FITBIT Versa.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Kali ini, penguji berpeluang mencuba peranti boleh pakai (wearable) yang berbentuk empat segi dengan bucu bulat, Fitbit Versa.

Peranti boleh pakai (wearable) kecergasan semakin berlambak di pasaran yang memenuhi keperluan peribadi. Ini bermakna gajet terbabit berupaya menjadi pemantau kesihatan dengan sensor yang lebih peka.

Namun penguji menggemari jenama Fitbit dan jika sebelum ini Ionic menjadi pilihan, tiba masa Fitbit Versa pula yang juga jam pintar hampir sama dengan model sebelum ini cuma rekaannya berbeza.

Nasib baik penguji menjumpai Fitbit Versa iaitu model ketiga dengan perbezaan pengesan lebih baik, tetapi tidak hadir dengan GPS dan bateri tahan lama menjangkau seminggu pada penggunaan aktif ketika digunakan.

Fitbit Versa sangat ringan dan akhirnya ia juga sah boleh dibawa masuk dalam kolam renang dengan IP68 memandangkan model Blaze sebelum ini dilengkapi kemudahan kalis air, namun hanya sesuai untuk peluh atau hujan.

Lebih menarik, terdapat fungsi mengesan jumlah renangan, durasi dan kalori dibakar ketika berenang.

Disebabkan ia tidak mempunyai GPS, anda perlu menggunakan fon sendiri untuk log lokasi dan memantau pergerakan.

Antara ciri yang penguji gemar dalam Fitbit Versa baru ini termasuk pengesan degupan jantungnya yang meluas merangkumi teknologi Fitbit PurePulse yang membantu anda membuat keputusan lebih baik mengenai kesihatan.

Misalnya jumlah kalori yang dibakar dinyatakan di skrin menunjukkan jumlahnya dalam sehari dan menariknya jika kita memasukkan (menggunakan aplikasi) jenis makanan, anda boleh memantau pemakanan seharian.

Sudah pasti, ia sesuai untuk individu yang ingin kurus atau sering ‘workout’ bagi memastikan tahap kesihatan memuaskan.

Antaramuka workout pun lebih jelas berbanding Blaze.

Lebih menarik, ia mempunyai pengesan tidur yang memantau jumlah masa tidur dan tahap tidur anda.

Sudah beberapa kali penguji memperoleh nasihat untuk menukar tempoh tidur untuk jumlah lebih lama bagi memastikan jantung sihat dan ia sangat membantu terutama ketika berada dalam keadaan sibuk akibat kerja.

Selain itu, ia juga akan mengejutkan anda sekiranya tidur keterlaluan. Menarik kan?

Namun rekaannya bukanlah kecil jadi mungkin kurang selesa membawanya bersama di bilik tidur.

Ia mempunyai paparan OLED dengan lima baris memanjang yang memudahkan anda memahami notifikasi, tetapi aplikasi pada telefon iOS atau Android anda lebih membantu untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Sekali guna pada keadaan yang sangat aktif masih memungkinkan anda memakainya selama enam hari tanpa henti meskipun menurut Fitbit, ia boleh bertahan selama lima hari.

FITBIT VERSA

• HARGA: RM990

• PENGELUAR: Fitbit

• CIRI: Wearable kecergasan

• PRO: Bateri tahan lama, peka

• KONTRA: Perlukan pelindung skrin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:28 PM