MOHD Rozaidi kini bergelar tauke minyak wangi diusahakan bersama-sama isteri. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
Siti Nadirah Hafidzin


UNTUK berjaya tidak semudah disangka, ada cerita dan jalannya tersendiri. Atas sebab itu juga ramai individu yang hanya mampu memasang impian namun akhirnya terhenti di tengah jalan. Suka duka, pahit manis semuanya ditelan demi memastikan apa yang diimpikan dapat direalisasikan.

Perkongsian kisah jatuh bangun anak kelahiran Kulim, Kedah ini dalam mengejar impiannya melakar kejayaan sebagai usahawan memberi ‘tamparan hebat’ kepada penulis sendiri supaya jangan sesekali malas berusaha.

Memulakan perniagaan dengan menjual ikan bilis dan belacan serta beberapa produk lain yang dijual di kilang tempatnya bekerja, Mohd Rozaidi Mohd Khori, 31, berkata, dia tidak mahu terburu-buru dalam mengejar impiannya untuk berjaya dengan berniaga.

“Siapa yang kenal saya tentu tahu saya memang gila berniaga. Atas sebab itu juga saya ketepikan perasaan malu dengan menjual ikan bilis dan belacan kerana permintaannya sangat menggalakkan.

“Ikan bilis dan belacan bukanlah produk yang dibeli mengikut musim kerana ia digunakan dalam masakan hampir setiap hari. Disebabkan itu juga saya yakin ia satu produk yang mampu mendatangkan keuntungan selain mudah dijual,” katanya.


MENELITI sampel minyak wangi sebelum dipasarkan.

Lebih menarik apabila Mohd Rozaidi langsung tidak malu malah semakin bersemangat hari demi hari meneruskan perniagaan ketika itu.

“Saya selalu ingatkan diri saya jangan malu untuk berusaha walaupun tidak menjual bahan mewah kerana rezeki itu semuanya di tangan Yang Maha Esa.

“Syukur, walaupun dengan menjual ikan bilis dan belacan selain beberapa produk lain, rezeki saya tidak putus dan perniagaan mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada rakan sekerja di kilang,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga tidak malu untuk mengakui pernah bekerja di sektor perkilangan dan ia menjadi detik permulaan kepadanya menceburi bidang perniagaan.

“Saya buat kerja sambilan dengan berniaga tetapi tidak abaikan kerja hakiki ketika itu. Syukur semuanya dipermudahkan. Walaupun pernah diejek dan diperlekehkan kerana menjual ikan bilis dan belacan namun saya tidak ambil serius.

“Ada juga yang mentertawakan saya yang asyik memegang beg plastik berisi belacan dan ikan bilis ke hulu hilir,” katanya sambil mengukir senyuman.

Kata Mohd Rozaidi, walaupun berdepan ejekan dia tidak berputus asa kerana baginya dia sedang mencari rezeki halal ditambah mahu berkongsi rezeki bersama keluarga di kampung.

“Semua ini adalah pengalaman yang mendewasakan saya sebagai seorang usahawan. Daripada sini saya belajar bersabar, mengendali pelanggan juga memasang strategi untuk masa akan datang.

“Syukur, berkat menjual ikan bilis dan belacan, banyak yang saya pelajari dan ia menjadikan saya lebih matang hari demi hari,” ujarnya.

BINA JENAMA SENDIRI

Mohd Rozaidi berkata, jiwa dan minatnya pada dunia perniagaan menyebabkan dia semakin rancak berniaga walaupun semua yang dijualnya adalah produk orang lain.

“Bagi saya asalkan ia sumber yang halal saya tetap akan berniaga. Saya juga tidak malu untuk berguru kerana ilmu dalam bidang ini terlalu luas dan perlu menggalinya sehinggalah bertemu antara insan yang banyak membantu dalam perniagaan iaitu Sharifuddin Muda yang saya anggap sebagai sifu.

“Jujurnya saya sebenarnya mempunyai matlamat untuk memiliki jenama dan produk minyak wangi sendiri selepas pernah menjual produk minyak wangi beberapa jenama namun me­ngalami pelbagai masalah. Daripada sekadar matlamat dan impian, saya kemudian cuba memberanikan diri untuk memasang strategi untuk merealisasikan impian ini,” katanya.

Sememangnya rezekinya sudah tertulis apabila isteri tercinta, Norazizah Abd Razak, 31, yang juga graduan jurusan kimia bersetuju untuk bersama-sama membantu menghasilkan jenama serta produk minyak wangi sendiri.


BERSAMA isteri dan anak tersayang.

“Bermula daripada itu, saya dan isteri bekerja keras siang dan malam untuk menghasilkan minyak wangi yang bukan saja wangi malah mempunyai kelebihan tersendiri.

“Syukur, niat dan usaha ini dipermudahkan dan kami berjaya menghasil­kan jenama minyak wangi sendiri iaitu Florenscia pada pertengahan Mac lalu yang mempunyai 14 jenis bauan berbeza untuk empat bauan lelaki dan 10 bauan wanita,” ujarnya.

Tambahnya, bagaikan satu mimpi apabila dia berjaya mencapai impian yang dihajati selama ini sekali gus berjaya membuktikan sesiapa saja mampu berjaya asalkan ada semangat serta usaha.

“Sebak sebenarnya apabila berada pada tahap ini, walaupun perjalanan kami masih terlalu jauh namun akhirnya dapat buktikan pada semua yang saya juga mampu berjaya.

“Disamping mengejar kejayaan diri, saya juga menanam azam untuk menjadikan perniagaan ini sebagai kunci membantu lebih ramai wanita yang mahu bekerja tetapi mempunyai halangan tersendiri terutamanya perlu menjaga anak di rumah. Saya tahu semua wanita mahu ada wang sendiri tetapi sering mempunyai halangan untuk keluar bekerja,” katanya.

Menurutnya, kini selepas beberapa bulan bertapak dalam perniagaan berasaskan wangian ini, dia berjaya membantu lebih 30 wanita dan lelaki yang menjadi ejennya menjana pendapatan bulanan hasil usaha berniaga.

“Kejayaan tentu saja lebih manis apabila kita berkongsi kerana senyuman serta kegembiraan yang dirasai orang lain atas bantuan kita itu lebih besar maknanya.

“Saya kini tidak boleh lupa diri apatah lagi bersenang lenang kerana misi dan visi saya masih jauh dan saya mahu memastikan minyak wangi saya dikenali bukan saja di Malaysia malah di negara luar,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:00 AM