PERMAINAN World War Z tampil peperangan zombi mirip filem Hollywood.
Alias Abd Rani


TEMA permainan peperangan zombi mungkin kurang popular bagi sesetengah pemain memandangkan kebiasaannya ia suatu permainan yang menggunakan konsep sama iaitu menembak dan membunuh zombi.

Malah, ia juga agak membosankan apabila pemain perlu berdepan dengan kekurangan peluru namun mempunyai jumlah zombi yang dua atau tiga kali ganda lagi ramai daripada jumlah peluru pemain.

Itu konsep yang biasa digunakan hampir setiap permainan berkonsepkan zombi. Namun, bagaimana pula dengan permainan ‘World War Z’ yang dibangunkan oleh Saber Interactive.

Sekali imbas, penulis melihat permainan ini sangat mirip dengan filem Hollywood yang menggunakan nama sama iaitu ‘World War Z’ dibintangi oleh Brad Pitt yang menggunakan watak Gerry Lane iaitu seorang pakar dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Saber Interactive menggunakan padanan latar filem dengan permainan mereka supaya pemain boleh merasai sendiri bagaimana menjadi Gerry Lane dan berdepan dengan detik cemas dikejar oleh zombi.

Bijak bagi pembangun permainan ini apabila pemain boleh bermain dalam pasukan yang dianggotai oleh tiga pemain lain untuk sama-sama mengharungi misi sekali gus menyelesaikan teka teki berhubung penularan wabak yang menukar manusia kepada zombi.

World War Z juga sangat mirip kepada permainan yang pernah popular iaitu ‘Left 4 Dead 3’. Konsep sama yang digunakan namun kelebihan bagi judul ini adalah keupayaan seni grafik yang sangat terperinci.

Secara asasnya, permainan ini menggunakan konsep karakter pemain berasaskan kelas. Satu kelas digelar ‘slasher’ yang mempunyai keupayaan untuk meningkatkan tahap kesihatan pemain selain serangan tambahan untuk setiap rantaian kematian zombi yang dilakukan.

Satu kelas lagi adalah ‘exterminator’ yang mampu untuk menggunakan keupayaan dalam sudut serangan letupan dan ia bersesuaian untuk peperangan dalam jumlah zombi yang ramai.

Penulis sememangnya kurang berminat dalam konsep permainan ini, namun apa yang menariknya adalah latar lokasi selain pelbagai pilihan persenjataan bermula daripada belantan sehingga kepada senjata automatik.

Walaupun semuanya seakan sempurna bagi World War Z, perkara yang paling menyakitkan hati adalah masalah teknikal seperti isu sambungan yang mudah terputus ketika ditengah-tengah peperangan, mesej luar talian pelayan serta beberapa masalah lain.

Namun, ia masih satu permainan yang baik cuma pembangun perlu menyelesaikan masalah berkenaan dan memperkenalkan beberapa mod permainan baharu supaya pemain tidak bosan dengan mod sama sepanjang misi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:00 AM