Afiq Hanif

Peranti boleh pakai (wearable) kecergasan semakin berlambak di pasaran yang memenuhi keperluan peribadi. Ini bermakna gajet terbabit berupaya menjadi pemantau kesihatan dengan sensor yang lebih peka.

Namun penguji menggemari jenama Fitbit dan jika sebelum ini Blaze menjadi pilihan, tiba masa Fitbit Ionic pula yang juga jam pintar lebih baik berbanding model terdahulu.

Nasib baik penguji menjumpai Fitbit Ionic iaitu model kedua dengan perbezaan pengesan lebih baik, akhirnya datang dengan GPS dan bateri tahan lama menjangkau seminggu pada penggunaan aktif ketika digunakan.

Fitbit Ionic sangat ringan dan akhirnya ia juga sah boleh dibawa masuk dalam kolam renang dengan IP68 memandangkan model Blaze sebelum ini dilengkapi kemudahan kalis air, namun hanya sesuai untuk peluh atau hujan.

Lebih menarik, terdapat fungsi mengesan jumlah renangan, durasi dan kalori dibakar ketika berenang.

Antara ciri yang penguji gemar dalam Fitbit Ionic baru ini termasuk pengesan degupan jantungnya yang meluas merangkumi teknologi Fitbit PurePulse yang membantu anda membuat keputusan lebih baik mengenai kesihatan.

Misalnya jumlah kalori yang dibakar dinyatakan di skrin menunjukkan jumlahnya dalam sehari dan menariknya jika kita memasukkan (menggunakan aplikasi) jenis makanan, anda boleh memantau pemakanan seharian.

Sudah pasti, ia sesuai untuk individu yang ingin kurus atau sering ‘workout’ bagi memastikan tahap kesihatan memuaskan.

Lebih menarik, ia mempunyai pengesan tidur yang memantau jumlah masa tidur dan tahap tidur anda.

Sudah beberapa kali penguji memperoleh nasihat untuk menukar tempoh tidur untuk jumlah lebih lama bagi memastikan jantung sihat dan ia sangat membantu terutama ketika berada dalam keadaan sibuk akibat kerja.

Selain itu, ia juga akan mengejutkan anda sekiranya tidur keterlaluan. Menarik kan?

Namun rekaannya bukanlah kecil jadi mungkin kurang selesa membawanya bersama di bilik tidur.

Ia mempunyai paparan OLED dengan lima baris memanjang yang memudahkan anda memahami notifikasi, tetapi aplikasi pada telefon iOS atau Android anda lebih membantu untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Sekali guna pada keadaan yang sangat aktif masih memungkinkan anda memakainya selama enam hari tanpa henti meskipun menurut Fitbit, ia boleh bertahan selama lima hari.

FITBIT IONIC

• HARGA: RM1,399

• PENGELUAR: Fitbit

• CIRI: Wearable kecergasan

• PRO: Bateri tahan lama, peka

• KONTRA: Perlukan pelindung skrin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 10:35 AM