RUMAH pintar lengkap.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Kediaman pintar sudah pasti idea yang hebat. Ciri pintar menukar rumah anda sebagai ruang kehidupan serba automatik yang menjanjikan kemudahan, keupayaan perhubungan dan menyerlahkan kecanggihan.

Siapa yang tidak mahu keupayaan untuk memasang penyaman udara dengan hanya menggunakan suara dan membuka tirai yang diaktifkan oleh pancaran matahari?

Selain itu, sekiranya kita pergi bercuti, tentulah menarik jika dapat berhubung dengan rumah sendiri dan mengawal peranti pintar secara jarak jauh jika diperlukan.

Asia menjadi pasaran kediaman pintar yang sedang berkembang dan industri terbabit dijangka mencecah kira-kira RM452 bilion menjelang 2030 seterusnya menjadikan rantau ini menguasai pasaran global sehingga 30 peratus.

Rakyat Malaysia juga didapati semakin dipengaruhi kehidupan di kediaman pintar terutama generasi milenium.

Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia Ezumi Harzani Ismail turut berkongsi generasi pembeli rumah di Malaysia pada hari ini sangat berminat dengan kediaman pintar serta inovasi teknologi canggih dibawa syarikat perumahan.

Sebenarnya peranti pintar yang direka pada hari ini lebih mengutamakan fungsi berbanding keselamatan.


PERALATAN canggih dalam rumah moden.

Dengan kadar purata sebanyak 11 peranti yang dihubungkan bagi setiap rumah pintar, pengeluar rumusan keselamatan siber, Trend Micro mendapati 10 peratus kediaman pintar di seluruh dunia mengalami pencerobohan peranti.

Selain itu, dianggarkan 36 peratus kediaman terdedah kepada keselamatan siber apabila ia mengunjungi sekurang-kurangnya satu laman web yang berniat jahat setiap minggu.

Sekiranya anda merancang memiliki kediaman pintar satu hari nanti, mungkin boleh mengikut tip yang digariskan Trend Micro.

Mulakan dengan router di rumah

Anggaplah router sebagai gerbang laluan bagi semua peranti yang disambungkan ke Internet di rumah pintar anda.

Lalu lintas Internet semuanya akan melalui peranti router dan seperti kunci kepada pintu rumah, jadi kita perlu memantau router dengan rapi.

Selain menetapkan kata laluan router yang kukuh, pilih protokol Wi-Fi Protected Access II (WPA2) dan bukannya protokol jenis Wired Equality Privacy (WEP) yang biasa digunakan serta lebih mudah untuk dicerobohi.

Kerap menukar kata laluan

Memiliki kata laluan untuk router rumah serta peranti pintar saja belum mencukupi. Kata laluan boleh jatuh ke tangan orang yang salah terutama jika mereka memberikan kepada sesiapa yang berkunjung ke rumah.

Inilah sebabnya kata laluan perlu kerap ditukar.

Apabila anda menukar kata laluan, jangan guna kata laluan yang sama untuk semua peranti anda.

Anda tentunya tidak mahu menggunakan kunci yang sama untuk pintu utama anda dan pintu lain di rumah anda.

Selain itu, anda juga diingatkan tidak menggunakan tarikh lahir anda.

Cara terbaik ialah menetapkan kata laluan yang panjang dan kompleks serta diketahui hanya oleh anda saja.

Sekiranya diterima peranti, gunakan gabungan huruf besar dan huruf kecil, nombor dan aksara istimewa.


KATA laluan WiFi dalam rumah perlu ditukar.

Periksa sejarah log peranti pintar

Sesetengah peranti pintar membolehkan pengguna memeriksa log aktiviti yang membantu pengguna mengawasi aktiviti yang disyaki dengan lebih kerap.

Sebagai contoh, kebanyakan kamera keselamatan di rumah membolehkan pengguna melihat alamat IP yang mengakses suapan siaran.

Anda boleh mengetahui dengan pantas sekiranya orang yang tidak dikenali sedang mengawasi anda dengan menyemak log ini kemudian anda mesti menghubungi pihak berkuasa!

4. Melindungi telefon pintar

Oleh kerana kebanyakan peranti pintar anda dikawal menerusi aplikasi, anda perlu memberi perhatian yang lebih kepada telefon pintar anda.

Kita sedar selalunya tidak mengendahkan pemberitahuan kemaskini perisian, tetapi pastikan anda memiliki perisian versi yang terkini.

Malah, pemasangan aplikasi keselamatan mudah alih juga membantu mencegah aplikasi atau kod yang berniat jahat.

Jangan lupa untuk hanya memindah turun aplikasi yang boleh dipercayai daripada pembekal peranti pintar dan menyemak keaslian aplikasi sebelum memasangnya.

Rumah anda sepatutnya menjadi tempat berehat dengan selesa dan selamat.

Tidak lama lagi anda mungkin dapat menikmati kopi yang dibuat oleh mesin kopi pintar di kediaman pintar anda.

Amalkan sikap proaktif dan lindungi kediaman pintar selain diri anda daripada penjenayah yang sentiasa mencari mangsa mereka melalui Internet sama seperti mengunci pintu dan menutup tingkap untuk menghalang pencuri memasuki rumah anda.

Selain daripada langkah ini, Trend Micro Smart Home Network boleh membantu melindungi rumah anda daripada penceroboh siber.


PERALATAN canggih dalam rumah moden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:50 PM