Siti Nadirah Hafidzin


AIDILFITRI sinonim dengan juadah biskut raya menggunakan resipi terkini. Mungkin kerana mudah didapati selain boleh disediakan sendiri menggunakan resipi di Internet, hampir di kebanyakan rumah akan menyajikan hidangan biskut raya dan juadah moden berbanding kuih tradisional pada majlis jamuan rumah terbuka.

Realitinya, kuih tradisional tidak akan luput ditelan zaman, atas faktor keenakan rasanya dan mempunyai keistimewaan tersendiri menjadikan kuih tradisional antara kegemaran semua golongan tanpa mengira usia.

Namun menyediakan kuih-muih tradisional sering dianggap susah dan rumit, walaupun hakikatnya ia tidaklah sesukar disangka namun tidak semua individu mampu menyediakan kuih tradisional yang enak.

Kuih atau kek gula hangus antara kuih tradisional yang dianggap sukar disediakan, mana tidaknya jika tersalah adunan dan cara, ia tidak dapat menghasilkan rasa sebenar kuih itu. Ia tidak seperti karipap atau keria yang mudah ditemui dan atas sebab itu mungkin ada juga di antara generasi kini yang tidak tahu atau tidak pernah merasai keenakan kuih ini.

Menurut suri rumah Nori Mat Hussin, walaupun dianggap rumit, pada hakikatnya proses menyediakan kuih atau kek gula hangus tidaklah sesukar disangka.

“Mungkin ramai yang anggap susah kerana tidak tahu resipi juga cara penyediaannya, saya yakin sekiranya pernah mencuba dan mengikut resipi tepat pasti kuih ini boleh disediakan sesiapa saja. Lebih menarik ia boleh diubah suai dengan menambah coklat sebagai penyedap rasa selain menarik minat generasi kini terutamanya kanak-kanak untuk menikmatinya.

“Ramai yang menyediakannya menggunakan cara lama namun rasanya lebih enak sekiranya anda menambah coklat,” katanya.

Menggunakan resipi turun-temurun keluarga, Nori berkongsi resipi serta langkah demi langkah menyediakan kuih gula hangus coklat yang boleh dijadikan hidangan kepada tetamu yang hadir pada rumah terbuka.

BAHAN-BAHAN

3 biji telur ayam

Sedikit esen vanila

1 cawan susu pekat manis

1 cawan minyak masak

2 cawan tepung gandum

1 sudu besar serbuk penaik

1 cawan gula

2 cawan air masak

1 bar coklat masak


BAHAN-BAHAN

CARA-CARA

1. SATUKAN gula dengan dua cawan air masak. Masak di atas api sederhana. Kacau rata dan pastikan gula tidak berketul. Matikan api apabila gula sudah bertukar warna.

2. PUKUL telur hingga kembang. Masukkan esen vanila dan kacau sebati.


LANGKAH 1 dan 2

3. MASUKKAN susu pekat dan kacau lagi. Tambahkan minyak masak. Kacau lagi hingga sebati.

4. MASUKKAN tepung gandum sedikit demi sedikit dan kacau. Ulang langkah ini hingga adunan menjadi sebati.


LANGKAH 3 dan 4

5. TUANG gula hangus ke dalam adunan dan kacau lagi. Supaya adunan menjadi mesra, masukkan pula coklat masak yang sudah dicairkan, biarkan selama satu hingga dua jam sebelum dimasak.


LANGKAH 5

6. TUANG adunan ke dalam acuan dan kukus selama 20 minit di atas api sederhana.


LANGKAH 6

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 4:30 AM
KUIH gula hangus