SUP tomyam labu dan ambrosia.
Intan Mas Ayu Shahimi


EPAL antara buah yang kerap menjadi pilihan masyarakat Barat untuk melengkapkan hidangan masakan. Uniknya, buah ini menawarkan rasa berbeza jika dimakan begitu saja atau dimasak.

Musim perayaan ini, Heartland Group memperkenalkan gabungan cita rasa antarabangsa dalam cara masakan Malaysia sempena pelancaran kempen Amboi Ambrosia.

Kempen ini memberi peluang kepada pengguna untuk memperluaskan aspek kulinari mereka dengan mempamerkan kreativiti menggunakan epal ambrosia dalam masakan klasik Malaysia.

Pengurus Besar Heartland Fruit, Brendon Osborn berkata, pihaknya sangat teruja melancarkan kempen berkenaan bersama rakan kongsi dari GCH Retail Malaysia.

“Malaysia adalah antara pasaran terbesar dan kami percaya dapat membawa lebih banyak rasa hebat dan enak kepada pelanggan di sini dengan berkongsi cara menggunakan epal ambrosia dalam masakan tempatan,” katanya.

Menariknya pelancaran kempen turut disempurnakan dengan kehadiran Datuk Cef Redzuawan Ismail atau Cef Wan. Beliau mempamerkan tiga hidangan tradisional Malaysia yang digabungkan dengan epal berkenaan.

Antara hidangan enak yang diilhamkan daripada sejarah masakan Malaysia adalah kerabu sotong panggang ambrosia, sup tomyam labu Ambrosia dan acar ambrosia berempah.

Ditemui di British Columbia, Kanada dan kini ditanam di New Zealand, epal ini terkenal dengan rasa manis madunya, tekstur halus dan rangup.

Ia juga mudah dikenali dengan ciri utamanya yang berkulit halus, berwarna merah jambu terang dengan aroma menyenangkan. Lebih menarik, buah ini dikatakan hasil kerja ajaib lebah ketika proses pendebungaan.

ACAR epal ambrosia.

ACAR EPAL AMBROSIA

Bahan-bahan:

- 5 biji epal ambrosia, dipotong dadu

- 3 sudu makan mentega

- 1 biji bawang besar, diracik halus

- 6 ulas bawang putih, diracik

- 2 batang kayu manis

- 4 sentimeter halia, diracik

- 4 kuntum bunga cengkih

- 2 sudu teh serbuk kunyit

- 1 sudu makan serbuk kari

- 1 cawan kismis kuning, direndam dalam air panas

- 1 genggam daun ketumbar, dihiris

- 2 biji cili hijau, dihiris

- 6 biji kurma, dihiris

- 1/4 cawan cuka epal

- 1 cawan gula

- Garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan mentega dalam periuk dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia hingga wangi.

2. Masukkan kayu manis, bunga cengkih, serbuk kunyit dan kari. Kacau beberapa minit sebelum memasukkan semua bahan lain. Masak lagi beberapa minit.

3. Sejukkan acar sebelum dihidang.

SUP TOMYAM LABU DAN AMBROSIA

Bahan:

- 2 biji epal Ambrosia, dipotong dadu

- 4 sudu makan mentega

- 1 biji bawang, dipotong dadu

- 500g labu, dipotong dadu

- 500g Pumpkin, dipotong dadu

- 3 sudu makan pes tom yam

- 170g tuna dalam tin

- 250ml santan

- 2.5l air rebusan ayam

- 2sm halia, diketuk

- 1 tangkai serai, diketuk

- Segenggam daun ketumbar, dihiris halus Garam dan gula secukup rasa

UNTUK HIASAN:

- 1/2 biji epal, dipotong dadu

- 50 gram ikan masin, dihiris dan digoreng garing

- 4 sudu makan santan

- 1 sudu makan minyak cili

CARA MEMBUATNYA:

1. Cairkan mentega dalam periuk di atas api sederhana. Masukkan bawang dan labu. Masak hingga labu empuk.

2. Masukkan epal, pes tom yam, tuna, santan, air rebusan ayam, halia dan serai. Biarkan mendidih selama 15 minit.

3. Keluarkan halia dan serai. Masukkan pula daun ketumbar dan kacau. Masukkan ke dalam pengisar dan kisar hingga mendapat adunan yang lembut dan halus.

4. Dalam periuk lain, tuang adunan yang dikisar tadi dan masak hingga mendidih. Masukkan garam dan gula.

5. Masukkan sup ke dalam mangkuk, taburkan bahan hiasan dan ia sedia dihidangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:30 AM