10 pelajar cemerlang terima bantuan pelajaran RM400,000
Yusliza Yakimir Abd Talib


MELANJUTKAN pengajian dalam bidang perakauan menjadi impian Yasmin Nadhirah Abdul Ghani sejak kecil bahkan dia begitu teruja setiap kali perlu membuat kerja sekolah membabitkan pengiraan.

Kini, dengan biasiswa yang diterima hasil pencapaian cemerlang dalam pengajian asasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91 yang diperolehnya, Yasmin tidak lagi dibebani masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat Perakaunan di universiti sama.

Si manis berusia 20 tahun ini antara 10 pelajar yang terpilih menerima biasiswa daripada Yayasan Lion-Parkson (LPF) berjumlah RM400,000 tahun ini.

“Syukur dan lega terpilih menerima biasiswa ini kerana dapat mengurangkan beban ibu bapa saya. Bapa saya bekerja sebagai penjaja makanan ringan di kampung manakala ibu pula kurang sihat dan penglihatannya terjejas akibat kencing manis.

“Sebagai anak kedua dalam keluarga, tentunya saya menjadi harapan untuk mengubah nasib kami sekeluarga. Saya berjanji dengan diri sendiri untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Semua pelajar terpilih kini melanjutkan pengajian masing-masing di peringkat ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi tempatan dan dipilih berdasarkan latar belakang kewangan, prestasi akademik, aktiviti kokurikulum dan kualiti kepemimpinan mereka.

Mereka akan menerima biasiswa bernilai RM10,000 setahun sepanjang pengajian mereka.

Penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Eric Zulkarnaen Azhar, 21, yang menyambung pengajian kejuruteraan mekanikal berkata, dia mahu mengikut jejak langkah ayahnya yang juga pesara dalam bidang kejuruteraan.

Katanya, biasiswa itu sebagai penghargaan buat dirinya yang berusaha sehabis baik hingga mendapat CGPA 3.75 pada pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal lalu.

“Selain itu, saya bersyukur dapat mengurang­kan beban keluarga dengan biasiswa ini. Alhamdulillah semester pertama pengajian ijazah sarjana muda saya turut mendapat Purata Mata Nilai Gred (GPA) 3.75.

“Kejuruteraan mekanikal subjek yang susah jadi saya amalkan belajar berkumpulan jika membabitkan latihan pengiraan dan belajar sendiri bagi subjek yang perlu menghafal seperti undang-undang kerana memerlukan saya lebih fokus dan suasana lebih tenang.

“Biasiswa ini menjadi motivasi untuk terus mengekalkan kecemerlangan akademik dan bergelar jurutera berjaya suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui pada penyerahan biasiswa LPF kepada 10 pelajar terpilih di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, Pengerusi Yayasan Lion-Parkson, Puan Sri Chelsia Cheng berkata, bantuan pelajaran yang diberikan kepada pelajar terbabit ialah inisiatif yayasan itu sejak 29 tahun lalu.

“Kami berharap sumba­ngan ini akan dapat membantu pelajar bebas daripada bebanan kewangan seterusnya menumpu ke arah mencapai kecemerlangan, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi dalam kepemimpinan dan personaliti dengan komitmen jitu,” katanya.

Pemegang biasiswa itu akan menjalani latihan kemahiran insaniah seperti penyelesaian masalah dan kemahiran komunikasi selain latihan praktikal di syarikat itu ketika cuti semester bagi menyedia dan mendedahkan mereka dengan dunia korporat.

Pelajar terbabit juga akan menyertai Kumpulan Lion selepas graduasi dan diserap ke dalam syarikat di pelbagai bahagian antaranya runcit, penjenamaan, perlombongan, besi dan pembangunan hartanah bergantung bidang pengajian yang diambil masing-masing.

Yayasan itu dilancarkan pada 1990 bertujuan mengurus dan menyalurkan dana untuk pelbagai keperluan seperti pelajaran, kebajikan dan kajian saintifik.

Sehingga kini, ia menaja 486 pelajar melalui pelbagai program penajaan meliputi perbelanjaan berjumlah RM10.9 juta.

Yayasan juga menyumbang sejumlah RM27.8 juta untuk kerja amal menjadikan keseluruhan tajaan RM38.7 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:05 AM