NASI ayam ala KFC agak rumit disediakan namun hasilnya berbaloi.
Siti Nadirah Hafidzin


SEORANG ibu bukan saja perlu rajin malah paling utama perlu bijak apabila menyentuh mengenai penyediaan makanan buat seisi keluarga terutama anak-anak.

Mana tidaknya, tidak semua kanak-kanak mahu menerima apa saja jenis hidangan yang disediakan. Walaupun menu itu lazat bagi golongan dewasa namun tidak semestinya ia sedap bagi mereka.

Atas sebab itu, ibu perlu banyak mengkaji dan belajar mengenai menu makanan yang digemari si anak terutama sajian berkhasiat bukan dengan cara membeli dan terus membeli terutama di restoran makanan segera.

Biarpun ramai ibu masa kini yang bekerja dan kekurangan masa, semua itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak turun ke dapur.

Mahu atau tidak, si ibu perlu berkorban dalam memastikan anak-anak dapat menikmati juadah menu lazat dan berkhasiat, sekali gus membantu membina daya tahan serta kesihatan yang baik.

Antara hidangan yang boleh disediakan untuk menambat selera seisi keluarga adalah nasi ayam ala KFC yang disediakan pengusaha makanan, Nur Fakhira Mohd Rosli.

Menurut Nur Fakhira, untuk menyediakan satu set lengkap yang mengandungi nasi, ayam goreng, kentang putar dan salad campur (coleslaw) memerlukan masa agak lama namun hasilnya berbaloi.

“Saya mencadangkan set ini sesuai disediakan ketika hari cuti kerana selain memerlukan tempoh yang agak lama, ia juga boleh disediakan bersama-sama suami atau anak-anak.

“Jangan sesekali menganggap menu seperti ini sesuatu yang leceh untuk disediakan kerana secara tidak sedar, ia sangat berbaloi dan dapat menambat selera si anak terutama bagi yang susah untuk makan nasi,” katanya.

Tambahnya, nasi mentega dalam set itu amat lazat digabungkan dengan ayam goreng ala KFC yang cukup digemari kanak-kanak.

Nur Fakhira berkongsi resipi penyediaan Nasi Ayam ala KFC yang sesuai dijadikan hidangan seisi keluarga.

AYAM GORENG ALA KFC

Bahan-bahannya:

- Seekor ayam siap potong (basuh bersih, toskan dan pastikan betul -betul kering).

- Dua kotak tepung goreng ayam (Saya gunakan tepung goreng ayam Adabi)

- Empat sudu tepung beras

- Air secukupnya

- 1/2 kilogram (kg) minyak

Cara penyediaannya:

- Gaul satu peket tepung goreng ayam dengan empat sudu tepung beras bersama sedikit air. Kacau sehingga tidak berketul dan tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.

- Masukkan ayam dan gaul rata. Pastikan ayam bersalut cantik di setiap bahagian.

- Perap dalam tempoh satu jam. Lagi sedap sekiranya ia diperap semalaman di dalam peti ais.

- Masukkan satu peket tepung goreng ke dalam mangkuk dan panaskan minyak, goreng dalam periuk tinggi bertutup.

- Apabila minyak sudah panas, kecilkan api, salut ayam yang diperap tadi dengan tepung yang kering. Salut rata.

- Goreng ayam. Diingatkan supaya menggoreng dua atau tiga ketul sekali goreng.

- Angkat dan toskan minyak.

AYAM goreng dan nasi mentega menambat selera si kecil anda.

NASI MENTEGA ALA KFC

Bahan-bahannya:

- Tiga sudu mentega

- Dua sudu minyak

- Tiga helai daun pandan (simpul) .

- Sebiji biji bawang holland

- Empat ulas bawang putih

- Satu inci halia

- Air secukupnya.

- Satu paket serbuk nasi goreng Cina

- Sedikit garam

- Setengah tin susu cair

- Empat pot beras (basuh bersih) .

Cara penyediaannya:

- Kisar lumat semua jenis bawang dengan halia dan tambah sedikit air.

- Panaskan periuk lain (bukan periuk nasi). Cairkan mentega dengan minyak dan tumis daun pandan sampai wangi.

- Masukkan bahan kisar dan kacau.

- Apabila sudah naik bau, masukkan serbuk nasi goreng cina dan kacau hingga garing.

- Masukkan secawan air dan susu cair. Kacau sampai mendidih. Masukkan pula beras dan air, kacau dan tambah sedikit garam.

- Alihkan ke dalam periuk nasi dan masak seperti biasa.

SALAD CAMPUR (COLESLAW) ALA KFC

Bahan-bahannya:

- Setengah biji kubis

- Satu batang lobak merah (buang kulit)

- Satu sudu bawang holland

- Satu sudu gula

- Suku tin susu cair

- Setengah botol kecil mayonis

- Garam secukup rasa

- Beberapa titik cuka makan.

Cara penyediaannya:

- Cincang dadu halus kubis dan sagat kasar lobak merah. Sagat halus juga bawang holland (dapatkan 1 sudu saja) .

- Masukkan gula, susu cair, mayonis, garam dan cuka. Kacau rata sehingga semua sebati.

- Sejukkan di dalam peti ais.

SALAD campur (coleslaw), kentang putar dengan sos cendawan yang enak.

KENTANG PUTAR DENGAN SOS CENDAWAN

Bahan-bahannya:

- Empat biji kentang (buang kulit dan potong) .

- Air secukupnya

- Sedikit garam

- Satu sudu kecil mentega

- Dua hingga tiga sudu susu cair (boleh ganti susu segar) .

Cara penyediaannya:

- Rebus kentang dengan air dan sedikit garam sampai empuk.

- Buang air rebusan. Tinggalkan air dalam sesudu. Lenyek kentang.

- Masukkan mentega dan susu. Teruskan lenyek dan gaul sampai lumat.

BAHAN SOS CENDAWAN:

- Dua sudu mentega

- Empat cendawan kering (basuh bersih, rendam sampai lembut, potong dadu) .

- Dua sudu tepung gandum

- Satu paket serbuk Nasi Goreng Ayam

- Dua cawan air

- Satu cawan susu

- Satu sudu lada hitam

- Sedikit kicap lemak manis

Cara penyediaannya:

- Cairkan mentega, tumis cendawan sampai layu.

- Masukkan tepung dan serbuk nasi goreng ayam dalam api yang perlahan. Kacau sampai tepung garing dan bertukar ke warna sedikit coklat.

- Masukkan air. Kacau hingga tepung larut, tambah susu, lada hitam dan kicap. Kacau sampai mendidih. Jika pekat boleh tambah air.

- Tuang sos cendawan ke atas kentang putar apabila hendak dimakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 5:00 AM