SUKARELAWAN ketika menyertai program Kembara Amal Ramadan Aceh 2019.
Yusliza Yakimir Abd Talib


KESEDARAN untuk melakukan kerja amal tidak mengenal usia malah amalan ini pasti lebih bermakna jika dipupuk sejak awal khususnya dalam kalangan belia. Dengan kudrat yang masih kuat dan pelbagai idea segar, sudah tentu kerja sukarelawan dapat memberi impak lebih besar kepada masyarakat.

Kemuliaan hati sekumpulan anak muda ini yang sanggup berkelana jauh daripada keluarga demi misi kemanusiaan wajar diberi pujian.

Mana tidaknya, jika orang lain selesa menghabiskan waktu terluang untuk bersantai bersama keluarga di rumah dan menikmati sajian enak disediakan ibu, mereka pula mengerah keringat membantu golongan yang memerlukan atas dasar kemanusiaan.

Usia 15 sukarelawan ini mungkin masih muda namun jiwa mereka begitu besar yang sentiasa dahagakan aktiviti kebajikan yang dapat memberi manfaat kepada sesama manusia.


SUKARELAWAN bergotong-royong menyiapkan juadah berbuka.

Baru-baru ini, sukarelawan daripada pelbagai negeri dan latar belakang ini bersatu hati menjayakan Kembara Amal Ramadan Aceh 2019.

Siri kembara amal kali ketiga ini membawa mereka mengembara ke bumi Aceh sambil menjalankan aktiviti amal bersama penduduk tempatan sepanjang berada di bumi yang pernah dilanda tsunami itu.

Uniknya program ini apabila sukarelawan tinggal bersama penduduk tempatan di perkampungan di wilayah Gampong Nusa untuk menyantuni mereka. Pendekatan itu membuka peluang kepada sukarelawan menyelami nadi derita yang dilalui penduduknya setiap hari.

Sambil berbuka puasa dan bersahur, keluarga angkat sukarelawan ini berkongsi kisah detik hitam kejadian tsunami yang berlaku di kampung itu dan impaknya kepada keluarga serta diri mereka.

Mereka juga gembira kerana tinggal di rumah tumpangan di situ dapat membantu pembangunan ekonomi pelancongan di kampung berkenaan yang pernah terjejas teruk akibat tsunami.


AYUNI (kanan) bersama rakan sukarelawan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Aceh.

Kembara amal itu inisiatif Pertubuhan Kembara Kesukarelawanan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Volunteering Trip Malaysia (VTM) dengan kerjasama Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE), My Hope Hero dan Trekers Humanitarian Volunteer.

Gabungan sukarelawan ini melaksanakan pelbagai aktiviti di sana seperti memasak hidangan berbuka, membeli-belah keperluan raya, tadabur alam dan mengedarkan barangan asas harian.

Koordinator Projek VTM, Nur Ayuni Mazlan, 33, antara insan penting di belakang misi itu bagi memastikan keseluruhan projek berjalan lancar dengan kerjasama rombongan terbabit.

Melihat kesungguhan mereka menjayakan program itu begitu meruntun hati. Ada yang sanggup meninggalkan keluarga seketika demi membawa sedikit kegembiraan buat masyarakat yang memerlukan termasuk anak yatim di sana, tidak kurang juga yang sanggup berhabis wang dan tenaga untuk menjayakan misi mereka tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Bagi mereka, Ramadan adalah lubuk pahala yang seharusnya direbut setiap umat Islam untuk mengurangkan beban golongan memerlukan. Kalau boleh, ketika inilah kita memberi lebih banyak kerana ganjaran pahala bagi setiap kebaikan yang dilakukan meningkat berkali ganda. Apatah lagi jika sumbangan kecil kita boleh membuatkan ramai orang rasa bahagia.

MENEROKA DUNIA AMAL

Menurut Nur Ayuni, selama empat hari, pelbagai aktiviti disusun dan sukarelawan akan menerokai dunia amal tanpa henti apabila mereka menyertai kembara ini.

“Apabila berada di sini, ada suatu perasaan yang sukar dinyatakan kerana suasana berada di negeri yang terkenal dengan jolokan ‘Serambi Makkah’ selepas tsunami 15 tahun lalu ini sungguh sayu namun pada masa sama ia tampak tenang.

