RAFIZI Ramli.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Analisis data besar menjadi salah satu kejayaan kempen pilihan raya dalam membaca kecenderungan pengundi.

Pengasas Invoke Malaysia Rafizi Ramli, berkata teknik pembelajaran mesin yang diperoleh membantu menganalisis trend pengundi berdasarkan kaedah profil menjadikannya lebih tepat.

“Ada yang kata hasil dapatan ini berdasarkan propaganda semata-mata namun kajian sudah dijalankan selama dua tahun secara sistematik.

“Ia termasuk menganalisis media sosial, membuat panggilan dan bantuan khidmat panggilan secara robot,” katanya ketika ditemui IT@Metro.

Menurut Rafizi, hasil kajian menunjukkan kecenderungan kepada sokongan parti dari masa ke masa sehingga hampir tarikh pilihan raya.

“Lebih 170 tenaga kerja sepenuh masa dibantu puluhan yang bekerja secara separuh masa bertungkus-lumus membuat kajian trend pengundi dan mengumpulkan data.

“Ia membolehkan sistem membaca dengan tepat dan teknik matematik juga digunakan,” katanya.

Invoke ditubuhkan untuk menggabungkan kepakaran dalam teknik kempen secara moden dilengkapi penggunaan teknologi terkini dalam penyasaran mikro, analisis data dan aplikasi digital.

Ia menggunakan teknologi terkini dan analisis data besar untuk mengemas kini kecenderungan pengundi kepada sesuatu parti sekali gus membolehkan kempen Pakatan Harapan (PH) mengenal pasti pengundi atas pagar yang perlu diyakinkan serta menyampaikan mesej betul apabila berkempen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:17 PM