ANAK kecil suka memanjat.
Siti Nadirah Hafidzin


“ANAK saya pantang nampak meja, tangga, sofa ataupun benda yang bertingkat mesti nak panjat. Langsung tak reti duduk diam, kalau pergi rumah orang semua tempat dia nak panjat juga”.

Ini rungutan sesetengah ibu bapa apabila berdepan

si kecil yang suka memanjat. Hakikatnya anak yang suka memanjat bukanlah satu tanda yang menunjukkan dia bermasalah, tetapi ia adalah sebahagian daripada perkembangan motor kasarnya.

Kebiasaannya skil memanjat itu akan bermula apabila si kecil mula belajar merangkak iaitu ketika usia tujuh hingga 10 bulan.

Mengupas mengenai isu kanak-kanak yang suka memanjat, juruterapi kanak-kanak Mashitah Isa berkata, kebanyakan bayi dan kanak-kanak akan mencari sendiri cara yang sesuai dan selesa untuk perkembangan mereka.

“Contohnya seperti kemahiran menyusu bagi bayi yang normal, tidak perlu diajar menghisap susu selepas lahir namun kebolehan mereka menghisap atas kekuasaan Yang Maha Esa.

“Sama juga seperti memanjat, kita tidak memberi arahan atau mengajar anak untuk memanjat, tetapi disebabkan naluri ingin tahu dan rangsangan deria (pergerakan dan keseimbangan) menyebabkan mereka suka memanjat,” katanya.

Katanya, keinginan memanjat itu sememangnya normal dan ia satu keperluan dalam perkembangan anak.

“Namun perbezaan dulu dan sekarang, jika dahulu kebanyakan ibu bapa memberi kebebasan kepada anak untuk bermain di luar. Panjat pokok, bebas pergi ke taman permainan untuk memanjat tangga papan gelongsor setiap petang

“Berbeza zaman sekarang, kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk bekerja pada waktu siang dan apabila balik ke rumah sudah penat dan tiada masa untuk membawa anak ke taman.

“Hendak izinkan anak keluar seorang diri, risau dengan kes jenayah yang semakin banyak terjadi kini dan akhirnya si anak tidak ada cara lain untuk memenuhi keperluan deria mereka selain melakukan aktiviti merangsang perkembangan motor kasar mereka di dalam rumah,” ujarnya.

Mashitah berkata, melalui kajian dan pemerhatiannya, kebanyakan ibu bapa masa kini sering melakukan kesalahan yang dilihat remeh namun ia boleh mengganggu perkembangan motor kasar si anak:

1. Menghalang si kecil naik dan turun tangga di rumah disebabkan bimbang si anak terjatuh, lebih parah ada segelintir ibu bapa yang terus mendukung si kecil hingga menyebabkan terdapat kanak-kanak berusia dua tahun yang langsung tidak pernah diberi peluang naik turun tangga.

2. Memarahi si anak yang cuba memanjat pagar rumah hingga ada yang merotan kononnya untuk hukum kesalahan itu. Ibu bapa menganggap si anak nakal walhal mereka tidak sedar bahawa perbuatan memanjat itu sebenarnya tidak salah, cuma ajarlah bukan di pagar.

3. Menghukum anak yang memanjat sofa kerana bimbang sofa itu rosak.

4. Memarahi si kecil yang memanjat meja atau kerusi kerana bimbang terjatuh tanpa memberi saluran lain untuk anak bermain.

5. Tidak ada masa untuk membawa si kecil keluar bermain di taman dan menangguhkannya ke hujung minggu namun apabila tiba waktunya mereka sibuk dengan perkara lain. Akhirnya si kecil tiada peluang untuk bermain di taman bersama rakan sebayanya.

6. Paling dibimbangi, kebanyakan ibu bapa kononnya terlalu risau si kecil yang suka memanjat dan akhirnya memberi gajet untuk menghilangkan keinginan memanjat itu.

FASA MENEROKA TERHALANG

Kata Mashitah, apabila dikaji mengapa sesetengah kanak-kanak masih suka memanjat walhal usianya sudah semakin meningkat dan jawapan bagi persoalan itu adalah kanak-kanak terbabit belum yakin dengan ketinggian dan atas sebab itu dia akan cuba dan terus mencuba untuk memanjat.

“Selalunya apabila anak sudah yakin dengan ketinggian dan percaya terhadap kebolehan diri sendiri perasaan untuk memanjat itu akan berkurang melainkan dia ada masalah lain.

“Ibu bapa tidak boleh terlampau menyekat keperluan anak, ini tidak boleh atau itu tidak boleh kerana ia sememangnya akan mengganggu perkembangan si kecil terutama masalah pada perkembangan motor kasar atau masalah pertuturan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya tidak mempunyai kesempatan untuk membawa anak ke padang setiap petang, luangkan masa untuk melayan si kecil memanjat tangga di rumah namun perlu ada di sisi anak bagi menjaga keselamatannya.

“Tidak perlu terlalu lama hingga sejam, setakat dua atau tiga pusingan dalam sehari sudah memadai.

“Ada juga di antara ibu bapa yang mengadu anaknya suka memanjat hingga berusia lima tahun dan apabila melalui ujian penilaian kebanyakannya mengalami masalah terhadap deria atau hipersensitif yang menyebabkan beberapa masalah lain berkaitan pergerakan serta keseimbangan diri seperti,” ujarnya.

Antara masalah deria atau hipersensitif yang berlaku kepada kanak-kanak adalah:

1. Mudah terjatuh kerana tidak boleh mengagak ketinggian lantai.

2. Mengelak atau tidak mahu duduk di dalam buaian kerana takut apabila kakinya tidak jejak ke lantai

3. Lambat atau perlu bantuan pemegang tangga semasa naik turun tangga walaupun sudah berusia lima tahun. (Perlu tengok dan teliti setiap anak tangga.)

4. Takut untuk duduk di mangkuk tandas, menyukarkan proses belajar bebas lampin pakai buang kerana dia terlampau takut terjatuh di lubang tandas.

5. Takut untuk melintas longkang walaupun longkang yang kecil.

6. Terlalu takut atau langsung tidak takut terhadap ketinggian.

7. Mudah mabuk apabila berada dalam kenderaan bergerak.

8. Suka memusingkan diri sendiri.

9. Tidak pandai melompat pada usia lebih tiga tahun.

10. Kaki berpaut kuat di kaki kerusi semasa duduk di atas kerusi kerana gayat melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:50 AM