“Oleh itu, perasaan untuk membantu mereka di sini begitu membuak-buak terutama golongan asnaf dan anak yatim.


PROGRAM Kembara Amal Ramadan Aceh 2019 diterajui 15 sukarelawan muda.

“Matlamat kami adalah membawa sukarelawan Malaysia untuk melancong sambil menerokai dunia namun acara bersiar-siar ditukarkan kepada aktiviti membantu komuniti melalui pelbagai kerja kesukarelawanan yang mudah namun mampu memberi impak kepada keluarga penerima manfaat,” katanya.

Menurutnya, tarikan utama projek itu adalah program membeli baju raya untuk 30 anak yatim dan asnaf. Pasukannya turut dibantu sukarelawan di Aceh iaitu Tim Kaki Lasak bagi mencari dan memilih penerima manfaat yang tepat.

Selain itu, menerusi program itu juga Nur Ayuni bersama sukarelawan lain berpeluang membeli bahan masakan di Pasar Penayong untuk majlis berbuka bersama rumah kebajikan Panti Asuhan Penyantun Islam di Aceh Besar yang menempatkan hampir 50 anak yatim.

Katanya, kehadiran sukarelawan turut disambut baik oleh Kementerian Pariwisata Republik Indonesia dan Dinas Kebudayaan dan Pariwisata dari Jabatan Kerajaan Aceh dan mereka turut dijemput untuk menyertai majlis berbuka puasa saat tiba di negara itu.

Mengimbas perjuangannya dalam misi kemanusiaan, Nur Ayuni berkata, VTM ditubuhkan pada Januari 2017 menawarkan pakej kembara yang memberi pengalaman bermanfaat sambil meluaskan pemikiran di tempat orang dan masyarakat yang disantuni.

Katanya, dia bertanggungjawab sebagai Koordinator Program dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang mengetengahkan program kebajikan melalui aktiviti pengembaraan.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila kami berjaya mengumpul dana untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain dalam VTM.

“Antara sumbangan yang kami pernah salurkan termasuk membina tempat wuduk dan membaiki tandas di Kampung Thnot, Wilayah Kratie, Kemboja dan VTM menjadi NGO pertama yang membuat program membeli-belah raya dengan membawa anak yatim Pesantren Saadatul Munawarroh, Leupung, Aceh Besar, Indonesia ke Pasar Aceh.

“Ini sebahagian program yang meninggalkan pengalaman manis dan bermakna buat saya sepanjang penubuhan VTM. Banyak lagi program akan menyusul untuk memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, pembabitannya dalam aktiviti kemasyarakatan bermula sejak tujuh tahun lalu melalui Kelab Belia Malaysia (MAYC). Banyak program komuniti disertai antaranya sukan rakyat, keusahawan belia dan bantuan belia asnaf.

Pengalaman pertama menyaksikan keadaan keluarga ahli belia yang kurang berkemampuan, terdetik di hatinya untuk terus menyumbang tenaga apatah lagi melihat bagaimana mereka bersyukur dan gembira di atas bantuan yang dihulurkan.

Katanya, pengalaman itu juga menjadikan dirinya lebih menghargai kehidupan kerana baginya rezeki Allah itu luas dan dalam rezeki kita, ada hak orang lain menyebabkan dia tidak mahu berhenti untuk terus bergiat aktif dalam bidang ini.

Selain itu, katanya, melihat senyuman keluarga asnaf yang dibantu membuatkan perasaan syukur dan puas itu lebih daripada biasa yang tidak dapat digambarkan.

Ayuni turut menasihatkan mereka yang ingin berjinak-jinak dengan kerja kebajikan supaya memahami apa pun perancangan dan mesti ada matlamat yang jelas.

Ini kerana kejelasan matlamat ini akan membantu untuk menjadikan sebarang program kebajikan kalis tekanan dan boleh dilakukan secara berterusan. Projek kebajikan sebenarnya tidak memerlukan banyak modal. Perkara yang sangat diperlukan dan wajib ada dalam diri setiap sukarelawan adalah semangat yang besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 5:00 AM