PENGGUNA mencuba vcash.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini memperkenalkan aplikasi vcash sebagai pilihan penyelesaian untuk transaksi tanpa tunai.

vcash adalah platform pembayaran mudah alih yang menawarkan cara lebih ringkas dan mudah untuk membayar, menghantar, memohon dan menyimpan wang di dalam telefon pintar, menjadikannya satu penyelesaian amat sesuai digunakan golongan muda.

Ia ditawarkan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dengan usaha sama pengeluar e-wang yang diiktiraf Bank Negara Malaysia (BNM), Valyou Sdn Bhd.

Perkhidmatan vcash boleh digunakan melalui semua pengendali telekomunikasi dan pengguna hanya perlu memiliki telefon pintar dan sambungan rangkaian.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pengenalan berkenaan bertujuan memenuhi aspirasi hampir dua juta juta belia di Malaysia yang menyatakan hasrat untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara dengan pembayaran tanpa tunai.

“Demi memacu pergerakan tanpa tunai, adalah penting untuk KBS sendiri mengambil langkah ke arah itu bagi mempersiapkan negara menghadapi masa hadapan.

“Dengan ini, kami berharap dapat memainkan peranan yang besar dalam menyokong dan menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan akhbarnya, KBS berkata, vcash menawarkan empat manfaat berbanding tunai merangkumi ciri keselamatan di mana setiap transaksi dikawal menggunakan PIN atau cap jari; mudah kerana boleh digunakan pada bila-bila masa, di mana jua, untuk apa-apa sahaja; boleh dijejak untuk membantu pengguna mengawal perbelanjaan serta ringkas kerana membolehkan pengguna membayar, menghantar atau menerima wang dengan hanya beberapa sentuhan.

Setakat ini, vcash boleh digunakan di cawangan fizikal seperti tempat makan dan perniagaan dalam talian di bawah rangkaian gerbang MOLPay dan iPay88.

Pada masa sama, vcash turut menawarkan kedai dalam aplikasi yang membenarkan pelanggan untuk membeli kredit permainan video seperti Garena Shells dan Steam Wallet, tambah nilai prabayar telekomunikasi, baucar membeli-belah dan membayar bil dengan mudah.

Bermula 21 Februari lalu, vcash sudah mula digunakan di tiga lokasi di Menara KBS iaitu Rimau Cafe, Gim KBS dan Kafe Teratai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 10:28 AM