GOLONGAN berusia 50 tahun ke atas perlu lebih peka dengan diet harian.
Siti Nadirah Hafidzin

SELAIN bulan mengeratkan silaturahim, Aidilfitri sangat sinonim dengan aneka jenis makanan enak, mana tidaknya, setiap hujung minggu dipenuhi dengan deretan rumah terbuka dari pagi hingga lewat malam.

Apabila menyentuh soal pemakanan, umum mengetahui pengambilan makanan tidak terkawal bakal mengundang risiko kesihatan tidak dijangka dan masih ramai yang tidak ambil tahu mengenai jenis nutrien penting yang diperlukan bagi mengekalkan kesihatan.

Bukan saja kanak-kanak, golongan pertengahan dan berusia terutama warga emas sangat perlu me­ngambil pemakanan yang seimbang bagi mengekalkan kesihatan diri. Jangan sesekali mengikut hawa nafsu dengan makan tanpa batasan atas alasan tidak mahu mengecilkan hati tuan rumah yang sudah menyediakan juadah lazat.

Hakikatnya, golongan berusia tidak boleh mengabaikan soal diet seimbang dan memerlukan perhatian khusus terutama bagi individu yang sememangnya ada masalah kesihatan. Malah faktor usia turut mempengaruhi proses pe­nyerapan, penggunaan dan perkumuhan.


KOMBINASI makronutrien, vitamin, mineral, serat dan air sangat penting untuk bekalkan nutrien mencukupi. GAMBAR hiasan.

Mengupas mengenai topik pemakanan seimbang bagi golongan berusia 50 tahun dan ke atas, pegawai perubatan Dr Azizah Asytar berkata, kombinasi makronutrien, vitamin, mineral, serat dan air adalah sangat penting untuk membekalkan nutrien yang mencukupi.

Menurutnya, walaupun topik ini sudah dibincangkan berulang kali namun tanpa sedar masih ramai individu yang berada pada usia 50 tahun dan ke atas mengulangi kesilapan sama dengan tidak mengawal pemakanan pada musim perayaan hingga menyebabkan jumlah pesakit di klinik mahupun hospital meningkat ketika dan selepas Aidilfitri.

“Bukan tidak boleh makan namun perlulah berpada dan jangan terlalu berani mengambil makanan yang mengandungi lemak, garam serta gula berlebihan kerana ia antara punca utama kesihatan diri mula terganggu apatah lagi kepada individu yang menghidap penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan ada masalah jantung. Dalam pada itu, terlalu ramai yang melakukan kesilapan dengan tidak mengambil makanan yang mengandungi nutrien penting untuk tubuh.

“Sebelum usia mencecah angka 50, banyak makanan yang boleh diambil namun secara perlahan-lahan ia perlu dikawal walaupun anda bebas daripada sebarang penyakit. Selain itu, setiap individu perlu ketahui jenis nutrien yang diperlukan tubuh. Sebahagian besar nutrien yang terdapat dalam diet seseorang individu terdiri daripada makronutrien yang membekalkan tenaga dan memastikan tubuh berfungsi secara optimum,” katanya.

Ujarnya, makronutrien adalah nutrien yang membekalkan kalori atau tenaga dan ia terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu karbohidrat, protein dan lemak yang membekalkan jumlah kalori berbeza pada tubuh.

“Jangan malas untuk mengambil tahu mengenai keperluan nutrien ini kerana sekiranya anda mempunyai sedikit ilmu ia secara tidak langsung membuatkan anda lebih berwaspada ketika makan.

“Selain makronutrien, serat adalah sebahagian daripada komponen tumbuhan yang tidak boleh dihadam­kan oleh sistem penghadaman manusia dan ia hanya terdapat dalam buah-buahan, sayur-sayuran, kacang dan bijian. Terdapat dua jenis serat iaitu serat larut dan serat tidak larut.

“Antara kebaikan serat kepada kesihatan termasuk mencegah masalah sembelit dan mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan seratnya dapat menurunkan paras kolesterol darah selain mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser seperti kanser kolon,” ujarnya.

Dr Azizah berkata, individu berusia 50 tahun ke atas disaran mengambil serat sebanyak 20 hingga 30 gram sehari.

“Dalam pada itu, golongan berusia mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kekurangan vitamin dan mineral serta lebih mudah mengalami beberapa jenis penyakit seperti gastritis, anemia dan penyakit tulang. Oleh itu, golongan itu disarankan untuk mengambil vitamin dan mineral seimbang seperti vitamin A yang baik untuk mata dan sistem ketahanan badan.

“Antara makanan yang kaya dengan vitamin A adalah hati lembu, hati ayam, telur, susu penuh krim, ikan bawal hitam dan ikan kembung. Ambil jenis makanan ini dengan kuantiti bersesuaian bagi memastikan vitamin A mencukupi untuk tubuh anda kerana kekurangan vitamin ini yang kronik boleh menyebabkan rabun malam, hilang selera makan, kulit kering dan kasar, sistem ketahanan menjadi lemah serta mata kering,” katanya.

Tambahnya, dalam pada itu, terdapat juga beberapa jenis vitamin lain termasuk vitamin C, asid folik, kalsium dan air yang sangat diperlukan secara mencukupi bagi memastikan kesihatan diri dapat dikekalkan.

“Jangan pula terlalu obses menjaga pemakanan hingga meninggalkan makanan yang mengandungi vitamin dan nutrien diperlukan. Makanlah apa sahaja yang anda inginkan tetapi perlu secara bersederhana dan seimbang.

“Semua ini sangat penting bagi memastikan golongan berusia dapat terus menikmati kehidupan dengan baik tanpa perlu menderita menanggung kesakitan atas sebab pengambilan makanan yang tidak seimbang,” ujarnya.

Pada masa sama, jangan abaikan pengambilan air secukupnya. Ramai orang yang melepasi usia 50 tahun cuba mengurangkan pengambilan air kerana tidak mahu kerap berulang ke tandas yang dianggap menyusahkan. Namun anggapan ini silap kerana badan kita sangat memerlukan air untuk berfungsi dengan sebaiknya.

Masalah kerap berulang ke tandas memang berlaku tetapi biasanya ia hanya dalam fasa penyesuaian khususnya apabila jumlah pengambilan air tiba-tiba bertambah. Bagaimanapun ia hanya untuk sementara dan akan kembali normal selepas tempoh penyesuaian ini berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:30 AM