Skip this ad x
Gambar telefon pintar Samsung Galaxy S10 yang tiris di internet sebagaimana dilaporkan GSMArena.
Muhammad Saufi Hassan

KURANG tujuh hari lagi, Samsung bakal melancarkan telefon mercu miliknya, Galaxy S10 yang dikatakan bakal muncul dengan tiga varian berbeza.

Awal hari ini, spesifikasi untuk tiga varian itu tiris di internet, iaitu varian Galaxy S10, Galaxy S10+ serta Galaxy S10e.

Ketiga-tiga varian telefon pintar mercu milik Samsung berkenaan akan menggunakan skrin paparan infiniti.

Berdasarkan laporan GSMArena, bagi Samsung Galaxy S10+, ia bakal dilengkapi dengan skrin 6.3 inci QHD+ SAMOLED yang dijana pemproses Exynos 9820 dan memori sehingga 12GB RAM sesuai dengan peranti berkenaan.

Storan telefon pintar itu juga akan menyokong sehingga 1TB dan kamera utama adalah kombinasi lensa 16+12+12 Megapixel (MP) manakala kamera swafoto adalah 10+8MP.

Untuk varian Galaxy S10 pula dilengkapi dengan skrin paparan 6.1 inci QHD+ SAMOLED dan menggunakan pemproses sama dengan S10+.

Membezakan antara kedua peranti itu adalah S10+ mempunyai kapasiti bateri 4,100 mAh, manakala S10 3,400 mAh sahaja.

Varian ketiga pula iaitu Samsung Galaxy S10e dilengkapi dengan skrin 5.8 inci QHD+ SAMOLED, pemproses sama dengan dua peranti lain dan kapasiti memori 8GB selain menyokong storan sehingga 256GB.

Ketiga-tiga varian ini menawarkan warna Prism White, Prism Green dan Prism Black, manakala S10+ akan mempunyai warna eksklusif iaitu Luxurious Ceramic Black serta Luxurious Ceramic White.

Samsung bakal melancarkan peranti itu di San Francisco, Amerika Syarikat minggu depan dan mempertaruhkan teknologi Galaxy S generasi ke-10 sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat pengeluar telefon pintar gergasi dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 1:34 AM