IMEJ pengudaraan yang baik.
Muhammad Saufi Hassan


Jika anda pemilik desktop (PC) yang mempunyai spesifikasi tinggi dan kerap bermain pelbagai permainan dalam tempoh masa yang lama, penjagaan PC sangat penting terutama membabitkan pembersihan habuk di kipas penyejuk.

Perkakasan komputer ini mahal dan pastinya perlu penjagaan teliti serta semua pemilik perlu tahu apa servis yang patut dibuat secara rutin.

Jika desktop dibiarkan tidak dicuci dengan betul dalam tempoh yang lama ia akan memendekkan hayat usia perkakasan dan turut mengganggu prestasi.

Gangguan kepada prestasi bukan hanya bergantung kepada perisian komputer atau sistem sudah dijangkiti pelbagai virus, malah ia turut berlaku apabila perkakasan tidak di servis dalam tempoh sepatutnya.

Kebiasaannya, punca utama kerosakan komputer selain gangguan virus adalah habuk yang disedut menerusi kipas penyejuk.

Untuk itu, setiap pemilik komputer perlu prihatin berhubung perkara berkenaan dan sentiasa mencuci kipas penyejuk kerana ia adalah komponen yang ‘gemar’ dihuni habuk, sekali gus mampu menjejaskan prestasi komputer.

•Antara tip dan trik penjagaan PC adalah:

KIPAS komputer perlu dibersihkan daripada habuk menggunakan kain ataupun alatan penyeduk habuk.

1. Pembersihan habuk

- Habuk adalah musuh utama bagi PC yang berprestasi tinggi terutama kepada sesiapa yang gemar bermain permainan video. Habuk berkenaan akan mengurangkan prestasi terutama kipas penyejuk.

- Cara terbaik adalah menggunakan berus lembut atau kain dan sebaiknya tanggalkan kipas berkenaan dan cuci sehingga bersih. Permukaan ruang dalam PC juga harus dibersihkan dan padam dahulu semua punca kuasa bagi mengelakkan renjatan elektrik statik yang boleh merosakkan papan induk (motherboard).

CUCI permukaan pemproses menggunakan kapas alkohol sehingga kesan pes lama hilang.

2. Menukar pes haba (Thermal Paste)

- Pemproses yang kerap digunakan dalam tempoh yang lama secara optimum akan mengakibatkan ia panas kerana pes haba (Thermal Paste) kering dan kurang berfungsi untuk pengaliran haba.

- Langkah terbaik adalah anda perlu menukarkan pes ini dan beli sebarang jenama di pasaran. Sebelum menggantikan pes yang baru, bahagian permukaan pemproses perlu dibersihkan secara lembut menggunakan kapas alkohol sehingga kesan pes lama hilang.

- Langkah seterusnya, lap permukaan pemproses dengan tisu lembut dan biarkan selama 60 saat untuk mengeringkannya sebelum meletakkan pes haba yang baru.

- Jangan letakkan terlalu banyak kerana pes berkenaan akan terkeluar daripada permukaan dan mengotorkan papan induk dan mungkin juga akan mengganggu prestasi komputer.

CUCI permukaan stok penyejuk supaya bersih daripada kesan pes haba yang lama.

3. Pengaliran udara

- Jika anda menggunakan pelbagai kasing komputer, pastikan mengikut aturan aliran udara yang betul kerana jika berlawanan, ia akan memanaskan ruang dalam komputer.

- Pastikan bahagian pengudaraan masuk dan ruang keluar udara panas bagi memastikan suhu di dalam komputer berada pada tahap minimum.

- Pastikan komputer diletakkan di tempat terbuka dan bukannya di dalam ruang tertutup kerana keadaan itu akan mengurangkan keupayaan udara keluar masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 4:30 AM