MESKIPUN ada kerjaya, aktif sukan lasak Mohd Shahfudin aktif sebagai sukarelawan.
Siti Nadirah Hafidzin


TUJUH tahun lalu, hatinya terjentik sewaktu mengikuti satu program sukarelawan bersama kelab penyokong pasukan Liverpool.

Ketika itu dia bersama rakan lain perlu menjaga dan membawa sekumpulan kanak-kanak HIV dari sebuah rumah kebajikan untuk membeli keperluan Aidilfitri di sebuah pusat beli-belah.

Sangat memilukan apabila kumpulan kanak-kanak terbabit tidak mahu bersalaman dengannya kerana bimbang HIV yang dihidapi akan menjangkiti walhal mereka sedia maklum ia tidak berjangkit melalui sentuhan.

Semua itu berlaku atas faktor rasa rendah diri selain sering berdepan ejekan dan persepsi serong masyarakat hingga menyebabkan kanak-kanak terbabit takut untuk bertemu orang lain.

Bermula detik itu, siapa sangka ia menjadi titik permulaan anak kelahiran Klang, Selangor ini terus aktif dalam aktiviti kebajikan hingga kini.

Lebih menggembirakan apabila pembabitannya dalam bidang itu membuatkan ibu dan ahli keluarga berasa gembira sekali gus menyokong penuh usaha Mohd Shahfudin Sukiman, 31, meneruskan misi dan visinya dalam membawa kegembiraan kepada insan memerlukan.


DUNIA sukarelawan menjadikan Mohd Shahfudin lebih bersyukur.

Berkongsi ceritanya Mohd Shahfudin berkata, pengalaman bersama sekumpulan kanak-kanak HIV itu membuatkan hatinya tersentuh memikirkan kehidupan insan yang tidak bernasib baik terutama kanak-kanak.

“Tugas saya dan rakan ketika itu bukan sekadar membawa mereka membeli-belah malah pada masa sama membuka minda kanak-kanak terbabit untuk memahami bahawa HIV tidak berjangkit melalui sentuhan.

“Keyakinan diri kanak-kanak itu sangat rendah namun lama-kelamaan mereka semakin bersemangat dan dapat menerima ketentuan mengenai HIV yang dihidapi itu. Sangat menyedihkan hampir semua kanak-kanak terbabit positif HIV sejak dilahirkan dan kebanyakan ibu bapa mereka penagih dadah,” katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat membayangkan nasib dan masa depan kanak-kanak terbabit yang membuatkan tekad terus berbakti dalam bidang itu.

“Kisah itu adalah permulaan saya berkecimpung dalam dunia sukarelawan, sebak apabila melihat insan kurang bernasib baik seperti itu tersenyum gembira kerana dihargai. Saya sangat sedih apabila mengetahui ada di antara kanak-kanak HIV itu meninggal dunia pada tahun berikutnya.

“Bagi saya mereka juga sama seperti kita malah lebih murni hatinya. Mereka tidak meminta dilahirkan sebegitu namun takdir sudah ditetapkan. Itulah sebabnya saya tanam dalam hati untuk cuba membantu, bukan dari segi wang ringgit, namun keikhlasan berkongsi kegembiraan,” ujarnya.


BERKONGSI masa dan tenaga dalam membawa kegembiraan kepada insan kurang bernasib baik.

MANFAAT 24 JAM

Menurut Mohd Shahfudin, dia tekad untuk berkongsi rasa dengan insan memerlukan selagi diberikan kesihatan, rezeki dan kesempatan.

“Saya mempunyai kerjaya tetap selain aktif dalam sukan lasak terutama memanjat bukit dan berlari. Namun dalam kesibukan harian itu, saya sering mengingati nasihat ibu yang mahu saya bijak bahagi masa.

“Dalam sehari kita ada 24 jam, walau sesibuk mana juga saya usaha susun sebaik mungkin kerana saya mahu waktu hidup ini diisi dengan perkara berfaedah bukan saja untuk diri malah kepada insan lain,” katanya.

Katanya, kebiasaannya dia akan menggunakan waktu hujung minggu dipenuhi aktiviti sukarelawan.

“Saya bercerita ini bukan kerana nama namun sekadar berkongsi rasa dan pengalaman menjejakkan kaki ke dunia penuh keinsafan ini.

“Pada masa sama, saya sangat mengharapkan lebih ramai generasi muda berkecimpung dalam bidang ini atas kemahuan diri sendiri bukan paksaan. Bidang ini bukan saja membuatkan anda seronok namun ia dapat menjadikan diri anda lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.

Mohd Shahfudin berkata, di samping dapat membantu, bidang diceburi itu membuatkan jumlah kenalannya bertambah.

“Setiap kali ada aktiviti sukarelawan kita akan bertemu rakan baharu yang bersama-sama berusaha berkongsi kegembiraan, mereka datang daripada pelbagai bidang, ada doktor, guru, pensyarah, kerani juga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

“Seronok rasanya apabila dapat berkumpul dengan individu yang sehati dengan kita, senang kata yang ‘sekepala’ kerana daripada situ nilai persahabatan dapat dipupuk,” katanya.

Menurutnya, walaupun kadangkala penat juga kesuntukan masa, dia tekad untuk terus mencurah bakti selagi hayat dikandung badan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:00 AM