NUR Furyna pernah solek wajah pengantin ketika usia baru 14 tahun. FOTO: Aziah Azmee
Intan Mas Ayu Shahimi


Senyum manisnya tidak lekang dari bibir. Selepas hampir lapan tahun mewarnai industri kecantikan negara, populariti wanita ini cukup dikagumi.

Datin Nur Furyna Mohd Azmir, 34, antara usahawan wanita dihormati berikutan berjaya me­ngangkat dan mengekalkan jenama AuraWhite sejak 2012 hingga kini.

Sekalipun kerap berselisih pada majlis keraian, hanya minggu lalu penulis sempat bertegur sapa dengan ibu empat anak ini. Itu pun ketika menghadiri majlis pelancaran produk dan sambutan hari lahirnya di hotel terkemuka di Seri Kembangan, Selangor.

Nur Furyna tampil anggun dengan persalinan serba mewah. Ketika diajak bercerita mengenai diri, wanita ini menyambut dengan baik. Bahkan setiap bicaranya diatur penuh sopan dan berlapik.

Kata anak kelahiran Perak ini, dia bersyukur dengan pencapaian yang diraih kini. Jika dulu dia bergelut mengusahakan banyak cabang perniagaan termasuk salun dan spa, kini segalanya lebih teratur.

“Dulu saya mempunyai beberapa jenama, tetapi tidak berjaya seperti yang ada sekarang. Saya buat macam-macam bisnes, namun rezeki hanya mula berkembang baik dengan adanya AuraWhite.

“Jenama ini saya perkenalkan sekitar penghujung 2012. Ketika itu, saya sekadar menjual secara dalam talian kerana kekangan modal untuk pengiklanan.

“Saya hanya gunakan Facebook sebagai platform perniagaan. Rezeki daripada Allah SWT, produk saya tiba-tiba tular dan menjadi perhatian ramai,” katanya.


KETIKA pelancaran produk baharunya minggu lalu.

MINAT CANTIK

Bercerita lanjut, kata Nur Furyna, dia memilih bidang kecantikan kerana minat mendalam, selain pernah bercita-cita me­ngikut jejak ramai pengusaha kosmetik terdahulu yang kerap menghiasi kulit dan isi majalah.

“Saya suka benda yang cantik. Ada waktunya saya sendiri obses untuk mendapatkan kulit bersih, cantik dan mulus, rambut bersinar serta sihat. Boleh dikatakan hampir semua mahu cantik.

“Kalau melihat sekeliling, bagi saya semua wanita memiliki kecantikan masing-masing. Terpulang kepada diri mereka bagaimana menjaga penampilan dan imej di mata masyarakat.

“Saya suka tengok wanita yang semula jadi cantik. Sebab itulah saya berkongsi faedah produk kecantikan diri dengan orang ramai. Majoriti daripada kita bukan mahukan terlalu cerah dan putih, tetapi mendambakan kulit bersih serta nampak berseri,” katanya.

Jelas Nur Furyna, selain kecantikan, dia juga menyimpan minat dan keinginan untuk menceburi dunia perniagaan. Mengakui mula berjinak-jinak dalam bisnes ketika zaman sekolah, anak kedua daripada tiga beradik ini tidak takut untuk mencuba.

“Dulu, masa di sekolah, saya akan guna sebahagian duit belanja untuk membeli nasi lemak atau bihun dari gerai berhampiran. Saya bawa ke sekolah dan jual dengan untung 10 sen setiap satu.

“Sampailah ketika di tingkatan 2, ibu membuka butik di Ipoh dan saya memberanikan diri menyolek wajah pengan­tin. Bayangkan, masa itu umur baru 14 tahun. Wajah yang saya rias pula hendak naik bersanding di pelamin.

“Tetapi pengantin berkenaan tetap yakin dengan hasil kerja saya. Secara tidak langsung, ia menjadi titik mula untuk saya terus menceburi bidang perniagaan.

“Saya seronok menjadikan kerja mekap sebagai kerjaya untuk suka-suka. Pada masa sama, saya jadi makin teruja apabila membaca kisah inspirasi usahawan yang berjaya dalam bidang kecantikan di majalah. Saya simpan angan-angan untuk jadi seperti mereka dan syukur, Allah SWT beri rezeki untuk saya majukan jenama sendiri,” katanya.

