BINAAN kad yang baik dan kemas.
Muhammad Saufi Hassan

JIKA anda mahu mencari satu kad grafik yang mampu memberikan prestasi baik untuk resolusi 1080p walaupun ketika bermain judul permainan bertaraf AAA, mungkin kad keluaran Advanced Micro Devices (AMD) RX590 adalah pilihan yang baik.

Walaupun kad grafik jenis ini hanya menawarkan prestasi 20 peratus lebih baik daripada generasi sebelumnya iaitu RX580, namun ia adalah kad yang baik untuk ‘kaki game’ yang tidak mempunyai bajet kewangan yang lebih untuk kad grafik kelas tinggi.

Penulis menyifatkan AMD cuba memenuhi ruang kosong antara dua siri produk mereka iaitu Radeon RX580 dan Radeon Vega 56 yang jauh mengatasi dua kad berkenaan.

Bagi tujuan itu, AMD melancarkan RX590 untuk mengecilkan jurang antara dua produk mereka dan kad berkenan mempunyai video memori (VRAM) 8GB di samping menggunakan 12nm pemprosesan grafik sekali gus menjadi kad pertama yang menggunakan teknologi itu.

Walaupun ia mungkin kedengaran mampu menghasilkan prestasi lebih baik, Radeon RX590 masih menggunakan teras grafik generasi keempat keluaran AMD.


KAD grafik RX590 keluaran PowerColor.

Dalam erti kata lain, reka bentuk dalaman bagi teknologi ini masih sama dengan RX580 dan RX480. Kad grafik terbaharu itu hanya menawarkan bacaan penalaan lebih tinggi berbanding dua kad sebelumnya.

Jika dibandingkan pula dengan kad grafik keluaran Nvidia iaitu untuk siri Nvidia GeForce GTX 1060 6GB, kad grafik RX590 ini berjaya mengalahkan keupayaan GTX1060.

Ia berdasarkan beberapa ujian penanda aras yang dilakukan laman web berasaskan permainan komputer, kad RX590 memberikan lebih kuasa berbanding GTX1060 dalam resolusi 1920 x 1080 dan 2560 x 1440.

Secara mudah untuk difahami, RX590 memberikan kualiti lebih tinggi untuk mutu permainan dalam definisi penuh (FHD) namun akan menghadapi kesukaran jika pengguna mahu permainan dalam resolusi 4K.

Aspek positif bagi kad ini adalah ia menawarkan lebih kuasa jika dibandingkan dengan Radeon RX580 dan GTX 1060 dalam resolusi permainan 1080p.

AMD juga menerusi beberapa jenama termasuk PowerColor Red Devils membina kad grafik ini dengan baik termasuk dilengkapi dua kipas bertujuan penyejukan.

Kad ini juga dilengkapi pelbagai punca paparan (display outputs) bermula daripada HDMI, DisplayPort dan beberapa punca paparan lain.

Namun, prestasi keseluruhannya agak meragukan kerana ia hanya menawarkan 20 peratus lebih kuasa berbanding siri sebelumnya.

Harga pula agak mahal berbanding prestasi yang ditawarkan dan jika anda pemilik kad GTX 1060 mahupun RX580, penulis berasakan untuk menaik taraf ke kad RX590 adalah tidak berbaloi.

Secara keseluruhannya, kad RX590 ini hanya boleh dikelaskan sebagai kad pertengahan dan tidak mampu untuk menandingi prestasi GTX 1070 yang memberikan lebih prestasi.

Usaha AMD untuk mengisi jurang kosong antara kad kelas pertengahan dan kelas tinggi boleh dipuji namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan.


PRESTASI RX590 dibandingkan dengan beberapa kad grafik lain.

SPESIFIKASI

• Engin grafik: AXRX 590 8GBD5-3DH/OC

• Memori video: 8GB GDDR5

• Pemproses aliran: 2304 unit

• Engine Clock: Melebihi 1576MHz dengan penjanaan

• Memory Clock: 2000MHz x4 (8.0Gbps)

• Sistem memori: 256bi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 12:16 PM
Skip this ad x