DR Azura Hashim. FOTO: Aizuddin Saad
DR Azura Hashim. FOTO: Aizuddin Saad
Siti Zarinah Sahib


PERCAYA atau tidak tatkala seseorang itu melakar, mencoret dan menulis sesuatu di kertas, secara tidak langsung, dia sebenarnya mempamerkan personaliti, peribadi, pengalaman, sikap serta emosi mengenai dirinya.

Menerusi tulisan tangan seseorang itu boleh mengetahui karakter orang lain walaupun tidak pernah mengenali atau bertemu sebelum ini.

Sememangnya tulisan tangan adalah antara ciri unik manusia kerana setiap orang mempunyai bentuk tulisan berbeza. Malah, pasangan kembar juga masing-masing memiliki tulisan tangan berlainan.

Pakar membaca tulisan tangan, Dr Azura Hashim menjelaskan bentuk tulisan tangan terhasil daripada apa yang ada dalam minda dan emosi seseorang. Ia terbentuk menerusi otak seterusnya mengawal pergerakan tangan. Apabila seseorang mula menulis, bentuk tulisan berkenaan akan terhasil.

“Bagi individu lain, ia mungkin sekadar tulisan tangan tetapi bagi penganalisis tulisan tangan, ia menggambarkan watak seseorang di sebalik lakaran penanya. Sama seperti sikap dan peribadi, semua manusia di dunia ini memiliki tulisan tangan yang tersendiri,” katanya memulakan bicara.

Dr Azura yang juga pengasas Mastery Academy, mengakui di Malaysia ‘kuasa’ tulisan tangan jarang diterokai kerana menyifatkan ia sekadar kemahiran berfikir, yang lazimnya mampu dilakukan manusia normal.

Namun sebenarnya tulisan tangan adalah permulaan kepada laluan untuk mengenali sikap seseorang seterusnya menjadikan perhubungan bertambah baik.

Menjelaskan lebih lanjut ujar Azura, bidang memahami tulisan tangan atau grafologi dipelajari secara serius ketika sedang mencari penyelesaian kepada masalah anak ketiganya.

“Ketika itu anak saya sudah berusia tujuh tahun namun masih belum boleh membaca padahal fizikalnya tiada kekurangan. Saya turut menghantarnya ke kelas intensif tetapi hasilnya masih sama. Saya juga cuba mengajarnya sendiri di rumah tetapi dia tidak boleh memberi tumpuan dan fokus dalam pelajaran.

“Kebetulan, suatu hari guru sekolahnya menjemput Presiden Persatuan Disleksia untuk memberikan ceramah dan daripada situ saya perasan semua ciri disleksia yang dinyatakan ada pada anak saya. Ketika itu saya sudah mula mendalami analisis tulisan tangan cuma tidak tahu bagaimana mahu mengaplikasikannya,” katanya.

PENGETAHUAN dimiliki Dr Azura ubah peribadinya jadi lebih bersemangat dan sentiasa yakin
PENGETAHUAN dimiliki Dr Azura ubah peribadinya jadi lebih bersemangat dan sentiasa yakin

Pulang ke rumah Azura menyuruh anaknya menulis huruf 'M' kerana cara menulis huruf 'M', 'N' dan 'H' membolehkan kita menilai ketajaman fikiran seseorang. Cara dia menulis huruf 'M' terlalu melengkung pada pangkal kedua gelung huruf 'M'. Ini bermakna dia menghadapi kelewatan untuk memahami dan menerima maklumat. Azura sedar anaknya termasuk dalam kategori disleksia minor dan perlu mencari cara terbaik mengajarnya di sekolah.

Bermula dari situ wanita ini sedar tidak semua ibu memahami emosi dan perangai anak mereka. Ada kalanya ibu bapa memaksa anak melakukan sesuatu di luar kemampuan kerana kegagalan penjaga memahami keadaan sebenar yang mereka alami.

“Saya mula terpanggil untuk berkongsi mengenai anak di media sosial. Tidak sangka ramai ibu bapa berminat dan meminta saya menganjurkan kelas mengenai tulisan tangan hingga sekarang. Namun kini saya bukan sahaja mengadakan kelas untuk individu tetapi syarikat korporat,” katanya.

PAKAR ANALISIS TULISAN TANGAN

Menceritakan bagaimana terbabit dalam bidang grafologi, kata ibu kepada empat cahaya mata ini, semuanya bermula secara kebetulan ketika dia sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) jurusan Pemasaran Antarabangsa di Universiti Malaya.

“Oleh kerana mempunyai banyak masa ketika menyiapkan tesis, saya berpeluang menghadiri pelbagai kursus termasuk perniagaan dan menganalisis tulisan tangan.

“Saya mula tertarik dalam bidang ini dan apabila mempraktikkannya saya dapati ia banyak mengubah peribadi saya daripada seorang yang sensitif, mudah berputus asa, tidak yakin, malu untuk bercakap di hadapan

orang ramai kepada individu yang lebih bersemangat dan sentiasa yakin. Saya percaya menerusi tulisan tangan dapat mengubah karakter dan keperibadian seseorang," jelasnya.

Azura mula mencari maklumat mengenai bidang analisis tulisan tangan dan akhirnya dia menyertai satu kursus bawah NFNLP (Pertubuhan Antarabangsa Program Neuro Linguistik) dan mendapat sijil NLP (Program Neuro Linguistik) yang berpusat di Amerika Syarikat.

Malah bagi meningkatkan ilmu dalam bidang ini dia banyak mempelajari menerusi mereka yang pakar di Amerika Syarikat secara dalam talian.

Kata Azura, di Malaysia bidang menganalisis tulisan tangan masih kurang mendapat sambutan disebabkan keyakinan orang ramai rendah serta tidak mengetahui fungsinya.

Namun sebenarnya ia kerjaya menarik yang bukan sahaja digunakan untuk membaca personaliti tetapi membantu memahami dan cuba menerima diri seseorang itu seadanya.

"Misalnya, melalui tulisan tangan kita boleh mengenali karakter anak, suami dan isteri, rakan perniagaan serta majikan dan kakitangan.

"Untuk itu kita akan lebih memahami perangai dan emosi mereka seterusnya belajar untuk menerima, bertanya masalah seterusnya membantu sekiranya mereka mengalami tekanan.

"Malah di luar negara tulisan tangan mampu menjelaskan mengapa seseorang itu ingin membunuh diri," ulasnya yang kini sudah menulis tiga buku mengenai tulisan tangan.

Jelas Azura, jika dahulu tulisan tangan hanya menjurus kepada ibu bapa yang ingin memahami anak, juga suami dan isteri yang menganalisis diri masing-masing, namun sejak kebelakangan ini majikan turut menggunakan kaedah grafologi untuk mencari pekerja baharu.

“Kebanyakan majikan yang terbabit dalam pemasaran sering mengupah saya untuk mencari pekerja yang sesuai.

“Mereka tidak mahu lagi menjadikan resume sebagai tanda aras memilih pekerja kerana melalui analisis tulisan tangan, karakter dan potensi pekerja lebih tepat diperoleh,” katanya yang berharap lebih ramai individu ingin mendalami ilmu mengenai tulisan tangan kerana faedahnya sangat besar membabitkan kehidupan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:00 AM