BAWA mereka beriadah walaupun ke lokasi berhampiran rumah.
Siti Nadirah Hafidzin


SIAPA kata kanak-kanak itu tidak penat dan tertekan? Jadual harian padat bermula dengan sesi persekolahan diikuti dengan satu persatu kelas tambahan menjadikan kanak-kanak juga mudah hilang ‘mood’ dan tertekan.

Jadi, jangan marah jika ada ketika anak anda seolah-olah tidak mengendahkan anda dan berada dalam dunianya sendiri. Atas faktor itu kanak-kanak juga sama seperti golongan dewasa yang memerlukan waktu untuk berehat dan bertenang.

Ramai ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak bercuti hanya ketika musim persekolahan di lokasi tertentu walhal langkah sebaik-baiknya membawa si kecil keluar berjalan-jalan dengan lebih kerap pada hujung minggu walaupun ke taman rekreasi, pusat beli- belah berhampiran atau menonton wayang.

Menurut kaunselor kanak-kanak Asmah Ibrahim, kanak-kanak memerlukan waktu sesuai untuk merehatkan minda selepas memerah otak, berfikir dan menyelesaikan masalah pembelajaran di sekolah.

Katanya, untuk itu, ibu bapa wajar merangka aktiviti riadah menyeronokkan dengan lebih kerap pada hujung minggu kerana ia antara kaedah terbaik untuk melegakan segala kepenatan dan tekanan dirasai anak.

“Janganlah tunggu waktu cuti sekolah panjang saja untuk bawa mereka berjalan-jalan. Jadikan amalan membawa mereka beriadah pada hujung minggu walaupun ke lokasi yang berhampiran dengan rumah.

“Boleh juga tanya pendapat anak ke mana mereka mahu pergi. Jika ada kemampuan dan masa, tidak salah menuruti permintaan anak. Jika mereka mahu ke pantai, carilah pantai berdekatan dan jika mahu ke berjalan-jalan di pusat beli-belah bawalah juga kerana secara tidak langsung cara itu membuatkan si kecil berasa lebih dihargai,” katanya.

Asmah berkata, bukan saja golongan dewasa perlukan masa untuk melegakan tekanan dan kepenatan malah kanak-kanak seawal usia dua tahun juga mempunyai perasaan yang sama apatah lagi apabila sudah mula bersekolah.


BAWA anak keluar berjalan ketika hujung minggu.

“Mungkin ramai beranggapan kanak-kanak berusia dua tahun tidak ada rasa bosan namun tanggapan itu ternyata salah kerana mereka sudah juga boleh berasa bosan dan mahukan suasana lebih ceria serta menyeronokkan.

“Apabila sudah masuk ke sekolah, tekanan dan kepenatan yang dirasai kanak-kanak semakin bertambah menyebabkan mereka juga perlukan aktiviti yang dapat meredakan apa yang dirasai itu,” katanya.

Katanya, tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar kerana apa yang diperlukan kanak-kanak hanyalah sesuatu yang menyeronokkan.

“Bawa anak keluar pada hujung minggu tidak semestinya perlu belikan mereka sesuatu, cukup sekadar menikmati makanan kegemaran mereka atau hanya sebatang aiskrim kerana ia sudah membuatkan si kecil gembira.

“Jangan beri alasan belum gaji, letih, tiada masa atau mahu menonton rancangan kegemaran dan tidak melakukan apa-apa bersama anak. Jika tidak keluar berjalan-jalan pun, perlu ada aktiviti bersama anak sama ada di dalam atau di luar rumah. Anak hanya mahu suasana yang berbeza daripada hari-hari biasa mereka,” katanya.

KEGEMBIRAAN PENGARUHI MINDA ANAK

Menurut Asmah, kegembiraan yang dirasai si anak ketika keluar berjalan-jalan itu dapat melegakan tekanan dirasai dan membuatkan minda si kecil lebih tenang. Ia juga akan memberi impak positif kepada keyakinan, keceriaan dan semangat anak.

“Minda yang lebih tenang dapat membuatkan fokus anak dalam pelajaran menjadi lebih baik. Ia juga membantu mengelakkan si kecil bersikap tantrum atau meragam.

“Ada juga ibu bapa yang mengatakan sudah menghantar anak ke kelas diminati ketika hujung minggu namun anda perlu sedar walaupun ia bukanlah kelas di sekolah namun ia tetap satu aktiviti yang memerlukan mereka memberi fokus dan mendengar arahan guru.

“Keadaan ini berbeza dengan sesi berjalan-jalan kerana waktu itu boleh digunakan mereka untuk bermain, bergembira, bergelak ketawa atau melihat subjek yang diminati tanpa perlu berdepan dengan guru,” katanya.

Menurutnya, jika ibu bapa terlalu sibuk dan tidak mempunyai cukup masa untuk membawa si anak keluar bersiar, langkah terbaik adalah membiarkan mereka keluar bermain di luar rumah bersama anak-anak jiran yang sebaya. Bagaimanapun anda masih perlu mengawasi pergerakan mereka untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini atau bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa terjaga.

“Jangan terlalu menyekat kebebasan anak-anak untuk berseronok pada hujung minggu kerana perlu diingat anak-anak juga seorang manusia yang mahukan kebebasan sama seperti anda.

“Ramai ibu bapa merungut mereka terlalu penat dengan tuntutan tugas di pejabat dan di rumah namun ingatlah situasi yang sama turut dirasai oleh anak anda,” ujarnya.

Tambahnya, kesan yang lebih positif dapat dilihat sekiranya ibu bapa bijak mengatur aktiviti anak-anak bukan hanya tertumpu kepada aspek pembelajaran semata-mata.

“Jika anda (ibu bapa) cuti pada Sabtu atau Ahad, boleh pilih salah satu hari untuk keluar bersama anak namun sekiranya cuti pada tengah minggu, bolehlah merangka aktiviti sesuai yang dapat dilakukan bersama ketika hari anda bercuti.

“Dalam situasi itu suami dan isteri perlu banyak berbincang bagi memastikan cuti hujung minggu anak dapat diisi dengan aktiviti yang menyeronokkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 5:30 AM