Siti Zarinah Sahib


BAGI mempelai dua kunci utama yang akan membuatkan mereka tampil anggun dan menawan ketika hari bahagia iaitu solekan dan busana. Untuk itu, kedua-dua perkara ini tidak boleh dipandang remeh saat anda mula merancang untuk mengadakan majlis pernikahan terutama pemilihan tema solekan.

Menurut jurusolek profesional Yann Rifft (Instagram yann_rifft), mata adalah jiwa kepada wajah. Untuk itu olesan mata haruslah tepat, serasi dan kena dengan warna kulit mengikut tema perkahwinan. Dalam hal ini, solekan haruslah kelihatan semula jadi dan segar supaya tidak menampakkan kekurangannya.

“Jika diikutkan semua jurusolek akan memastikan mempelai menggunakan warna semula jadi untuk acara pernikahan.

“Namun, ramai yang sukar memastikan solekan dikenakan kelihatan segar sepanjang acara berlangsung. Di sinilah pentingnya kreativiti, teknik dan cara memilih, mengadun dan mengaplikasikan warna pada bahagian kulit, mata dan bibir,” tegasnya.

Ujar Yann, kulit adalah elemen penting yang perlu dipersiapkan supaya keseriannya terserlah. Mulakan dengan esen dan pelembap yang disapu ke seluruh kulit sehingga leher, kemudian oleskan bedak asas cair menggunakan berus rata.

Seterusnya gunakan berus gebu untuk memudarkan sebarang garisan yang nampak ketika tersenyum atau ketawa. Kemudian litupi dengan bedak debu dan kompak supaya warna kulit sekata.

Setelah selesai, beralih kepada bahagian penting iaitu mata yang menjadi nadi dalam solekan pernikahan. Ini kerana setiap wanita memiliki jenis mata berbeza, jadi olesan dan warna juga perlu disesuaikan mengikut bentuk mata wanita.

“Apa yang menjadi masalah apabila mempelai mempunyai lingkaran gelap di bawah mata. Jadi tumpuan perlu diberikan bagi menutupi kawasan gelap ini. Sebaiknya gunakan rona keemasan, warna tanah lembut, pic atau jingga cair kemudian sembunyikan dengan rona sama mengikut kulit. Akhir sekali ulangi menggunakan satu atau dua warna yang lebih terang dengan sedikit kilauan,” katanya.

Untuk solekan pernikahan adalah menjadi kemestian mempelai menggunakan bulu mata palsu yang tidak terlalu sarat, tetapi masih menonjolkan keaslian bentuk mata. Oleskan maskara sebagai penutup solekan mata bagi mendapatkan bulu mata yang lebih lentik, panjang dan lebat.

“Gandingan hebat di antara solekan dan juga bulu mata palsu akan menaikkan keserian wajah sekali gus menjadikan wajah tampak semula jadi dan segar.

“Kehebatan bulu mata juga membuatkan mata yang kecil menjadi lebih galak dan besar. Sesuai untuk mereka bermata kecil yang akan membuatkan penampilan menjadi lebih sempurna,” kata Yann.

Tambah jurusolek berpengalaman ini lagi, celak tidak harus diabaikan kerana ia ibarat kawan yang baik kepada maskara. Layangkan celak pada bahagian garis atas kelopak mata dan sedikit pada bawahnya supaya solekan menjadi lebih tepat dan jitu.

“Ibarat kata tanpa celak solekan kelihatan pudar dan tidak berseri. Begitu juga maskara yang perlu diaplikasikan bagi mendapatkan bentuk mata yang diidamkan,” jelasnya.

Untuk menampakkan senyuman kekal menawan sapukan pemerah pipi pada bahagian atas tulang pipi dengan teknik menaik. Gunakan rona merah jambu terang supaya adunan kelihatan serasi. Akhir sekali calitkan gincu mengikut warna kulit dan ulangi dengan pengilat bibir sebagai sapuan terakhir.

“Pemilihan busana menjadikan mempelai kekal menyerlah sehingga ke akhir acara. Pastikan warna yang dipilih ada jenis pastel supaya mampu memperlihatkan gandingan yang hebat sebagai raja sehari,” katanya.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. PEMILIHAN bedak asas sangat penting untuk solekan pernikahan. Pastikan mengikut warna kulit.

2. PILIH gabungan dua atau tiga warna pembayang mata seperti warna tanah, keemasan, jingga atau pic.


LANGKAH 1 dan 2

3. SELEPAS mengaplikasikan maskara sapuan celak dapat menutupi kekurangan sekali gus mata lebih bersinar.

4. PEMERAH pipi dilayangkan pada bahagian atas tulang pipi.


LANGKAH 3 dan 4

5. AKHIRI dengan gincu dan pengilat bibir.

6. JURUSOLEK, Yann bersama model selesai disolek.


LANGKAH 5 dan 6

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:21 AM
OLESAN mata perlu tepat, serasi dan kena dengan warna kulit. FOTO: Syakirah Azhar