LANGKAH-LANGKAH membuat sendiri primer mata.
Yusliza Yakimir Abd Talib


JIKA anda pengguna tegar pembayang mata, mungkin mengetahui kepentingan menggunakan krim primer sebelum memulakan solekan di bahagian itu. Pemakaian primer sebelum menyapu pembayang mata bukan saja menambah baik kualiti dan memastikannya tahan lebih lama, malah ia membantu menyerlahkan kelopak mata dan warna pembayang mata.

Ada sesetengah wanita menjadikan primer solekan ini sebagai satu kemestian. Antara sebabnya:

JIMAT WANG, MASA

Ciri-ciri pelbagai gunanya membuatkan penggunaan primer solekan semakin popular. Ada sesetengah jenama menggabungkan beberapa manfaat contohnya sebagai pelembap dan krim mata. Malah, ada juga yang menjadikannya sebagai krim tabir suria. Jadi dengan kuantiti yang kecil untuk satu sapuan, anda boleh mendapat beberapa manfaat dalam satu masa.

SOLEKAN BOLEH TAHAN LEBIH LAMA

Fungsi primer untuk menjadikan solekan anda bertahan lebih lama tanpa perlu diberi sentuhan semula. Primer menjadi lapisan asas yang ‘memegang’ solekan supaya ia ‘melekat’ lebih cantik dan menyerap minyak pada wajah yang membuatkan seseorang itu tampak berseri.

Sesetengah primer juga boleh digunakan pada kelopak mata bagi membantu lorekan warna pembayang mata terus tampak cantik sepanjang hari. Satu perkara yang penting ialah memilih primer yang sepadan dengan warna bedak asas anda.

ELAK MASALAH KULIT BERMINYAK

Satu cirinya yang disukai ramai ialah kemampuannya menyerap minyak pada kulit wajah dan ia secara tidak langsung dapat menghindarkan anda mempamerkan kilauan yang cuba dielakkan.

ATASI MASALAH LIANG PORI BESAR

Liang pori besar biasanya dialami individu yang mempunyai masalah kulit berminyak. Penggunaan primer dapat membantu anda mengatasi masalah ini dan kulit tampak lebih halus. Sesetengah jenis primer turut mengandungi bahan antipenuaan dan vitamin.

SOLEKAN TAMPAK LEBIH CANTIK

Primer juga mempunyai fungsi lain kerana ia mampu menutup garis halus, kedutan kecil dan lain-lain cela pada kulit. Jadi anda akan tampak lebih muda.

KULIT JADI LEBIH CERAH

Sesetengah jenis primer juga boleh digunakan sebagai penyerlah untuk bahagian muka tertentu yang membuatkan kulit tampak lebih cerah dan sihat. Jadi anda tidak perlu lagi menyapukan penyerlah kerana primer anda sudah melakukan tugas itu.

BUAT SENDIRI

Pelbagai produk primer untuk mata berbentuk cecair di pasaran, namun tahukah anda dengan beberapa produk kecantikan dan penjagaan kulit yang ada di rumah, anda boleh menggabungkannya menjadi primer untuk mata.

Dengan menggunakan tiga bahan utama iaitu bedak asas cecair, krim body butter dan gel daun lidah buaya, anda kini boleh membuat sendiri primer di rumah, lebih-lebih lagi jika anda kehabisan produk itu dan tidak sempat membelinya.

Tidak sukar membuat sendiri primer di rumah. Langkah pertama, sediakan bekas kecil bertutup untuk mencampurkan bahan yang diperlukan. Sama ada membeli bekas baru atau menggunakan bekas lama produk kosmetik yang tidak lagi dipakai, pastikan ia dibersihkan dengan teliti sebelum memakainya.


SATUKAN body butter bersama bedak asas cecair.

Gunakan bedak asas cecair anda biasa gunakan yang diketahui tidak akan menyebabkan reaksi alahan. Selain itu, anda perlu mengadunkan jumlah sama bagi ketiga-tiga bahan yang digunakan untuk membuat primer sendiri.


GAUL rata.

Primer ini bukan saja boleh digunakan pada bahagian kulit mata, malah seluruh kulit wajah, sekali gus menjimatkan kos untuk membeli primer berasingan.

Anda juga boleh menggunakan losen muka bagi menggantikan body butter. Bagaimanapun, body butter berfungsi lebih baik kerana teksturnya lebih pekat dan kekal lebih lama jika disapu di bahagian kelopak mata.

Jika anda mahu gunakan pelembap wajah, pilih yang lebih pekat kerana tekstur yang ringan dan cair kurang sesuai dan tidak berfungsi dengan sempurna berbanding body butter.


MASUKKAN gel daun lidah buaya dan kacau hingga sebati. Masukkan ke dalam bekas dan ia sedia digunakan.

Oleh kerana kelopak mata adalah bahagian yang sensitif, uji losen atau pelembap pada tampalan kecil pada kulit sebelum menggunakannya dalam ramuan primer anda.

Pengeluaran minyak berlebihan di bahagian kelopak mata adalah punca utama pembayang mata menjadi comot dan lama-kelamaan akan pudar.

Penambahan gel daun lidah buaya pada adunan primer amat digalakkan kerana bahan itu dikatakan mampu mengurangkan pengeluaran minyak berlebihan pada kulit, jadi dengan menambah sedikit gel daun lidah buaya, anda mungkin dapat atasi masalah pembayang mata comot atau cepat pudar.

Bagaimanapun, pastikan membeli jenama yang mengandungi 100 peratus gel daun lidah buaya yang boleh didapati di farmasi.

Akhir sekali campurkan semua dengan menggunakan sudu, pencungkil gigi atau sebarang pengacau yang sesuai di dalam bekas. Untuk memakai primer buatan sendiri ini, hanya sapu sedikit ke kelopak mata dengan hujung jari anda. Tutup ketat bekas dan simpan primer di tempat yang tidak terkena pancaran matahari secara terus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 4:30 AM