KOLEKSI bertemakan kemerdekaan.
KOLEKSI bertemakan kemerdekaan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

PEMAKAIAN kemeja-T semestinya pilihan untuk acara santai mahupun ketika melakukan aktiviti kecergasan apatah lagi jika satu-satu acara itu membawakan tema tertentu dengan rekaan unik dan menarik.

Menghimpunkan jutaan peminat, kemeja-T ibarat persalinan wajib untuk setiap orang malah label fesyen tersohor dunia juga tidak ketinggalan menampilkan koleksi masing-masing.

Sehelai kemeja-T juga sebenarnya boleh dijadikan simbol kepada prinsip, perpaduan atau sesuatu gerakan malah berupaya menjadi pemangkin atau suara kepada kumpulan tertentu.

Lalu apabila kemeja-T dijadikan titik fokus untuk mencambah semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia, ia dilihat sebagai wadah positif dan efektif.

Berbekalkan harapan mewujudkan momen sejarah menerusi penjualan kemeja-T, produk edisi khas Ombak Exclusive disifatkan platform yang relevan dalam menyampaikan mesej positif mengenai Malaysia.

Kemeja-T yang dihasilkan pula menggunakan serat mikro mini ‘eyelet’ sesuai untuk bersukan dan pakaian harian dengan rekaannya mengetengahkan kreativiti pereka muda.

Sememangnya menggayakan pakaian yang membawa tema patriotik kala meraikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan menambah semangat dan rasa cinta kepada kedamaian, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi kini.

Ia juga secara tidak langsung menggalakkan pereka muda untuk menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan pakaian bertema patriotik yang boleh dipakai sepanjang masa.

FABRIK selesa dan sesuai untuk lelaki mahupun wanita.
FABRIK selesa dan sesuai untuk lelaki mahupun wanita.

Pengasasnya Shaick Saifullah Jehangir Ali berkata, fabrik itu juga sesuai untuk semua peringkat umur dan jantina kerana tidak melekat di badan dan sejuk dipakai.

Bertemakan kemerdekaan, koleksi dinamakan Baju Malaya Tee itu katanya, menampilkan corak menarik dengan menggabungkan motif tradisional dan moden.

Tambahnya, jenama yang juga syarikat percetakan itu juga menghasilkan pelbagai jenis percetakan pada baju, topi, jaket selain cetakan kain rentang dan gegantung.

“Selain kualiti kain dan jahitan, kami turut memberi fokus terhadap keselesaan maksimum kepada pemakai.

“Jenama ini antara yang terawal mengeluarkan baju yang menggunakan teknik jahitan berganda di bahagian lengan baju, justeru ia menguatkan lagi jahitan pada lengan dan menambah jangka hayat baju berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 4:30 AM