BRENDA idola Beverley. FOTO: Luqman Hakim Zubir
Siti Zarinah Sahib


MENGENAKAN pakaian seragam merah, mereka ibarat sepasang sahabat karib yang ceria berkongsi kisah suka dan duka. Ada juga beranggapan kedua-duanya kakak dan adik disebabkan memiliki iras wajah yang sama.

Biarpun jarak usia ketara bezanya, Brenda Alison Alcantra, 45, dan anaknya, Beverley Ann Mei Ling Lim, 19, seakan-akan mempunyai penampilan yang sama. Si cantik manis agak malu-malu apabila diseru namanya manakala si ibu lantang bersuara, tetapi apa yang mendekatkan mereka apabila berkongsi bidang yang sama sebagai pramugari.

Bercerita mengenai kerjaya di awan biru, sudah pasti Beverley sangat bertuah kerana di sebalik kejayaan mencapai impian bergelar kru kabin, sudah tentu dia memiliki sifu yang dapat memberikan banyak tunjuk ajar bermula dari saat pertama menjejakkan kaki di Akademi Pramugari AirAsia di Asian Aviation, Centre of Excellence, Sepang Malaysia pada Oktober 2018.

“Sejujurnya saya tidak pernah memasang impian bertugas dalam lapangan sama dengan ibu. Apabila sering dimomokkan sejak kecil cerita yang menyeronokkan setiap kali terbang melihat negara orang, ia membuatkan saya bersemangat untuk mencuba,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat AirAsia, RedQ di Sepang, baru-baru ini.

Selain gemar melancong, Beverley yang turut mencintai bidang tarian mula berangan-angan menjadi penari profesional suatu hari nanti. Namun ia tidak kesampaian kerana ibu memintanya menyertai AirAsia kerana syarikat penerbangan tambang murah itu turut mempunyai pasukan Fun Team sendiri yang aktif membuat persembahan kepada orang ramai.


IBU dan anak berkongsi lapangan kerjaya yang sama sebagai pramugari.

“Sejak kecil saya memang minat menari. Mungkin disebabkan tinggal berseorangan di rumah menyebabkan saya selalu menonton YouTube dan mempelajari seni tarian menerusinya.

“Apabila ibu meminta saya menghantar permohonan untuk menjadi kru kabin saya terus bersetuju. Sekiranya diterima saya masih dapat meneruskan cita-cita sebagai penari,” kata Beverley yang memulakan penerbangan pertama pada Januari 2019.

Meluahkan kegembiraan kerana dapat melakukan dua perkara dalam satu masa, jelas Beverley, sebagai duta kepada syarikat penerbangan tambang rendah dia dapat meluaskan minatnya sebagai penyanyi dan penari bagi menghiburkan orang ramai.

Diusik seorang yang pemalu, biarpun sifat ini berbeza dengan ibunya yang peramah, Beverley memiliki keyakinan dan semangat kuat untuk mencapai kejayaan. Baginya cukuplah ibu menjadi inspirasi dan idola yang banyak mengajar mengenai rencah kehidupan.

Tambahan pula ibu terlebih dulu bergelar pramugari jadi dia lebih tahu setiap cabaran yang bakal di hadapinya.

“Sebab itu sejak hari pertama memakai pakaian seragam merah ini, ibu berpesan agar saya bijak menjaga diri. Perkara paling dibimbangi adalah soal keselamatan. Namun dia percaya syarikat sudah melatih saya untuk kuat berhadapan dengan apa juga cabaran dalam kerjaya dan inilah yang saya cuba lakukan sekarang,” ujarnya.

LUANG MASA BERCUTI BERSAMA

Bagi Brenda pula, menceburi bidang kru kabin selama 25 tahun, dia sudah mahir selok-belok dalam lapangan ini. Menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan tunjuk ajar kepada Beverley supaya dia menunjukkan prestasi cemerlang, lebih bertanggungjawab dan mempunyai impian yang jelas sebagai pramugari.

Katanya, sejak Beverly kecil, Brenda sering bercerita mengenai keseronokan melancong sambil bekerja di luar negara melihat budaya dan sejarah sesetengah tempat di dunia.

“Saya juga bercerita apa yang saya lakukan sebagai kru kabin senior. Ini sedikit sebanyak membuka minda Beverley untuk lebih memahami bidang tugas pramugari yang bukan sekadar menyediakan makanan dan minuman di dalam kapal terbang tetapi membabitkan tugasan promosi, pemasaran serta pentadbiran,” katanya yang berbangga kerana anak gadisnya menceburi kerjaya ini pada usia muda.

Ia seperti mengimbas kembali detik mula ketika Brenda menceburi lapangan penerbangan ketika berusia 20 tahun lalu di syarikat penerbangan berbeza. Pada 2016, barulah dia bertukar angin dengan syarikat penerbangan itu.

“Dahulu tiada sesiapa yang memberikan saya teguran. Bagi saya pengalaman adalah guru paling berharga. Namun saya komited kerana dikelilingi rakan yang saling membantu dan ketua yang banyak memberikan tunjuk ajar agar saya sentiasa bersedia melakukan yang terbaik,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui detik paling mencabar dalam tugasan ialah selepas melahirkan anak dan dia perlu terbang seperti biasa. Pada usia 26 tahun selepas Beverley dilahirkan, dia perlu meninggalkan si kecil kepada orang lain untuk dijaga.

“Saya beruntung kerana suami dan ibu bapa membantu menjaga Beverley tatkala saya bertugas. Namun ketika bercuti saya akan meluangkan masa untuk melakukan aktiviti berkualiti dengan keluarga.

“Sehingga sekarang, apabila ada masa terluang kami akan keluar makan atau menonton filem bersama. Ini dapat mengeratkan hubungan kami anak-beranak kerana walaupun bekerja dalam satu syarikat, kami tidak pernah terbang bersama,” jelasnya gembira.

Sebagai ibu, besar harapan Brenda untuk melihat Beverley berjaya dalam kerjaya dan sentiasa dilimpahi sikap positif serta berbudi pekerti agar semua amalan baik ini dapat menjadikan dirinya lebih disayangi keluarga dan juga orang di sekelilingnya. Malah dia tidak lupa mendoakan anaknya mampu berhadapan cabaran dalam dunia teknologi dan media sosial yang serba mencabar ini.

“Saya percaya dengan nasihat, semangat dan kesusahan menjaga serta mendidiknya menjadi insan mulia akan terbalas apabila dia sentiasa menjaga maruah sebagai wanita. Lebih penting bijak menjaga diri walaupun terbang tinggi di udara dan meneroka seluruh pelosok dunia,” katanya berkias.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 6:00 AM