X
KANAK-KANAK teruja menerima sumbangan daripada Yayasan Petronas.
KANAK-KANAK teruja menerima sumbangan daripada Yayasan Petronas.
Siti Zarinah Sahib


TIADA yang lebih menggembirakan apabila melihat senyuman pada wajah golongan kurang bernasib baik. Inilah yang dirasai lebih 700 kakitangan Petronas di seluruh negara apabila membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti yang diadakan pada Mei hingga Julai lalu.

Melalui program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas, sukarelawan bukan setakat menumpahkan seluruh tenaga bagi memastikan aktiviti berjalan lancar, tetapi turut memberi sumbangan wang tunai dan barangan berjumlah RM815,000 kepada lebih daripada 2,800 keluarga serta individu.

Membabitkan warga emas, golongan kurang berkemampuan, anak yatim, orang kurang upaya, penghuni rumah amal dan mereka yang mendiami kawasan terpencil.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Lita Osman, semangat kesukarelawan dalam kalangan kakitangan amat penting untuk kesejahteraan masyarakat.

Pembabitan kakitangan pelbagai latar belakang serta generasi dilihat dapat menyatukan hati semua pihak bagi menjayakan usaha murni ini.

“Saya amat berbangga dengan sukarelawan yang komited sehingga sanggup berkorban masa dan tenaga semata-mata menjalankan tugas walaupun ia di luar bidang kerja mereka,” katanya.

MENYANTUNI kanak-kanak di hospital.
MENYANTUNI kanak-kanak di hospital.

Selain menjadi penganjur, kakitangan Petronas turut mengendalikan 24 aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, membeli-belah dan menghantar barangan makanan.

Mereka juga mencetuskan pembabitan kanak-kanak melalui aktiviti menyeronokkan seperti mewarna, bercerita, ceramah motivasi serta lawatan ke hospital.

Hamsiah Mantali yang disantuni sukarelawan di bahagian pedalaman Sarawak baru-baru ini berkata, dia amat berterima kasih kepada Yayasan Petronas.

“Terharu rasanya kerana sudi mengunjungi kami dan menyediakan barangan keperluan asas bagi meringankan bebanan.

“Bagi sesetengah pihak, sumbangan itu mungkin tidak seberapa, tetapi bagi kami, ia suatu yang amat bermakna,” katanya.

Program Sentuhan Kasih adalah sebahagian daripada bidang tumpuan Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti Yayasan Petronas.

Ia dianjurkan sempena sambutan perayaan utama di Malaysia bagi memupuk semangat bekerjasama dengan komuniti tempatan dalam menyediakan keperluan asas demi kesejahteraan hidup mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 5:00 AM