NATASHA menunjukkan senaman intensiti rendah semasa berpuasa di Tasvengers The Space, Bangi. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria
Yusliza Yakimir Abd Talib


RAMAI antara kita menjadikan kedatangan Ramadan sebagai tempoh berehat panjang daripada melakukan aktiviti kecergasan dan menumpukan perhatian kepada ibadat.

Keletihan dan kelesuan berpuasa mungkin menyebabkan kita tidak memikirkan keperluan melakukan aktiviti fizikal atau kecergasan.

Memang tidak dinafikan apabila menjalani ibadat puasa, badan menjadi cepat letih disebabkan kekurangan tenaga dalam tubuh. Selain itu, faktor cuaca di negara kita yang panas menambahkan kelesuan dan risiko dehidrasi ketika berpuasa.

Bagaimanapun, kita tidak seharusnya bersikap sambil lewa dalam aspek penjagaan kesihatan diri pada bulan ini. Alasan berpuasa tidak seharusnya menjadi punca kita malas dengan hanya duduk di depan televisyen dan tidur lama pada siang hari sementara menunggu waktu berbuka.

Jurulatih kecergasan, Natasha Zainal berkata, sekiranya kita ingin kekal cergas dan sihat pada bulan puasa, amat penting kita menitikberatkan amalan melakukan aktiviti fizikal dan senaman selain penjagaan makanan yang teratur.

Katanya, walaupun berpuasa, kita juga boleh terus kekal cergas dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman ringan bergantung kepada keupayaan seseorang itu.

Antara senaman yang boleh dilakukan pada bulan puasa adalah latihan kekuatan berimpak rendah.

“Apabila menyentuh mengenai latihan kekuatan, ramai fikir latihan ini perlu dilakukan di dalam pusat kecergasan atau gimnasium menggunakan alat bebanan.

”Sebenarnya tidak perlu pun kerana latihan ini boleh dilakukan dengan hanya menggunakan berat badan sendiri sebagai rintangan atau bebanan,” katanya.

Menurutnya, terdapat banyak manfaat melakukan latihan ini antaranya seseorang boleh membakar banyak kalori dalam masa lebih singkat.

Dalam kesibukan tugas seharian kebanyakan daripada kita tiada masa mencukupi melakukan senaman untuk jangka masa lama, jadi latihan ini antara jalan terbaik membakar lemak dan kalori.

Latihan ini juga dapat membantu membina otot yang secara tidak langsung meningkatkan kadar metabolisme dan kekuatan tubuh.

Dengan menggunakan berat badan, anda akan memaksimumkan keberkesanan keseluruhan latihan yang dilakukan atau senaman dapat dilakukan lebih cekap dan berkesan.

Paling penting latihan ini boleh dilakukan di mana-mana saja dan pada bila-bila masa walaupun ketika menjalani ibadat puasa.

Natasha menunjukkan langkah senaman kekuatan berimpak rendah yang sesuai dilakukan pada bulan Ramadan. Setiap rutin boleh dilakukan 15 kali ulangan dan antara dua ke tiga set.

PLANK MENDARAT

1. Dalam posisi plank, pastikan tangan diluruskan menampung badan dengan bukaan seluas bahu.

2. Turunkan lutut ke lantai dan naik semula. Ulangi langkah.


LANGKAH 2

LUNGES MENGUNDUR DENGAN TENDANGAN

3. BERDIRI, bukakan sedikit ruang antara kaki. Langkahkan kaki kanan ke belakang manakala kaki kiri posisi yang sama. Turunkan lutut sedikit dan tidak melebihi hujung kaki dan tolakkan punggung ke belakang.

4. Serentak kaki kanan menendang ke depan. Ulangi dengan kaki berlainan.


LANGKAH 3 dan 4

TUNDUK, CAPAI DAN TERBANG

5. Badan ditundukkan kedudukan 90 darjah dengan tangan di depan.


LANGKAH 5 dan 6

6. Luruskan tangan ke depan dan kembali ke sisi.

7. Depakan tangan, kemudian ulangi langkah dari awal.

GERAKAN SILANG

8. Luruskan badan dan tangan diangkat dengan kedudukan siku 90 darjah. Lutut kanan ditolak ke atas serentak dengan siku kiri dibawa ke arah lutut. Ulangi kaki sebelah lagi secara berselang seli.


LANGKAH 7 dan 8

TENDANGAN MENYENTUH HUJUNG KAKI

9. Luruskan badan dan kaki kanan seperti menendang serentak dengan tangan kiri menyentuh hujung kaki. Ulangi kaki sebelah lagi secara berselang seli.


LANGKAH 9

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 4:30 AM