Intan Mas Ayu Shahimi


BAYI kembung perut dan cirit-birit lazimnya dikaitkan dengan masalah jangkitan pada usus. Namun, dalam sesetengah kes, keadaan ini berlarutan dalam tempoh yang panjang.

Selepas menjalani ujian di hospital, ibu bapa mungkin diberitahu anak mengalami komplikasi intoleransi laktosa atau situasi menyebabkan bayi tidak berupaya menghadam susu dengan baik.

Keadaan ini jauh berbeza dengan alahan protein susu lembu yang membabitkan sistem imun, sebaliknya menjurus ke arah masalah penghadaman.

Menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr Faisal Mohd Fadzli, intoleransi laktosa lazimnya menyebabkan ketidakselesaan perut dan cirit-birit.

“Laktosa adalah sejenis gula dalam susu dan produk tenusu. Apabila berlaku intoleransi laktosa, pakar perubatan akan menilai kes menerusi dua keadaan berbeza, sama ada bersifat kekal atau sementara.

DR Faisal. FOTO: Aziah Azmee

“Kes intoleransi laktosa kekal (primary lactose intolerance) jarang berlaku. Tubuh anak akan mencerna laktosa dalam susu dengan enzim laktase. Enzim ini bertindak membantu memecahkan laktosa kepada glukosa dan galaktosa untuk diserap oleh tubuh.

“Namun, jika anak dilahirkan tanpa enzim ini atau tubuhnya tidak dapat menghasilkan laktase yang cukup, ia akan membawa kepada intoleransi laktosa. Keadaan inilah yang dipanggil sebagai intoleransi laktosa kekal,” katanya.

Jelas Dr Faisal, kebanyakan kes yang dirawat di hospital kini membabitkan intoleransi laktosa sementara (secondary lactose intolerance). Masalah ini terjadi rentetan daripada jangkitan virus atau bakteria pada usus.

“Salah satu jangkitan yang kerap berlaku adalah rotavirus. Apabila anak mengalami jangkitan virus atau gangguan penghadaman, masalah ini akan menyebabkan keradangan dalam usus.

“Kesan jangkitan akan menyebabkan struktur usus berubah buat sementara. Permukaannya yang seakan berus halus akan menjadi rata. Enzim di permukaan sel juga akan hilang, sekali gus menjejaskan kebolehan usus untuk serap laktosa daripada susu. Akhirnya, susu yang diminum akan keluar menjadi cirit-birit,” katanya.

Begitupun, kata Dr Faisal, bayi yang cirit-birit akibat jangkitan usus biasanya akan turut mengalami demam. Mereka akan dirawat dan dibekalkan ubat sehingga sihat.

Namun, jika cirit-birit masih berlarutan lebih dua minggu dan tiada simptom demam, bayi berkenaan mungkin berdepan masalah intoleransi laktosa sementara.

“Keadaan ini boleh dirawat. Apabila struktur usus kembali pulih, ia akan hilang. Jangka masa untuk kembali sihat biasanya antara dua hingga empat minggu,” katanya.

Tambah Dr Faisal, intoleransi laktosa lazimnya terjadi dalam kalangan bayi yang minum susu formula. Namun, mereka yang menyusu ibu juga tidak terkecuali.

“Apabila bayi mendapat jangkitan, cirit-birit dan muntah, kita akan pantau keadaannya selepas dua minggu atau tiga minggu. Kalau demam tiada dan simptom berlarutan, kita akan tukar kepada susu tanpa laktosa.

“Susu ibu juga ada laktosa. Tetapi kalau bayi berkenaan minum susu ibu, kita tidak akan suruh dia berhenti (daripada terus menyusu). Masalah ini bersifat sementara. Cuma, kalau teruk sangat, mungkin kita terpaksa mempertimbangkan untuk menukar susu ibu kepada susu formula tanpa laktosa.

“Kebanyakan pesakit akan pulih. Mungkin selepas habiskan sebotol susu tanpa laktosa dan najisnya kembali normal, dia boleh tukar semula susu biasa atau susu ibu.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang dengan intoleransi laktosa sementara ini. Ia hanya komplikasi selepas jangkitan atau biasanya kita diagnos sebagai gastroenteritis (keradangan pada mukus perut dan usus),” katanya.

PESAKIT boleh pulih selepas rawatan. GAMBAR hiasan

SIMPTOM

1. Bagi kes intoleransi laktosa kekal, bayi cenderung mengalami kembung perut, cirit- birit, menangis dan menunjukkan rasa tidak selesa selepas minum susu. Untuk jangka panjang, bayi mungkin menunjukkan perkembangan berat tidak normal.

2. Tidak banyak berbeza dengan kes pertama, intoleransi laktosa sementara juga menunjukkan simptom sama. Tetapi ia lazimnya muncul selepas bayi mengalami jangkitan usus. Anak anda mungkin mengalami cirit-birit dan muntah di peringkat awal. Keadaan cirit berlarutan lebih dua minggu dengan perut kembung serta bayi tidak selesa.

3. Bayi juga cenderung mengalami cirit-birit selepas minum susu. Justeru, perhatikan reaksi bayi dalam tempoh satu hingga dua jam pertama selepas menyusu.

4. Jangan amalkan sikap tunggu dan lihat sekiranya bayi kelihatan semakin lemah, cirit-birit terlalu kerap, najis berdarah, pucat, nadi laju, mata cengkung dan bibir kering. Ia mungkin petanda bayi sudah mengalami dehidrasi!

Apapun kata Dr Faisal, pemeriksaan dan rawatan awal penting untuk mengenal pasti masalah sebenar bayi. Biarpun simptom ditunjukkan jelas, ujian terhadap sampel najis akan mengesahkan keadaan sebenar bayi.

“Dalam kes ini juga, warna najis tidak boleh menentukan tahap keterukan dialami bayi. Najis mungkin jadi hijau, kuning, coklat atau berdarah. Justeru, ujian dan rawatan di hospital penting untuk rawatan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:30 AM