ZARIF (kiri)bersama ibunya. FOTO Hazril Md Nor
Hazril Md Nor


“Saya berbangga dengan pencapaian dia dan sebagai ibu akan terus menyokong minatnya kerana saya tahu dia boleh pergi jauh dengan bermain 'game',"

Demikian kata Sapiah Ali, ibu kepada Muhammad Zarif Aiman Aris, 18, yang memenangi kelayakan ke kejohanan dunia anjuran Persekutuan E-sukan Antarabangsa (IeSF) di Orange Esports Stadium, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Zarif atau nama pentasnya HXI | ZABA adalah satu-satunya wakil Malaysia bagi kategori permainan video Tekken 7 yang akan dipertandingkan di Busan, Korea Selatan pada 8 November ini dengan hadiah wang tunai terkumpul RM200,000.

Turut dipertandingkan di kejohanan dunia itu ialah League of Legends dan Counter Strike: Global Offensive (CS:GO).

Katanya, Zarif seorang yang sangat meminati permainan video Tekken sejak di bangku sekolah dan tak gentar dengan cabaran.

Malah, anaknya itu turut aktif mengambil bahagian dalam pertandingan biarpun usianya masih 'hijau'.

"Dia memang minat 'game' sejak kecil. Pada ketika itu saya membelikannya konsol sebab tak mahu dia membuang masa melepak dan melakukan aktiviti tak berfaedah di luar.

"Mula-mula saya sendiri tak faham hobi dia. Tapi selepas dia mula masuk pertandingan dan menang, barulah saya tahu dia boleh pergi jauh dalam lapangan ini," katanya.

Sapiah turut membelikan Zarif televisyen berskrin besar semata-mata untuk memenuhi keperluan anaknya menjalani latihan di rumah.

"Ada masanya dia akan ke kafe siber (gaming studio) berdekatan untuk berlatih. Tapi saya suka kalau dia berada di rumah sebab senang nak pantau.

"Sebagai ibu, saya faham perjalanannya masih jauh. Dia baru saja berusia 18 tahun dan tamat SPM tahun lalu. Jadi saya akan tetap menyokong dia pilih hala tuju hidup sendiri selepas ini," katanya.

Menurutnya, dia tak pernah halang Zarif untuk terus menceburi karier ini sebaliknya memberikan pilihan yang tepat bagi anaknya itu.

"Kalau dia mahu teruskan, saya akan terus menyokong. Sementara dia menunggu keputusan untuk masuk universiti, ini saatnya untuk saya, suami dan keluarga berikan sokongan pada dia dalam karier ini," katanya.

Sementara itu, Zarif yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kelihatan sangat gembira dengan pencapaiannya itu.

"Saya berterima kasih kepada ibu, ayah dan adik beradik lain sebab selalu menyokong minat saya. Mereka datang beri sokongan dari awal pagi sehingga habis," katanya.

Menurut Zarif, dia tidak sangka dapat memenangi kelayakan itu memandangkan terdapat pemain veteran yang turut mengambil bahagian.

"Bukan calang-calang orang yang bertanding untuk kelayakan ini tapi itu tak mematahkan semangat malah menguatkan lagi keinginan saya untuk menang.

"Saya akan membawa nama Malaysia pada November ini jadi sudah tentunya gentar kerana ia akan menjadi kejohanan pertama saya di luar negara tapi saya yakin pada diri sendiri dan akan berikan persembahan terbaik kelak," katanya.

Hasil kejohanan di peringkat kelayakan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) itu, Zarif akan ditaja sepenuhnya oleh AMD dan Omen (HP) termasuk tiket penerbangan dan penginapan ke Busan, Korea Selatan.

Turut ditaja ialah juara kategori CS:GO, Fire Dragoon dan juara kategori League of Legends, Rough Life.

Zarif sebelum ini pernah menjuarai kejohanan Hotshotz Asia 2017 dan tempat ketiga di Permainan Siber Selangor 2017 (SCG) dalam kategori Tekken 7.

Tekken 7 adalah permainan video keluaran Bandai Namco dan memfokuskan pertarungan satu lawan satu antara 39 karakter yang mempunyai kemahiran berlawan berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 4:59 PM