PERANTI kelas pertengahan Samsung Galaxy A50.
Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT gergasi elektronik, Samsung meneruskan cabarannya kepada pesaing untuk segmen telefon pintar kelas pertengahan apabila melancarkan Samsung Galaxy A50.

Peranti ini menggunakan pemproses Exynos 9610 yang dipadankan dengan keupayaan memori (RAM) 6GB serta sokongan storan 128GB.

Telefon pintar ini menggunakan skrin paparan Super AMOLED serta dibina hasil gabungan kaca dan plastik atau digelar 'glass-tic' oleh Samsung.

Rekaan peranti berkenaan memang kelihatan cantik, namun terlalu mudah dikotori oleh kesan cap jari.

Namun, perkara itu tidak menghilangkan nilai premium pada peranti kelas pertengahan berkenaan.

Kamera utama tiga lensa peranti ini dipasang di sebelah kiri panel belakang dan dua daripada lensa dikelilingi gegelung yang membuatkannya nampak lebih menonjol.

Kamera utamanya dilengkapi tiga lensa 25MP + 8MP + 5MP manakala lensa 25MP pula menghiasi kamera hadapan peranti.

Paparan peranti itu juga menggunakan 6.4 inci definisi penuh dipertingkatkan (FHD+) dengan rekaan takuk kecil atau paparan Infinity-U.

Harga yang ditawarkan pada peranti ini adalah RM1,199 dan Samsung cukup serius untuk menandingi segmen kelas pertengahan dengan menggunakan rekaan premium sebagai tawaran kepada pengguna.

Malah, peranti ini menggunakan sensor imbasan cap jari di bawah skrin bagi menyahkunci peranti ini namun tidak menggunakan teknologi sensor Ultrasonik.

Telefon pintar ini mempunyai dulang kad SIM serta kad mikroSD dan mempunyai slot khusus untuk kegunaan mikroSD sehingga menyokong kapasiti 512GB.

Secara keseluruhan, peranti dapat beraksi dengan baik tanpa sebarang masalah, baik dari segi penggunaan biasa mahupun bermain permainan video.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:30 AM