PELEPASAN peserta yang berjoging sambil mengutip sampah di pantai Teluk Ketapang baru-baru ini.
Siti Zarinah Sahib


BAGI menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) melancarkan inisiatif Cergas dan Cinta Alam membabitkan program gerak aktif serta cintakan alam sekitar sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan alam sekitar.

Program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), aktiviti ini dianjurkan bersempena pelancaran rasmi jambatan angkat Terengganu.

Memperkenalkan program senaman mesra alam termasuk aktiviti plogging, ia adalah trend kecergasan terkini dari Sweden menggabungkan perkataan ‘jogging’ dan ‘plocka upp’ yang bermaksud mengumpul sampah sarap dalam bahasa Sweden.

Acara komuniti ini menarik lebih 150 peserta, termasuk pihak pengurusan dan kakitangan F&NHB dari kawasan pantai timur serta sukarelawan dari MBKT.

Ia bermula dengan sesi memanaskan badan dan berzumba sebelum peserta memulakan acara di pantai Teluk Ketapang apabila mereka mengutip sampah sambil berjoging sepanjang laluan sejauh enam kilometer.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe percaya inisiatif ini boleh meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan serta mengekalkan keselamatan dan kebersihan persekitaran.

“Kami mahu memperkasakan rakyat Malaysia untuk mengubah kehidupan masing-masing dengan mengamalkan gaya hidup aktif dan kesedaran pemuliharaan alam sekitar.

“Program menyeronokkan dan bermakna ini bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan hijau, tetapi juga mendorong masyarakat untuk memupuk rasa bertanggungjawab dalam membentuk hala tuju kehidupan.

“Kami benar-benar menghargai masa yang diluangkan dan usaha murni peserta secara sukarela membersihkan dan mengindahkan kawasan yang ditetapkan dalam program kecergasan ini.

“Kami berharap acara ini akan memupuk rasa prihatin, semangat sukarelawan, kesedaran alam sekitar dan tanggungjawab sivik dalam kalangan orang ramai supaya mereka terus memainkan peranan penting memulihara sumber semula jadi,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, Shahidan Embok memuji sumbangan F&NHB untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan menggerakkan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang boleh menambah baik kesihatan awam dan melakukan sesuatu yang bermakna untuk alam sekitar.

“MBKT bertanggungjawab untuk membangunkan persekitaran yang bersih, selamat dan sihat untuk penduduk di Kuala Terengganu dan sentiasa menggalakkan pembabitan awam dalam aktiviti pembangunan lestari tempatan.

“Sokongan korporat dan orang awam penting untuk membantu kami berkembang maju, sejajar dengan cita-cita kami untuk menjadi bandar raya yang serba maju dan lestari dengan matlamat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat,” katanya.

Inisiatif Cergas dan Cinta Alam, adalah lanjutan kepada Program Go Green F&N iaitu usaha kitar semula dalaman yang berjaya mengumpul bahan kitar semula melebihi 76,000 kilogram pada tahun lalu.

Kejayaan program ini pada 2018 mendorong kakitangan F&NHB untuk berkongsi amalan kelestarian di luar tempat kerja masing-masing demi mencipta nilai yang memanfaatkan masyarakat di tempat operasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 5:00 AM