INTAN seronok berinteraksi dengan kamera. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Intan Mas Ayu Shahimi


PENAMPILAN wanita ini cukup bersahaja. Bersolek bila perlu, berbaju ringkas ikut keselesaan, bahkan perwatakannya juga selalu santai dan semula jadi. Langsung tidak menunjukkan siapa empunya diri yang sebenarnya. Mungkin kerana faktor usia yang masih muda, Intan Nabila Syafinaz Kaharuddin, 25, lebih senang menikmati kehidupan, melakukan apa saja yang dirasakan memberi manfaat buat diri dan kehidupan seisi keluarganya.

“Ramai orang mengenali saya sebagai mekap artis atau personaliti media sosial. Tapi sebenarnya juga usahawan yang komited memajukan empat perniagaan berbeza iaitu Tudung Kartel, Wedding Kartel (dekorasi majlis perkahwinan), Katy Beauty (kosmetik) dan Mhendi Bae (sewa sari dan dekorasi majlis malam berinai),” katanya.

Menurut anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini selain sibuk dengan urusan perniagaan dan tempahan solekan, dia juga tidak menang tangan mengendalikan kelas mekap di studio sendiri di Setia Alam.

“Kalau orang tanya mengenai minat, sebenarnya saya membesar tanpa alat mekap. Sejak dari bangku sekolah rendah hinggalah menjejakkan kaki ke menara gading, saya memang ahli sukan. Pakai bedak pun tidak pernah.

“Tetapi, Allah SWT kurniakan saya kemahiran dalam dunia solekan ketika mengandungkan anak pertama. Saya anggap ia memang rezeki anak. Saya banyak belajar melalui saluran YouTube kerana pada masa itu tidak mampu menyertai kelas solekan. Tambahan saya masih belajar di universiti.

“Selepas bersalin, barulah saya mula bergiat aktif sebagai jurumekap. Saya bermula dari bawah dan tidak pernah jemu mengasah kemahiran solekan mengikut trend semasa. Saya bertuah kerana keluarga dan suami sentiasa menyokong dari belakang,” katanya yang kini sudah memiliki dua cahaya mata lelaki.


ANTARA video yang mencuri perhatian.

PERKASA WANITA

Bercerita mengenai minat dan impiannya, Intan berkata, dia tertarik untuk mengembangkan bakat sebagai perancang perkahwinan dan pernah bercita-cita memiliki butik pengantin sendiri.

“Menceburi bidang solekan umpama langkah pertama dalam mengejar impian saya. Kemudian saya berjaya lebarkan perniagaan ke arah dekorasi perkahwinan.

“Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, saya tetap akan mencuri masa untuk merakam, serta memuat naik video langkah solekan, selain berkongsi tip di saluran YouTube.

“Saya seronok berinteraksi dengan kamera. Rasa puas apabila dapat berkongsi ilmu dan kemahiran solekan dengan lebih ramai pelayar laman berkenaan. Lagipun, itulah (belajar di YouTube) yang saya kerap lakukan dulu,” katanya.

Tidak cukup dengan komitmen yang ada, Intan juga membuka kelas mekap dengan harga murah. Ia diadakan khusus untuk mereka yang mahu belajar asas solekan, tetapi tidak mampu mengeluarkan sejumlah bajet yang besar untuk berguru.

“Ramai tanya, kenapa saya letak harga rendah? Bagi saya, mekap bukan keperluan. Ia hanya kemahuan. Jadi saya tidak mahu membebankan peserta kelas dengan yuran yang mahal.

“Mereka cuma perlu bayar RM150 dan bawa diri ke kelas. Semua barang dan peralatan mekap akan saya sediakan. Tujuannya, saya mahu lebih ramai wanita dapat belajar untuk kelihatan cantik dan elok.

“Kelas ini saya buka sejak tahun lalu, bermula dengan hanya enam peserta. Itu pun saya buat dalam bilik, di rumah. Selepas beberapa bulan, kelas ini akhirnya mendapat sambutan memberangsangkan. Alhamdulillah, saya sekarang sudah mempunyai studio mekap sendiri yang mampu memuatkan 30 peserta pada satu masa,” katanya.

TERPAKSA BERSABAR

Sejujurnya kata Intan, dia masih dalam proses belajar menyesuaikan diri dengan jadual kerja yang sibuk. Pada hari bekerja, wanita ini akan fokus pada perniagaan dan platform media sosial. Hujung minggu pula sibuk dengan tempahan mekap dan perkahwinan.

“Kerana sibuk, masa untuk saya dan keluarga hanya pada sebelah malam. Ada waktunya, saya tidak dapat lari daripada berasa terkilan apabila melihat anak dan suami sudah lena diulit mimpi.

“Tapi saya selalu ingatkan diri bahawa usaha dan kerja ini untuk mereka juga. Apabila saya dapat peluang untuk bercuti dengan keluarga, saya memang akan fokus kepada mereka sahaja.

“Sudah jadi lumrah orang berniaga, segalanya bukan mudah. Apatah lagi jika kita mempunyai lebih daripada satu perniagaan dalam satu masa. Memang diakui, ada masanya saya penat dan tertekan dengan kerja. Macam-macam cabaran yang terpaksa saya lalui setiap hari.


TATARIAS pengantin antara perkara dilakukan Intan.

“Antara yang paling meninggalkan kesan terhadap karier apabila ada orang mempertikaikan kemampuan saya untuk bertahan lama dalam industri. Saya masih berusaha untuk membuktikan kepada netizen yang saya mampu. Saya ambil segala kritikan dan pandangan negatif sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih kuat,” katanya.

Bagaimanapun, kata Intan, selepas empat tahun dalam bidang solekan, dia mahu menamatkan kerjayanya sebagai jurusolek artis dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya mahu fokus sepenuhnya kepada perniagaan dan keluarga. Saya mahu terus berusaha merealisasikan impian untuk membuka butik pengantin sendiri.

“Matlamat saya adalah keluarga, terutama emak, suami dan anak-anak. Mereka adalah tulang belakang untuk saya terus menyinar. Sejak saya mula dalam bidang solekan, emak bantu dengan memberi modal membeli alat solek.

“Bagi saya, saya tidak bersaing dengan jurumekap artis lain tetapi diri sendiri. Setiap jurumekap artis ada sentuhan khas tersendiri. Begitu juga diri saya,” katanya.

Mengakhiri pertemuan, Intan berkata, peluang menjadi jurumekap artis sentiasa terbuka untuk semua tanpa batas jantina. Ia menawarkan kemahiran yang bagus untuk dipelajari.

“Saya cadangkan kepada semua yang baru hendak menapak dalam bidang ini untuk berusaha mengasah bakat dan rajin-rajinlah mendedahkan kebolehan menerusi media sosial.

“Ia menyediakan ruang interaksi mudah kita untuk bertemu bakal pelanggan tanpa mengeluarkan modal. Mulakan dengan menyolek ahli keluarga dan rakan. Ambil gambar mereka sebagai portfolio dan muat naik di akaun media sosial. Tentukan harga perkhidmatan mengikut pengalaman dan paling penting adalah sikap. Sentiasa menepati masa dan profesional dalam kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 5:30 AM