BUAT masker sendiri gunakan bahan dari dapur.
Siti Zarinah Sahib


RAMAI wanita menghadapi masalah liang roma terbuka atau pori besar yang berpunca daripada kehilangan elastisiti pada kulit.

Sebenarnya biarpun nampak remeh, masalah ini akan mengganggu penampilan dan membawa kesan buruk seandainya tidak diatasi.

Ini kerana ia akan menyebabkan masalah pori tersumbat dengan lebihan minyak, daki dan sel kulit mati.

Lama-kelamaan saiz pori semakin membesar dan usaha untuk mengurangkan ukurannya menjadi lebih sukar. Wanita juga akan menghadapi masalah kulit yang pelbagai seperti jerawat dan jeragat.


FYZA Shah.

Berkongsi dengan pembaca menerusi amalan tradisional di Facebook Fyza Shah, walaupun pori tidak dapat dikembalikan kepada ukuran asal, ia boleh dikecilkan saiznya menerusi amalan petua tradisional.

“Wanita pada zaman dulu bukannya ada pusat rawatan kecantikan untuk dikunjungi, namun kulit mereka halus dan mulus tanpa sebarang cela. Ia disebabkan penggunaan bahan dari dapur sejak turun-temurun.

“Mereka konsisten mengamalkannya tanpa rasa ragu. Malah, setiap bahan digunakan terbukti berkesan untuk perawatan kulit selepas memakainya dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Menurut Fyza lagi, untuk mengecilkan pori, boleh menggunakan masker yang dibuat sendiri menggunakan bahan seperti perahan limau nipis, putih telur, madu dan kanji jagung.

Ramai tidak tahu kebaikan limau nipis yang mengandungi 22 peratus vitamin C. Kandungan yang tinggi ini menyebabkan saiz pori senang dikecilkan seandainya kita menambah limau nipis ketika memakainya.

Vitamin C juga akan menggalakkan penghasilan kolagen baru. Kolagen ini akan menambah kekenyalan kulit yang secara tidak langsung membuatkan saiz pori semakin mengecil.

Madu pula ditambah untuk kelembapan kulit. Selain itu, ia bersifat antibakteria, sekali gus mengelak kulit hilang lembapan asli.

“Apabila kulit lembap, ia akan mengurangkan minyak, sekali gus menyebabkan pori tidak membesar,” katanya.

Putih telur mempunyai kandungan protein dan albumin yang tinggi menjadikan kulit lebih anjal, seterusnya lebihan minyak dalam pori akan diserap.

Tambah Fyza lagi, dia sengaja menambahkan kanji jagung ke dalam bahan perawatan kerana bersifat mengurangkan keradangan kulit. Kanji jagung digunakan dalam kebanyakan produk kosmetik termasuk berjenama terkenal.

“Ini kerana kanji jagung bersifat menenangkan dan menjadi agen pemekat dalam produk. Buktinya, ibu pada zaman dulu menggunakan kanji jagung untuk mengurangkan kegatalan pada badan anak mereka.

“Ibu zaman dulu membancuh kanji jagung dan disapu pada kulit bermasalah seperti bedak sejuk. Hasilnya kesan merah dan gatal cepat kering dan hilang,” katanya.

Cara untuk membuat masker ini juga mudah. Hanya campurkan semua bahan (perahan limau nipis, putih telur, madu dan kanji jagung) ke dalam mangkuk. Kacau hingga sebati dan sapukan pada muka. Biarkan selama 15 minit dan bilas dengan air hingga bersih.

“Apabila mengamalkan penggunaan ini, kulit akan menjadi kurang berminyak dan tekstur bertambah licin.

“Selepas membersihkan muka, anda boleh memakai produk perawatan biasa yang digunakan setiap hari seperti serum dan pelembap. Amalkan satu atau dua kali seminggu untuk kesan yang lebih cepat dan berpanjangan,” katanya.

CARA-CARANYA


1. PERAH limau nipis ke dalam mangkuk kecil.

2. CAMPURKAN madu.

3. TAMBAHKAN tepung kanji. Kacau sehingga sebati.

4. PUPUR yang siap untuk disapu ke wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:45 AM