KHAIRIAH bersama seorang daripada anaknya yang turut membantu.
KHAIRIAH bersama seorang daripada anaknya yang turut membantu.
Siti Nadirah Hafidzin


WANITA tampak lemah di luar, namun hakikatnya mereka mempunyai kekuatan yang perlu dibanggakan. Tidak kira siapa pun dia, berkerjaya mahupun suri rumah, setiap wanita ada kisahnya tersendiri dalam usaha mengejar impian hidup.

Perjalanan hidup ibu kepada empat cahaya mata ini mengubah nasib hidupnya penuh berliku. Dia memulakan perniagaan di tapak pasar malam demi meneruskan kelangsungan hidup.

Keempat-empat cahaya mata juga membesar di pasar malam dan tapak ekspo sejak kecil. Hati ibu mana yang tidak merintih sedih apabila melihat anaknya perlu bersusah payah bersama, berhujan dan berpanas menemaninya berniaga.

Semua itu menusuk ke hati dan ia menjadi pencabar utama yang menguatkan semangat wanita ini. Dia mahu menamatkan kesukaran hidupnya supaya anak mendapat kehidupan yang lebih baik dan boleh hidup selesa sama seperti kanak-kanak lain.

Impiannya cuma itu, memperbaiki hidup dan melihat keempat-empat anak melanjutkan pengajian hingga ke menara gading bagi memastikan apa yang dilaluinya tidak lagi berulang.

Berkongsi cerita mengenai susah senangnya, Khairiah Shamsuni, 58, berkata, semuanya bermula pada awal November 1996 iaitu ketika dia sekeluarga baru berhijrah dan menetap di Ipoh, Perak.

Menurutnya, satu persatu pekerjaan dicuba, namun semuanya tidak menampakkan hasil, malah dia juga tersepit dengan masalah kewangan kronik ketika itu.

“Saya cuba gunakan kemahiran memasak nasi ayam untuk menjualnya di pasar malam, namun atas beberapa faktor saya tidak meneruskan hasrat itu.

“Sangat sedih ketika itu terutama apabila mengenangkan nasib anak-anak yang sedang membesar, namun semua itu saya jadikan penguat semangat untuk terus berdiri,” katanya.

Khairiah berkata, dia kemudiannya cuba mencari jenis perniagaan kurang persaingan sebelum tekad menjual jamu.

“Pelbagai jenis jamu saya jual dan mula nampak hasilnya, namun semuanya tidak seindah diharap kerana kami tetap perlu bekerja keras demi memastikan hidup dapat diteruskan terutama soal makan pakai anak.

“Soal ikat perut itu sudah menjadi kebiasaan. Tidak cukup rehat walaupun pada hari minggu, masa anak juga banyak dihabiskan di pasar malam atau ekspo terutamanya sebaik saja tamat waktu sekolah,” ujarnya.

Katanya, dia meneruskan hari demi hari dengan berniaga di pasar malam dan ekspo dan dalam masa sama cuba mengumpul simpanan sedikit demi sedikit.

“Berniaga ini ada pasang surutnya, ada hari sambutan diterima baik namun ada juga hari yang langsung tiada jualan, mungkin pada tahun-tahun awal, saya berasa sa­ngat tertekan apabila berdepan dengan dugaan ini, namun lama kelamaan semuanya sudah sebati.

“Jika dapat simpan RM5 pun saya sudah cukup gembira namun saya cuba simpan lebih kerana tahu simpanan itu penting untuk kegunaan anak-anak pada masa depan,” katanya.

BERSAMA keluarga.
BERSAMA keluarga.

KECAPI SINAR KEGEMBIRAAN

Berkat usaha dan kerja kerasnya, Khairiah berjaya melangkah setapak dengan membuka spa dan fokus kepada rawatan resdung sebelum mempunyai produk resdung, Ikhlas Oil selepas sekian lama berusaha.

“Saya bukanlah usahawan segera yang ada duit dan terus boleh buat produk sendiri, namun saya tidak mempertikaikan golongan seperti itu kerana masing-masing ada rezeki sendiri.

“Selepas lebih 15 tahun mengharungi satu persatu dugaan, kini saya puas kerana apa yang saya impikan semakin tercapai iaitu memiliki perniagaan sendiri yang mana minyak resdung ini mendapat sambutan menggalakkan dalam masa sama keempat-empat cahaya mata berjaya menghabiskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah mencecah usia 58 tahun, namun dia tetap gigih bekerja demi memastikan apa yang diusahakan tidak terhenti separuh jalan.

“Syukur, suami dan anak sentiasa di sisi tidak kira susah mahupun senang dan kini mereka juga yang membantu menguruskan perniagaan ini.

“Saya sangat menghargai setiap apa yang dikecapi kini kerana hanya saya saja yang tahu bagaimana susah senang perjalanan hidup selama ini,” katanya.

Katanya, kini usahanya bukan saja tertumpu kepada perniagaan diusahakan, malah dia lebih memfokuskan untuk membantu wanita mahupun pelajar yang mahu menjana pendapatan sendiri.

“Saya juga membantu daripada banyak sudut terutamanya bagaimana cara untuk berniaga selain saingan-saingan yang perlu dihadapi dalam perniagaan asalkan anda ada kemahuan untuk berjaya.

“Jangan memandang hina dengan apa yang orang lain usahakan. Jika tidak dapat membantu cukuplah memberi sokongan atau sekurang-kurangnya mendoakan kebaikan serta kejayaan mereka,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:00 AM