KEKAL terhidrat untuk memastikan kulit lembap dan mencegah kemunculan tanda regangan.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Perjalanan kehamilan setiap wanita dari awal hingga tiba saat kelahiran sememangnya dipenuhi keterujaan dan pelbagai rancangan untuk bayi. Namun, mengiringi kegembiraan itu ialah kebimbangan terhadap perubahan fizikal pada tubuh dengan masalah regangan kulit.

Dianggarkan 90 peratus wanita terdedah kepada tanda regangan ketika hamil disebabkan serat elastik di bawah permukaan kulit terbuka kerana badan berkembang lebih cepat daripada kemampuan kulit.

Tanda regangan kehamilan biasanya menjejaskan perut, dada, paha, pinggul, belakang badan serta punggung dan boleh menjadi punca kebimbangan bakal ibu.

Selain pemakanan seimbang dan senaman, pertahanan terbaik terhadap tanda regangan dengan memastikan kulit mengekalkan keanjalan maksimum sepanjang kehamilan.

Kulit perlu dijaga supaya tetap terhidrat dengan baik dan lembut pada setiap masa dengan minum air yang mencukupi dan menggunakan minyak topikal dirumus khas.

Kulit ialah 75 peratus kolagen yang menjadikannya licin dan elastik serta protein diperlukan untuk membuat kolagen. Protein boleh didapati dalam makanan rendah lemak seperti bijirin penuh dan kekacang seperti kacang, kacang pis dan lentil.

Zink juga penting untuk pengeluaran kolagen dan memperbaiki luka. Antara makanan kaya zink seperti daging, ikan, ayam piru, kacang Brazil, tauhu dan tempe. Selain itu, pelbagai sumber makanan sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting untuk mengekalkan kulit yang sihat.

Bagaimanapun, selain merawat masalah itu, disarankan melakukan langkah pencegahan daripada merawat. Berikut tip mencegah berlaku regangan ketika kehamilan yang boleh diamalkan bagi memastikan kulit yang sihat dan berseri.


ELAKKAN kenaikan berat badan mendadak ketika hamil hingga meningkatkan kemunculan tanda regangan.

1. Kawal berat badan

Antara perkara paling penting yang boleh dilakukan untuk mencegah tanda regangan sama ada ketika hamil atau tidak adalah mengekalkan berat badan yang sihat.

Mengawal perubahan badan daripada berlaku terlalu cepat mungkin cara terbaik. Makan makanan sihat dan bersenam untuk membantu menguruskan berat badan. Sekiranya anda mendapati kenaikan atau penurunan berat badan yang mendadak, berjumpa doktor adalah jalan terbaik untuk mengetahui sebabnya.

2. Kekal terhidrat

Minum air yang cukup boleh membantu me­ngawal kulit anda daripada terhidrat dan lembut. Kulit lembut tidak cenderung mening­katkan tanda regangan berbanding kulit kering.

Minum minuman berkafein , seperti kopi sebenarnya boleh meningkatkan risiko terjadi tanda regangan. Jika minum kopi, pastikan anda mengimbangi pengambilan cairan dengan meminum banyak air masak, teh herba atau minuman bebas kafein lain.

3. Makan makanan yang kaya nutrien

Tanda regangan mung­kin juga berlaku jika anda kekurangan nutrisi tertentu. Makan makanan yang meningkatkan kesihatan kulit boleh membantu. Pastikan diet anda merangkumi makanan kaya vitamin C, D dan E, zink dan protein.

Salah satu cara untuk memastikan anda mendapat pelbagai nutrien adalah memilih makanan yang tidak diproses dalam pelbagai warna. Sebagai contoh, untuk sarapan pilihlah telur, roti gandum bakar serta campuran buah-buahan dan sayur kegemaran menambah warna dalam pinggan anda.


AMBIL makanan berkhasiat ketika hamil untuk mengurangkan tanda regangan.

4. Masukkan vitamin C dalam diet

Kolagen memainkan peranan dalam menjaga kulit agar kuat dan anjal. Ia membantu mengurang­kan kemunculan kedutan, tetapi ia juga penting untuk mencegah tanda regangan.

Vitamin C adalah nutrien penting untuk perkembangan kolagen, ia boleh didapati dalam banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Buah sitrus, seperti oren dan lemon adalah sumber vitamin C.

5. Makan makanan kaya zink

Zink adalah nutrien penting untuk kesihatan kulit. Ia membantu mengurang­kan keradangan dan memainkan peranan dalam proses penyembuhan luka. Walaupun bukti mengaitkan hubungan antara zink dan tanda regangan tidak banyak, tetapi memasukkan makanan kaya zink dalam diet seperti kacang dan ikan boleh membantu mengekalkan kulit sihat.

6. Rawat tanda regangan baru apabila ia muncul

Sekiranya anda tidak dapat menghalang kesan regangan pada kulit, apa yang boleh dilakukan adalah berusaha meminimumkan penampilannya supaya ia tidak kelihatan dalam jangka masa panjang. Buat temu janji dengan doktor atau pakar dermatologi untuk membincangkan pilihan rawatan jika terdapat tanda regangan baru. Doktor boleh membantu mengenal pasti apa yang menyebabkannya, sekali gus mungkin dapat mencadangkan pilihan rawatan yang paling baik untuk tanda regangan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:00 AM