GAUN kembang berbunga tampil ringkas namun menawan. Kanan, padanan ringkas corak abstrak untuk wanita yang inginkan penampilan ringkas.
GAUN kembang berbunga tampil ringkas namun menawan. Kanan, padanan ringkas corak abstrak untuk wanita yang inginkan penampilan ringkas.
Siti Zarinah Sahib


WANITA bertubuh kecil sering menghadapi kesukaran memilih padanan mengikut ukuran badan mereka. Kebanyakan pakaian yang dijual mengambil ketinggian model sehinggakan golongan bertubuh kecil terpaksa membuat pengubahsuaian dan akhirnya busana kurang cantik pada badan pemakai.

Mengambil kira luahan itu, bertempat di The Mod House, Jalan Maarof Bangsar, Gib Idris bersama pengasas Founder Wardrobe Solution Ho Kok Leong melancarkan koleksi Petite Wear yang dikhususkan untuk wanita Asia.

Menurut Gib, tujuan koleksi ini diketengahkan bagi membantu wanita Asia terutama Malaysia yang bertubuh sederhana dan kecil dalam membuat pilihan.

“Fokus kami juga memperkenalkan model bersaiz sederhana dan kecil ini ke pentas peragaan. Kebiasaannya di pentas peragaan model luar negara diambil bagi mencantikkan ‘pembawaan’ mereka agar setiap padanan nampak anggun dan menawan. Pada akhirnya pelanggan akan tertarik apabila melihat model menggayakannya,” katanya.

Katanya, bagi mempelbagaikan jenama, rumah fesyen ini menyediakan himpunan padanan terdiri daripada gaun, kemeja-T, blaus, skirt, slack, denim dan jaket rekaan pereka tempatan. Antaranya Maswira Majid, Alainaa Zunaidi, Farah Salleh dan Wardrobe Solution sendiri.

MERAH hitam sesuai untuk menghadiri makan malam. Kanan, kemeja-t dipadankan skirt berbunga tampil ringkas.
MERAH hitam sesuai untuk menghadiri makan malam. Kanan, kemeja-t dipadankan skirt berbunga tampil ringkas.

Setiap rekaan tampil bagi menepati cita rasa wanita yang inginkan gaya sederhana tetapi mampu dipakai ke semua acara.

“Pemilihan fabrik juga turut membantu wanita tampil bergaya. Biasanya material jenis kapas, sifon, satin dan renda antara yang menjadi pilihan dan sesuai digayakan untuk pelbagai acara.

“Untuk gaun pula kebanyakan pereka mengetengahkan gaun singkat bagi menyesuaikan dengan bentuk badan wanita bertubuh comel. Warna pilihan juga terdiri daripada rona terang floral yang menggambarkan keceriaan dan kegembiraan,” katanya.

Menariknya barisan model yang menyertai acara ini terdiri daripada wanita bersaiz sederhana di luar dunia peragaan. Mereka diambil menjadi model bagi membolehkan pelanggan melihat dan membayangkan diri mereka apabila mengenakan rekaan daripada pereka tempatan ini.

“Secara tidak langsung tujuan kami ini adalah untuk membuka peluang kepada semua individu terutama wanita bertubuh kecil dan sederhana beraksi di pentas peragaan,” ulasnya.

Semua rekaan Gibidris, Maswira Majid, Alainaa Zunaidi dan Wardrobe Solution boleh didapati di The Mod House Jalan Maarof, Kuala Lumpur atau pembelian dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:00 AM