PELITA anjur program untuk bantu wanita jana pendapatan.
Siti Zarinah Sahib


WALAUPUN sudah berusia 69 tahun, bagi Aziah Ibrahim, usia bukan penghalang untuknya menambah kemahiran dalam kraf tangan yang diibaratkan sebagai pekerjaan orang muda. Ini kerana selain perlu memiliki ketelitian tinggi, menghasilkan bunga pahar memerlukan kesabaran supaya kesudahannya bernilai kreatif, cantik dan berseni.

Menurut Aziah yang menetap di Hulu Langat, Selangor, sejak remaja dia memang sudah meminati kerja tangan seperti membuat hantaran dan bunga telur terutama apabila ada kenduri-kendara membabitkan adik-beradik. Bagaimanapun, kemahiran yang dimilikinya itu hanyalah asas dengan melihat hasil seni orang lain.

Apabila Persatuan E-Skill Wanita (Pelita) menganjurkan Program Komuniti Keusahawanan Suri Rumah Hulu Langat di Selangor di bawah bimbingan tenaga pengajar, Suzana Mustafa, dia terus menyertainya.

Bermula Januari 2019, Aziah menyertai kelas pertama membuat bunga reben dan renda. Namun dia mengakui agak sukar memahaminya disebabkan mata yang kurang jelas.

“Untuk kain renda saya agak keliru mana bahagian luar dan dalam. Jadi apabila menerima tempahan pelanggan selepas dinilai tenaga pengajar, kualitinya agak kurang. Namun saya tetap berusaha memberikan yang terbaik terutama untuk bunga reben dan renda,” katanya.

Selepas menerima tempahan pelanggan, Aziah yang juga nenek kepada tujuh cucu mula menyertai kelas kedua iaitu bunga pahar tekap yang lebih mencabar dan memerlukan komitmen tinggi.

“Selepas menyertai beberapa kelas, saya mula memahami perkara asas dari segi membuat bunga tekap dan mencantumkannya. Alhamdulillah bunga pertama berjaya dihasilkan tanpa banyak kesalahan.

“Saya juga menerima tempahan 200 kuntum bunga pahar dengan harga RM12 sekuntum. Setakat ini untuk satu tempahan, saya berjaya menerima RM200 sehingga RM300 dan anggaran pendapatan yang diperoleh sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya gembira.

SUZANA (kiri) menunjukkan cara membuat bunga pahar.

Dia yang mendapat bantuan rakan mengakui walaupun ada yang beranggapan pembuatan bunga ini agak rumit tetapi semuanya dapat dilakukan kerana minat terhadap kraf tangan.

“Setiap hari saya dapat membentuk lima bunga tekap. Cabarannya adalah saya perlu membentuk dawai yang ditekap kepada kain renda. Bentuknya pula perlu selaras dan sama. Inilah kesukarannya. Namun alah bisa tegal biasa apabila dilakukan setiap hari, saya semakin mahir tanpa membuat banyak kesalahan,” katanya.

Bagi Zaiton Yamin pula, dia tertarik menyertai Program Bunga Pahar dan Sulaman Reben di bawah Program Komuniti Keusahawanan Suri Rumah Hulu Langat di Selangor disebabkan ingin menambah pendapatan selain minat yang mendalam terhadap seni menghasilkan bunga pahar.

“Selepas mendaftar dan terpilih antara 20 peserta, saya terus mengikuti kelas pertama pada Januari 2019. Saya mula belajar membuat pelbagai jenis bunga pahar seperti kekwa, reben dan tekap.

“Kemudian selepas agak mahir saya mula membuat promosi di media sosial. Alhamdulillah tempahan mula saya terima dan semakin bersemangat untuk memperbaiki kualiti penghasilan bunga pahar,” katanya.

Dengan pendapatan sampingan diperolehnya, Zaiton mampu membeli mesin jahit secara tunai bagi memudahkan urusan kerja seninya ini.

Pendapat yang sama turut diberikan Noriati Nawi yang menyertai kelas membuat bunga pahar kerana ingin menambah kemahiran yang ada sebelum ini.

Dia yang turut memiliki kepandaian membuat bunga telur dan mengambil tempahan mengakui ilmu yang dimilikinya tidak pernah dipelajari secara profesional, jadi hasilnya juga kurang memuaskan.

“Apabila Pelita menganjurkan program ini untuk suri rumah berpendapatan rendah atau golongan B40 dan asnaf, ia satu langkah yang baik. Rugi sekiranya saya tidak menyertainya memandangkan bukan senang untuk mendapat kemahiran daripada tenaga pengajar profesional,” katanya.

Mula menyertai kelas sejak Januari lalu, selepas mengetahui teknik bunga reben dan kekwa, dia semakin yakin untuk menerima tempahan disebabkan kualiti dan juga keindahannya.

“Saya sangat bersyukur kerana menerusi program ini, saya dapat menjana pendapatan di rumah. Sekurang-kurangnya ia dapat digunakan untuk kegunaan sendiri di samping membantu meringankan bebanan suami,” katanya yang memiliki tiga cahaya mata.

PESERTA DIBERI BIMBINGAN

Sementara itu, penyelaras program yang juga tenaga pengajar, Suzana Mustafa berkata, peserta diberi masa fleksibel untuk bekerja dan menyiapkan tempahan dari rumah.

Namun bimbingan secara dalam talian dan media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram turut diberikan bagi membolehkan mereka menghasilkan tempahan berkualiti serta yakin untuk memasarkan produk masing-masing.

“Peserta diajar kemahiran, teknik dan cara penghasilan produk dengan memberi tumpuan kepada produk yang mendapat permintaan terkini. Ini bagi memudahkan peserta terus menerima tempahan daripada pelanggan selepas menghadiri kelas,” katanya.

KELAS membuat bunga pahar untuk suri rumah menjana pendapatan.

Jelas Suzana, fokus program ini diadakan untuk membantu suri rumah yang terdiri daripada golongan asnaf, B40, ibu tunggal dan warga emas di kawasan Parlimen Hulu Langat menjana pendapatan tambahan. Selain itu, program ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan mereka kepada bantuan kerajaan.

Seramai 20 peserta bunga pahar dan 20 peserta sulaman reben dipilih dan mereka perlu menghadiri kelas yang diadakan pada setiap hujung minggu. Selepas mahir dan mula menerima tempahan, peserta akan diberikan kursus yang lebih ke hadapan untuk meningkat­kan kualiti dalam penghasilan kraf tangan.

“Daripada 20 peserta, seramai 14 orang mula menjana pendapatan menerusi bimbingan dan tunjuk ajar diberikan. Mereka ini kebanyakannya suri rumah berusia 40 tahun ke atas dan ada juga berusia 60 tahun ke atas. Namun ada juga berhenti di pertengahan jalan disebabkan kekangan masa dan masalah jagaan anak,” katanya yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang kraf tangan.

Jelas Suzana, seni penghasilan bunga pahar bukanlah berasaskan bakat semata-mata, sebaliknya mereka yang berminat serta mempunyai semangat tinggi untuk berjaya boleh melakukannya. Pada masa sekarang industri dalam bidang perkahwinan sentiasa mendapat tempat dalam masyarakat.

“Tidak ramai yang berkemahiran menghasilkan bunga pahar asli yang menepati ciri tradisional. Mereka yang berani mencuba dan yakin dengan kebolehan diri adalah golongan beruntung berjaya memanfaatkan peluang yang ada. Kerjaya ini juga tiada batas usia, selagi mampu dan rajin, insya-Allah boleh berjaya,” nasihatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:15 AM