagaan taska mahupun pengasuh.

Menurut Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad, sudah sampai waktunya ibu bapa menilai kembali bentuk layanan yang diberikan terhadap anak supaya mereka tidak terus menjauh pada masa depan.

“Dalam masyarakat kita hari ini, ibu bapa cenderung membezakan perilaku dan sikap anak. Mereka mendidik anak sama rata, namun kemudian mempersoalkan; mengapa anak kedua tidak patuh sebagaimana anak sulung; mengapa anak ketiga tidak mendengar kata seperti kakak abang dan sebagainya.

“Sepatutnya, ibu bapa kena yakin dan menerima kenyataan bahawa setiap anak berbeza. Usah melenting jika anak kedua tidak mendengar kata sebagaimana yang sulung atau anak ketiga terlalu perlahan berbanding yang lain.

“Anak tidak perlukan reaksi ‘Hulk’ dari ibu bapa apabila mereka melakukan kesilapan, tetapi menginginkan pelukan kasih sayang terutama bagi anak yang degil, aktif dan suka meraih perhatian. Jika kita sebagai ibu bapa terlalu kerap marah, tidak mustahil mereka akan memberi reaksi sama. Kalau kita lebihkan pelukan, anak akan menjadi lebih mudah dibentuk dan mendengar nasihat,” katanya.

SYARAT PELUKAN

Kata Zaid, terdapat banyak rahsia yang sukar dijelaskan di sebalik pelukan kasih daripada ibu dan bapa. Pelukan ikhlas, penuh kasih dan perhatian lazimnya memberi impak lebih positif berbanding pelukan sekejap.

Berikut antara syarat yang perlu ibu bapa perhatikan ketika memeluk anak-anak:

1. Paras mata

Pelukan terbaik haruslah pada paras mata yang sama. Memandangkan fizikal ibu bapa yang tinggi, mereka perlu melutut atau duduk sehingga bertentangan mata. Dalam keadaan ini, bukan mata lagi yang menjadi ukuran sebaliknya adalah hati.

Apabila ibu atau bapa mendekati anak dalam paras penglihatan yang sama, secara tidak langsung hati mereka juga akan turut bersentuhan ketika berpelukan.

2. Beri masa

Ramai di antara kita tidak tahu bahawa satu pelukan perlu diberi masa antara lapan hingga 22 saat. Ia dianggap tempoh minimum apabila seseorang berpelukan. Lebih lama pelukan dieratkan, lebih bagus untuk minda dan psikologi anak-anak.

Lebih menarik jika perbuatan ini diubah menjadi suatu konsep ‘wajib buat’ dalam keluarga. ‘Konsep pelukan 10 saat’ umpamanya, ia harus dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebagai permulaan, lakukan sesama pasangan suami atau isteri. Mungkin terbit perasaan kekok bagi mereka yang lama mengetepikan kepentingan pelukan dalam perhubungan. Namun itu adalah biasa bagi setiap yang baru hendak bermula.

Memeluk anak selama 10 saat mungkin agak sukar, terutama bagi yang aktif bergerak ke sana sini. Cara mudah, ucapkan salam di telinga kanannya, diikuti kata-kata motivasi, pujian dan semangat di telinga kiri.


ZAID

Jelas Zaid, selain memeluk anak, terdapat beberapa tip lagi yang boleh dicuba ibu bapa dalam memahami emosi dan keinginan sebenar anak-anak. Ketepikan perasaan penat, kurang sabar dan cepat marah.

Beri anak ruang dan peluang untuk dihargai. Iktiraf bakat dan kelebihan mereka berdasarkan siapa diri anak sebenarnya. Paling penting berhentilah daripada terus membandingkan mereka. Antara tip berkenaan ialah:

1. Panggil anak dengan nama positif

Jika sebelum ini kita melihat luaran anak-anak, ada baiknya jika meneliti minat dan kecenderungan mereka setiap kali berada di rumah, bermain atau keluar berjalan-jalan.

Umpamanya, kalau anak sulung dilihat suka berniaga, kita mungkin boleh memanggilnya dengan gelaran ‘CEO In The Making’, Usahawan Berjaya, Pakar Bisnes dan sebagainya.

Jika anak kedua suka melukis, menconteng dinding, mewarnakan tubuh, menggunting dan menconteng perabot, panggil saja sebagai ‘Future Superstar’ atau Seniman Agung.

Sekiranya anak ketiga seorang yang aktif dan lincah, beri panggilan ‘Cili Padi’. Semua ini bertujuan memberi semangat dan motivasi kepada anak-anak, selain menyatakan pengiktirafan kita terhadap bakat yang mereka ada.

2. Kenal pasti keistimewaan

Usah kecewa jika salah seorang anak dikategorikan sebagai individu yang lambat belajar. Itu adalah biasa kerana statistik menunjukkan, satu daripada empat kanak-kanak akan mempunyai masalah tertentu.

Mereka ini mungkin lebih sesuai dipanggil OKB atau orang kelainan belajar. Sebagai ibu bapa, kita harus menerima hakikat dengan tangan yang terbuka. Tambahan realiti sudah menjelaskan bahawa setiap manusia memiliki lima deria. Jadi, sudah pasti ada anak yang akan memiliki kecenderungan terhadap salah satu daripada lima deria berkenaan.

3. Setiap anak adalah genius

Menurut pakar psikologi Amerika, Prof Howard Gardner, kanak-kanak boleh dikategorikan mengikut teori lapan cabang genius. Beliau mengkaji ribuan kanak-kanak dan mendapati setiap anak memiliki kebijaksanaan dalam lapan cabang berbeza.


ZAID

Jadi, dekatilah anak dan kenal pasti mana satu dalam lapan cabang kebijaksanaan yang disenaraikan menepati minat anak. Buang tanggapan anak genius hanyalah mereka yang bijak matematik dan cemerlang dalam pelajaran.

Ada tujuh lagi cabang genius yang mungkin sepadan dengan kecenderungan anak. Mereka mungkin bijak dalam hal membabitkan alam semula jadi, berbakat menjadi cef, hebat berkomunikasi, bijak visual, pandai muzik, petah bercakap, aktif sukan dan sebagainya.

4. Jadilah hero anak

Jika kita sudah dapat mengenal pasti kelebihan anak-anak, jadilah hero buat mereka. Rangsang bakat anak dengan menghantar mereka mengikuti kelas atau menyertai aktiviti disukai.

Usah cuba menentang kerana tindakan itu hanya membunuh bakat anak. Usahakan supaya bakat yang anak ada menjadi kekuatan buat mereka pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 5:00 AM