SAUDAH memberikan penerangan mengenai kenderaan kepada dua pelanggan wanita.
Siti Zarinah Sahib


BERHADAPAN masalah enjin kenderaan tidak berfungsi secara tiba-tiba dalam kesesakan jalan raya, membuatkan Saudah Salleh panik disebabkan dia langsung tiada pengetahuan mengenai kereta. Malah perkara asas seperti membuka bonet hadapan juga di luar pengetahuannya. Perkara ini amatlah memalukan diri sendiri lantaran suami bekerja sebagai mekanik.

“Saya dapat membayangkan sekiranya isteri mekanik turut menggelabah disebabkan tiada pengetahuan asas mengenai kereta, apatah lagi wanita lain. Sudah tentu ramai di antara kaum Hawa berhadapan masalah sama. Itu belum masuk dikenakan bayaran yang tidak sepatutnya apabila diminta menukar komponen kereta yang tidak perlu,” katanya yang ditemui di bengkel miliknya, Rahim Auto Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor.


WANITA seharusnya mengetahui mengenai kenderaan untuk mengelak ditipu.

Berikutan masalah yang kerap dihadapi wanita mendorong Saudah membuka bengkel sendiri tetapi dengan memberikan tumpuan kepada pelanggan wanita. Sesuai tema, keseluruhan bengkel dicat warna merah jambu dan putih bagi memberikan keselesaan atau rasa feminin kepada pelanggan.

Malah setiap mekanik dididik dan diajar untuk memahami bahasa wanita. Misalnya ramai wanita mengatakan kereta ‘mati’ enjin tetapi tidak dapat menjelaskan secara lanjut mengenainya.

“Kebiasaannya wanita tidak tahu apa yang perlu dijelaskan dan hanya memberitahu kereta rosak. Pada hal ia mungkin disebabkan kerosakan pada enjin atau bateri,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, berdasarkan kajian yang pernah dijalankan syarikat automatif menunjukkan hampir 80 peratus wanita tidak mengetahui mengenai kenderaan mereka manakala 20 peratus lagi hanya memberikan pendapat dengan merujuk kepada orang lain.

Jadi sebagai pemilik bengkel untuk wanita, Saudah bertanggungjawab memberikan kesedaran mengenai penyelenggaraan kereta supaya golongan ini lebih berpengetahuan. Memahami secara lebih mendalam juga membuatkan wanita menjadi lebih berdikari dan tidak mengharapkan suami semata-mata.

“Ada wanita berasakan bengkel sebagai tempat yang menakutkan. Jadi ada segelintir tidak berani bersendirian tanpa ditemani suami atau keluarga. Mereka bimbang tidak dapat menyampaikan dengan tepat mengenai masalah kereta dan risau sekiranya ditipu pemilik bengkel,” katanya.

Katanya, tujuan utama pembukaan bengkel itu untuk memberi tumpuan kepada pemandu wanita supaya mereka lebih memahami mengenai kenderaan dan tidak mengharapkan suami atau ahli keluarga sebagai peneman.

“Untuk penyelenggaraan yang baik pelanggan digalakkan menghantar kenderaan pada bengkel sama supaya mekanik tahu setiap masalah pada kenderaan mereka. Menerusi cara ini mekanik boleh mengetahui sejarah penyelenggaraan kereta dan menyelesaikannya,” katanya.

Terkenal dengan gelaran Bengkel Pink, jelas Saudah, mereka juga turut menyediakan khidmat penyelenggaraan kenderaan di jalan bergantung kepada kerosakan. Namun ia turut bergantung kepada situasi. Malah Saudah sering memberi peringatan kepada wanita kepentingan untuk mengetahui mengenai insurans dan perkhidmatan menarik kenderaan secara percuma.

PENTINGKAN KEBERSIHAN DALAM BENGKEL

Oleh kerana kebanyakan wanita sangat mementingkan kebersihan, sebagai pemilik bengkel, Saudah sentiasa memastikan lantai dalam keadaan bersih tanpa sebarang tumpahan minyak manakala susunan peralatan dalam keadaan kemas. Ini bagi memastikan pakaian pelanggan tidak terkena calitan minyak atau karat besi sepanjang menunggu kenderaan siap.


WANITA seharusnya mengetahui mengenai kenderaan untuk mengelak ditipu. FOTO: Sairien Nafis

“Sebagai pemilik bengkel saya juga pernah menjadi pelanggan. Jadi pengalaman ini saya gunakan bagi memberikan yang terbaik kepada wanita agar mereka sentiasa berada dalam keadaan selesa dan tenang,” katanya.

Selain menguruskan kerja di bengkel bersama suami, Saudah turut memberikan pendidikan mengenai kenderaan di media sosial. Secara tidak langsung dia dapat mendidik pemandu wanita mengenai perkara asas misalnya mengisi angin tayar, mengesan kerosakan pada bateri dan memahami mengapa perlu menghantar kereta ke bengkel apabila kenderaan sudah bergerak sejauh 5,000 atau 10,000 kilometer.

“Sifat semula jadi wanita sememangnya tidak suka kepada perkara berkaitan teknikal. Mungkin disebabkan banyak tanggung jawab yang perlu dilaksanakan di rumah membuatkan mereka mengabaikan perkara membabitkan kenderaan sedangkan ia sangat penting. Apa yang sering saya tekankan adalah mengetahui mengenai perkara asas bagi mengelak ditipu,” tegasnya.

Menyedari tidak banyak bengkel menyediakan perkhidmatan seperti yang diberikan di bengkelnya, cabaran dan tugas Saudah menjadi lebih berat. Tetapi dia percaya lama-kelamaan menerusi penulisan dia mampu mengubah tanggapan wanita mengenai selok-belok kenderaan.

Saudah yang memiliki pengalaman selama 17 tahun dalam bidang perakaunan menjelaskan, untuk berubah bidang kepada penyelenggaraan kenderaan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu dilakukan bagi meluaskan pengetahuannya.

“Selain mendapatkan maklumat daripada suami, saya banyak membaca di Internet mengenai ‘kesihatan’ kereta. Berdasarkan pengalaman sendiri apabila berurusan dengan pelanggan, ia membantu untuk saya lebih yakin apabila memberikan pendapat kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 5:30 AM