BERSAMA lakukan aktiviti yang ‘comot’ menjadikan anak lebih kreatif dan seronok.
Suliati Asri

GELAK tawa si ibu dan anak saat melakukan aktiviti bersama di rumah bukan saja memecahkan keheningan malam tetapi turut mencipta kenangan manis yang cukup bermakna. Detik itu juga bukan saja menyeronokkan tetapi memberikan pengalaman baru yang dikongsi bersama antara ibu dan anak.

Friso Gold® mendekati konsep pengasuhan semula jadi di mana kedua-dua ibu dan anak membesar melalui pengalaman berbeza dan dikongsi bersama.

Bukan hanya kanak-kanak yang membesar tetapi ibu turut belajar ketika membesarkan anak kerana alam ibu adalah satu perjalanan yang penuh dengan pelbagai penemuan.

Bersempena kempen Growing Up Together, Naturally, Friso Gold® bekerjasama dengan tiga ibu selebriti iaitu pereka fesyen, Nurul Zulkifli; usahawan dan pereka fesyen, Yiu Lin dan blogger fesyen serta keluarga, Cheesie untuk mengenali kekuatan konsep pengasuhan semula jadi.

AKTIVITI dalam rumah memberikan keseronokan.

Bagi Yiu Lin, dia sememangnya pengamal pengasuhan semula jadi tanpa disedari namun tidak melakukannya secara sedar atau melabelnya sebegitu.

Katanya, bermula dengan anak pertamanya, Zara, dia dan suami sentiasa berusaha untuk memimpin melalui teladan, mencuba pengalaman baru dan mendorong anaknya mengambil bahagian serta menyahut cabaran baru.

“Alam ibu mengajar saya lebih menghargai perkara kecil kerana walaupun sering beranggapan ia tidak penting, hakikatnya ia adalah perkara yang sangat bermakna seperti pengalaman pertama anak di zoo atau membina istana pasir.

“Sebagai ibu, kita juga harus menjadi contoh yang baik buat anak-anak terutama anak perempuan zaman ini.

“Menjadi seorang ibu, saya belajar untuk lebih cekal, berani, mempunyai lebih rasa belas kasihan dan prihatin,” katanya.

Bagi Nurul pula, tugas sebagai ibu adalah sukar tetapi banyak yang dapat dipelajari termasuk tidak menekan diri sekali gus membolehkannya menikmati dan menghargai setiap saat yang berharga dengan kedua-dua anak lelakinya.

Katanya, pada peringkat sekarang, segalanya adalah baru buat anak-anak sekali gus mengajarnya untuk membiarkan mereka mengambil satu demi satu langkah supaya dapat belajar serta berkembang mengikut tahap kemampuan diri masing-masing.

“Saya menyedari, mengamalkan falsafah pengasuhan semula jadi adalah mudah kerana ada pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di rumah dengan anak-anak.

“Hal ini membantu saya mengetahui dan mengasihi diri sendiri sepanjang perjalanan dan mengajar saya melihat alam keibuan daripada perspektif yang lain.

“Kesemua tenaga positif ini juga memberi kesan kepada anak-anak dan yakin ia akan membantu untuk kami belajar, membesar dan menemukan pelbagai perkara baru bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, kehidupan dalam masyarakat urban moden yang terlalu kompetitif ini membuatkan Cheesie sering terfikir dirinya kurang ‘mendorong’ potensi anak-anak­nya agar dapat melakukan yang lebih baik dalam kehidupan sekali gus membuatkan dia berasa seperti kehilangan sesuatu.

Katanya, dia tidak menyedari dengan membiarkan anak-anaknya berasa selesa, belajar dan berkembang mengikut tahap kemampuan sendiri, bukan menjadikannya ibu yang malas dan teruk tetapi sebenarnya sedang belajar untuk membiarkan mereka membesar secara semula jadi.

“Saya sangat teruja kerana dapat mengetahui lebih banyak mengenai pengasuhan semula jadi yang dapat mening­katkan keyakinan diri sebagai seorang ibu sekali gus membolehkan saya mengikuti perkembangan bersama mereka.

“Setiap ibu tahu betapa berharganya meluangkan masa yang dapat membentuk ikatan bersama anak tetapi ramai ibu hari ini tidak mempunyai cukup masa disebabkan jadual harian yang sibuk,” katanya.

Pengasuhan semula jadi dapat mewujudkan peluang untuk ibu meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

Justeru, bagi yang ingin mempraktikkan pengasuhan semula jadi ini di rumah, ada beberapa petua yang mudah untuk diikuti sekali gus membantu ibu-ibu Malaysia mengamalkan konsep pengasuhan semula jadi ini.

Pertama, rancang satu hari ‘comot’ bersama anak-anak. Kumpulkan anak-anak dan pasti semua orang memakai pakaian lama yang sedia dikitar semula kemudian laksanakan beberapa permainan luar yang mudah serta mencomotkan.

Kedua, rancang aktiviti umum yang boleh disertai oleh semua ahli keluarga bagi membentuk ikatan seperti melawat zoo tempatan atau pergi mendaki bersama-sama. Ini peluang terbaik untuk ibu-ibu mengatasi isu ketakutan jika menunjukkan versi berani anda kepada anak-anak.

Petua ketiga pula adalah dengan mengenali elemen alam semula jadi sepenuhnya. Perkenalkan anak-anak kepada pemandangan, bau dan tekstur semua perkara yang semula jadi serta galakkan juga mereka untuk mencomotkan tangan dan kaki.

Cari taman dengan kemudahan pancuran mandian supaya anda boleh membersihkan diri dengan mudah selepas itu.

Akhir sekali, pilihlah untuk berada di rumah dan laksanakan aktiviti dalaman seperti perkhemahan dalaman, membuat kek, seni dan kraf atau rutin senaman mudah dengan anak-anak.

Anda juga boleh mencuba satu kelainan dengan membiarkan anak kecil mengetuai manakala anda menjadi rakan kembaranya dan lihat sendiri kesudahannya. Ia pasti menarik.

Dalam pengasuhan semula jadi, yang paling penting adalah nikmati prosesnya dan berseronoklah. Justeru, kenapa tangguh lagi. Mulakanlah perjalanan pengasuhan semula jadi anda sendiri dengan anak-anak melalui pengalaman berkongsi dan penemuan spontan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kempen Growing Up Together, Naturally, cara mengamalkan pengasuhan semula jadi dan aktiviti praktikal Friso Gold yang boleh dicuba, layari laman web www.frisogold.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:00 AM