CABARAN POSITIF

Melihat pencapaian yang diraih kini, kata Nur Furyna, tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Biarpun masyarakat di sekeliling nampak perjalanan usahawan sepertinya mudah, hanya yang melalui saja lebih faham jatuh bangun dunia perniagaan sebenar.

“Biasanya orang akan kata mereka seronok melihat peniaga yang berjaya. Tapi mereka tidak melihat susah payah kita mendaki jalan sukar untuk berada di tempat sekarang. Kami merangkak untuk berdiri.

“Bagaimanapun, saya seorang yang sangat positif dan tidak sukakan perkara negatif. Kalau ada masalah, saya tidak akan mudah berputus asa atau rasa terbeban, sebaliknya berusaha mencari kaedah penyelesaian.

“Memang bila ada masalah, kita akan mudah putus asa. Tapi perasaan begitu tidak akan membantu. Sebab itu pentingnya semangat untuk mencari jalan keluar. Perbetulkan masalah, kemudian barulah kesukaran hidup boleh dileraikan.

“Dengan prinsip itulah jenama saya mampu mara selama hampir lapan tahun di pasaran. Soal kualiti memang tiada kompromi. Alhamdulillah, sampai sekarang pengguna masih beri sokongan dan kita mahu perkukuhkan lagi ke pasaran luar,” katanya.

Ditanya mengenai pengorbanan yang terpaksa dilakukan, kata Nur Furyna, dia dan suami memang nekad serta bersungguh-sungguh mahu berjaya dalam perniagaan.

“Saya selalu katakan kepada suami, kalau orang boleh buat, kenapa kita tidak boleh? Jadi, apabila gagal sekali, kita cuba lagi. Kalau diuji, kita cuba lagi sampai puas hati.

“Sekarang, saya boleh katakan semakin berpuas hati dengan hasil usaha kami. Kalau dulu kami gagal berkali-kali, namun hasil keuntungan daripada perniagaan lama masih boleh dijadikan modal untuk saya membesarkan lagi empayar perniagaan sekarang.

“Biarpun banyak masa terpaksa dikorbankan, tetapi ia berbaloi. Sekarang ini walaupun sibuk, saya tetap ada masa untuk bersama anak dan melihat mereka membesar di depan mata.

“Di rumah, keutamaan saya adalah anak dan keluarga. Memang saya tidak akan fikirkan sangat soal kerja. Kecuali jika ada hal penting, barulah saya curi sedikit masa untuk menguruskan apa yang patut sebelum kembali bersama mereka,” katanya.

Jelas Nur Furyna, dia akan ke pejabat setiap hari untuk memantau hasil kerja selain memberi sokongan serta semangat kepada pasukan jenama­nya.

“Saya percaya sema­ngat setiap orang ada turun dan naik. Jadi, kalau hendak beri semangat kepada orang di sekeliling, kita perlu sentiasa positif dan berkobar-kobar dalam menyempurnakan kerja.

“Untuk diri, saya lebih sukakan kerja yang me­ngikut perancangan. Perlu ada pelan A dan pelan B. Kalau sudah usaha sebaiknya, tidak perlu risau. Andai sudah rezeki, tetap akan jadi milik kita.

“Kini, walaupun sudah berjaya membina jenama, saya masih belajar bagaimana untuk terus membangunkan dan melebarkan sayap perniagaan. Saya mahu mengangkat jenama ke peringkat

lebih tinggi.

“Sasaran utama adalah memartabatkan produk halal. Kami mahu meng­galakkan orang ramai menggunakan produk yang disahkan suci bersih. Apabila adanya sijil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), masya­rakat tentu lebih yakin dengan produk,” katanya.

Kata Nur Furyna, dia tidak akan berhenti membina kualiti dalam diri dan jenama yang dibawa. Selagi boleh diperbaiki, wanita ini akan terus berjuang sehingga pengguna berpuas hati.

“Saya suka membaca, belajar, mengikuti bicara motivasi, mende­ngar pengalaman orang, perkongsian mereka yang sudah berjaya. Kata orang, usahawan dan pesaing mereka susah hendak berbaik.

“Tetapi saya selalu percaya kepada rezeki. Setiap orang ada rezeki mereka sendiri. Saya berkawan dengan ramai pengasas produk lain. Kami selalu berbincang dan berkongsi idea bagaimana untuk membina syarikat berdaya saing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:00 AM