Skip this ad x

SELAIN menyebarkan kebaikan, terdapat unsur negatif penggunaan Internet tanpa batasan yang memperlihatkan mudahnya bahan dan kandungan berunsur lucah boleh diperoleh kerana dipermudahkan menerusi gajet.

Laman web sains, Majalasains.com mengeluarkan artikel HelloDoktor yang menyebut, sekalipun anda masih mampu mengawal kekerapan menonton pornografi dan yakin tidak memudaratkan orang lain, industri pornografi itu sendiri menggalakkan kegiatan pemerdagangan manusia, kekerasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Majalahsains.com berkata, penonton saluran pornografi mungkin selesa dalam ruang peribadi sedangkan industri ini mempunyai kesan global terutama terhadap manusia yang paling mudah dieksploitasi.

Bukan semua individu yang ketagih menonton porno menonton keganasan terhadap wanita tetapi sebagaimana penagih dadah, mereka tidak mempunyai kawalan apabila pengambilan kuantiti dadah seperti biasa tidak mempunyai kesan. Begitu juga penonton filem lucah tidak lagi mempunyai kawalan apabila aksi seks yang normal tidak lagi merangsang mereka.

Lama-kelamaan, ia akan membuka pintu kepada aksi yang lebih ganas mahupun seks songsang dan penderaaan seksual terhadap kanak-kanak.

Data statistik yang diterbitkan Pusat Ketagihan Amerika Syarikat melalui Psychguides menunjukkan 88 peratus adegan pornografi mengandungi kekasaran fizikal dan 49 peratus mengandungi kekasaran verbal.

Akhirnya, ia bukan sekadar mencipta permintaan terhadap pornografi tetapi permintaan untuk pemerdagangan manusia, penderaan seksual dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Ia disebut dalam gerakan antipornografi, Fight The New Drug yang menyatakan kaitan pornografi dan pemerdagangan manusia ialah seperti kaitan rokok dengan kanser.

Setiap orang yang menonton pornografi, baik lelaki mahupun wanita, menggunakan alasan menonton filem porno dapat mengembangkan fantasi seksual dan mendorong rangsangan seksual ketika berhubungan intim dengan pasangan. Maka tidak hairanlah ada pasangan berkahwin yang menonton filem pornografi bersama-sama. Kemudahan capaian kepada filem porno yang berlambak di alam maya membuka peluang menonton dengan kerap sehingga ada yang menjadi ketagih dan mendatangkan kesan bahaya.

Sebuah kajian di Jerman mengungkapkan bahawa terlalu kerap menonton filem porno boleh menjejaskan kesihatan otak. Pengkaji itu menemukan bahawa terlalu kerap atau secara teratur menonton filem porno dapat membuatkan isi padu di bahagian striatum mengalami penyusutan. Striatum sendiri adalah bahagian otak yang terkait dengan motivasi.

Kajian dengan Cambridge University pada 2013 pula mendapati otak seseorang yang suka menonton filem porno hampir sama dengan penagih dadah. Berdasarkan hasil scan, terdapat tiga bahagian otak yang lebih aktif pada mereka yang suka menonton filem porno sejak usia muda berbanding yang tidak.


Mereka yang ketagihan menonton filem porno lebih berisiko tinggi mengalami disfungsi erektil atau mati pucuk.

Kesan menonton filem porno tidak hanya menjejaskan otak, malah:

1. Kehilangan kegairahan seksual

Kajian yang diterbitkan di ‘Italian Society of Andrology and Sexual Medicine’ menunjukkan 28,000 lelaki yang dijadikan objek kajian kebanyakan menonton filem porno sejak muda sekitar usia 14 hingga 20 tahun.

Menurut Ketua Pengkaji, Marnia Robinson, semakin ramai lelaki muda di Itali menderita anoreksia seksual dan tidak mampu mengalami ereksi kerana penggunaan Internet untuk pornografi yang biasanya dimulakan seawal usia remaja.

Anoreksia seksual disifatkan sebagai keadaan berkurangnya nafsu atau kegairahan seksual dan biasanya individu yang mengalaminya menjadi takut dengan keintiman, sentuhan seksual, malu dan membenci diri sendiri atas pengalaman seksualnya.

Robinson sendiri mengatakan penyebab segelintir manusia menjadi suka menonton filem porno atau ketagihan dengan pornografi serta mengalami anoreksia seksual adalah masalah fisiologi, bukan psikologi.

2. Mati pucuk

Mereka yang ketagihan menonton filem porno lebih berisiko tinggi mengalami disfungsi erektil atau mati pucuk.

Profesor Urologi University Padua, Itali, Prof Carlo Foresta mendapati 70 peratus pemuda yang mencari bantuan klinikal untuk masalah seksual adalah kerana masalah ketagihan pornografi di Internet.

Menurut beliau, ramai lelaki muda berusia 20 tahun atau lebih tidak dapat melakukan hubungan intim dengan wanita dalam dunia nyata sehingga menyebabkan mereka memiliki kebiasaan menonton filem porno atau seks oral dengan berlebihan.

Mereka tidak pernah terbuka membicarakan hal ini dengan teman atau rakan kerja kerana takut akan menjadi bahan sindiran.

Tapi jika ada yang menceritakan masalah ini dalam forum kesihatan maka akan banyak respons yang didapati daripada orang lain yang juga mengalami masalah sama.

Menurut Profesor Foresta, disfungsi erektil atau mati pucuk yang berkaitan dengan pornografi boleh disembuhkan tetapi dalam masa pemulihan, memerlukan empat hingga 12 minggu untuk menghindari rangsangan seksual yang tinggi.

3. Jadi tidak tertarik melakukan hubungan seks di dunia sebenar

Dalam kajian lain, ketagihan menonton filem porno boleh menjadikan seseorang lelaki menjadi tidak tertarik melakukan seks di dunia sebenar.

Kajian ini menemukan pornografi boleh membuat lelaki tidak berasa gembira dengan hubungan seksual yang sebenar dengan pasangannya.

Ia boleh terjadi kerana menonton filem porno membuat rangsangan dopamin secara terus- menerus.

Akibatnya, otak kehilangan kemampuan untuk memberi tindak balas tahap dopamin yang normal dan orang yang sudah ketagihan filem porno perlu pengalaman seksual yang lebih ekstrem agar mampu terangsang di dunia nyata.

Data statistik lain dalam Psychguides juga menunjukkan satu perlima pencarian di Internet melalui telefon pintar adalah pornografi.

Selain itu, Psychguides juga menyebut 20 peratus lelaki menonton pornografi pada waktu bekerja.


DALAM kajian lain, ketagihan menonton filem porno boleh menjadikan seseorang lelaki menjadi tidak tertarik melakukan seks

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 2:02 PM